BULAN MADU DIPUNCAK CINTA

Malam begitu dingin . Sesekali angin pantai yang nyaman menerpa pintu yang menghala ke beranda bilik hotel penginapan kami. Tiupan bayu menambahkan lagi kedinginan tubuhku yang sudah kecut dimamah kesejukan penghawa dingin bilik mewah ini. Namun, yang lebih dingin adalah hatiku. Sudah dua malam aku dan suami tercinta yang baru kunikahi berada di tingkat atas menara hotel mewah di pulau peranginan ini. Tiada apa yang berlaku. Aku mula sangsi. Kami berkahwin pada minggu lepas. Suamiku seorang pegawai korporat yang bertugas di sebuah syarikat milik keluarganya. Kami disatukan atas kebetulan namun dikukuhkan dengan restu orang tua. Entah macamana aku boleh tersangkut pada Razi, aku pun tak tahu. Terus terang kukatakan, aku beruntung mengahwini lelaki sepertinya yang memiliki hampir segalanya. Ramai gadis yang mengimpikan untuk memiliki lelaki tampan, berkedudukan dan romantik sepertinya. Segalanya bermula setahun yang lalu. Aku tinggal di sebuah taman perumahan sederhana di pinggir kota bersama ibu dan ayah tercinta. Sebagai pesara pegawai bawahan kerajaan, kehidupan kami tidaklah mewah. Cukup sekadar dapat meneruskan kehidupan yang semakin mencabar di kota kosmopolitan ini. Al-hamdulillah, segalanya kusyukuri. Ramai lagi di luar sana yang kehidupannya lebih sempit dari kami. Bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah syarikat guaman, aku sering menemui pelbagai rupa manusia. Kebetulan Razi adalah pelanggan setia majikan aku. Saban minggu, Razi pasti akan ketemu bossku yang juga rakan sepengajiannya ketika di luar negeri. Aku tak peduli siapa dia, justeru saban hari memang ramai orang yang datang berurusan dengan syarikat tempat aku bekerja. Sehinggalah pada suatu hari, bossku memberitahu seseorang ingin berkenalan denganku. Aku terima sahaja, kerana memang aku masih keseorangan semenjak ditinggal oleh kekasih yang tak setia. Biar pun hatiku luka dan hampir tidak boleh menerima seorang lagi lelaki, Razi tiba-tiba saja hadir dalam hidupku. Aku cuba menganggapnya sebagai kawan biasa, sering mengelak bergurau mesra, tidak pernah makan bersama apatah lagi keluar ke mana-mana. Entah kenapa aku tewas juga, dan lamarannya kuterima. Aku tiada pilihan kerana orang tuaku juga menyukai Razi. Apatah lagi ibu bapanya amat menyenangiku justeru dia adalah anak lelaki tunggal dalam keluarga yang hanya punya dua beradik itu. Demikian Arina, bakal kakak iparku yang telah pun berkahwin dengan anak mat saleh. Ah,…….itu cerita lama ! Sekarang aku dan Razi telah menjadi pasangan suami isteri yang sah. Kami tiba di pulau indah ini dua hari yang lepas. Kata orang untuk berbulan madu. Ah, begitu enak dilafazkan ! Bulan madu . “Bulan madu di awan biru tiada yang mengganggu. Bulan madu di atas pelangi, hanya kita berdua. Mengecap nikmat cinta yang putih tak berbanding. Sesuci embun pagi.” Demikian kata Amy Search ketika mendendangkan lagu Fantasia Bulan Madu. Tentu manis bulan madu. Sehingga ia menjadi impian, angan-angan dan fantasi cinta pasangan kekasih yang telah disatukan melalui ikatan pernikahan. Tapi, dimanakah kemanisannya bila aku masih begini. Masih seperti sebelumnya. Ternyata aku masih suci. Angin sejuk terus menerpa menyapu wajahku. Rambutku yang agak panjang terbuai-buai ditiup sang angin . Sengaja kubiarkan pintu beranda terbuka agar kesegaran angin malam dan deru ombak yang menghiburkan dapat kunikmati. Aku keseorangan di suite ini kerana Razi turun ke lobi. Entah apa urusannya, aku tak ambil peduli. Aku melihat imbasan wajahku di cermin solek. Aku rasa sudah menghiasi wajah comelku ini secukupnya. Memang cukup ayu sehingga ia sepatutnya cukup untuk menjadi modal bagi menaikkan ghairah seorang lelaki. Sebagaimana pesan Kak Arina, aku berpakaian secantik dan seseksi mungkin sepanjang dua malam yang lalu. Juga malam ini. Nipis dan singkat. Memang cukup untuk menggoda dan meruntuhkan hati seorang lelaki. Tapi Razi……? “ Aku tahu tanggung jawab sebagai suami amat berat Ima. Tapi aku berusaha untuk menjadi seorang suami yang baik. Insya Allah, aku akan cuba, Imah. “ Ah….., begitu sedap Razi mengeluarkan kata-kata ini tempohari. Sudah seminggu kami berkahwin, tetapi tiada apa-apa yang berlaku. Kusangka malam pertama tentu indah sebagaimana cerita teman-teman yang pernah melaluinya. Manis, nikmat, penuh cinta dan cita. Tapi tawar bagiku. Kutunggu malam-malam selanjutnya. Tiada apa yang berlaku. Sekadar bualan dan gurauan kosong. Aku bersabar. Mungkin menunggu saatnya bulan madu. Namun tanggapanku meleset. Dua malam di suite indah dan mewah ini tidak menyaksikan apa-apa. Razi masih belum menyentuh tubuhku, apatah lagi menjamahnya. Hanya sekadar gurauan mesra, senyuman sahaja. Aku masih suci. Masih perawan lagi. Ah, aku mulai sangsi. Aku cuba menggayakan tubuhku yang cuma diselaputi baju tidur nipis ciptaan Bernard Chandran di hadapan cermin. Ia hadiah daripada Kak Arina. Kelihatan seksi dan menggiurkan. Lebih-lebih lagi kulitku putih dan halus persis seperti kulit bayi. Potongan badanku juga sempurna bak model bertaraf antara bangsa Apakah itu tidak cukup untuk menggugat iman seorang lelaki seperti Razi ? Aku duduk semula di bucu katil. Mengelamun tak tentu hala, memikirkan yang bukan-bukan. Apakah bulan madu semestinya indah dan manis ? “ Bulan madu adalah hari yang paling indah dan manis bagi pasangan yang baru melayarkan bahtera perkahwinan. Kau akan menghadapi semua itu, Imah .” Kata- kata Kak Arina masih terngiang-ngiang di kotak memoriku. “ Bulan madulah saat yang paling dinantikan oleh pasangan kekasih. Ia sungguh indah, manis dan penuh cita rasa.” Demikian kata-kata Kak Roja teman sepejabatku yang masih tersarang kukuh dalam bingkai mindaku. Semuanya menyatakan tentang keindahan. Menceritakan tentang kemanisan. Alam khayal penuh dengan ghairah cinta. Kemuncak cita rasa sepasang kekasih. Nikmat yang tidak terhingga, fana dibuai romantika asmara. Beginikah sebenarnya ? Atau, malangkah aku kerana menerima Razi dalam hidupku ? Ah…..bulan madu tidak manis bagiku. Tidak ada ertinya bagi insan yang sedang kehausan ini. Sedangkan waktunya hampir ke penghujung apabila dua tiga hari lagi kami akan kembali ke alam realiti. Hatiku mula sebak. Jiwaku mula bergolak. “ Kak Ina, apalah ertinya bulan madu bila manisnya tiada ? “ Soalku kepada kakak iparku tengahari tadi bila aku menelefonnya ke rumah. “ Apa yang kau cakapkan ni, Imah ? Aku pun teringat nak telefon kau. Tapi bila mengenangkan ia saat manismu, aku tak mahu mengganggu. Macam mana ? “ Ah, kakak ! Kalau kau tahu apa yang sebenarnya berlaku tentu kau tidak menyapaku dengan gurau tawa. “ Kak, abang Razi masih belum menyentuh tubuhku….,” Perlahan sahaja suaraku berterus terang. Bukan orang lain pun, kakak iparku sendiri. Kak Arina terdiam sejenak. “ Apa maksud kau, Imah ? “ “ Ya, kak ! Apakah ertinya bulan madu jika abang Razi masih tidak menjamah tubuhku ? Malah menyentuhnya pun tidak. Maksudku……Ah, tentu kakak lebih faham ! “ “ Apakah kau tidak melayaninya ? “ Tanya Kak Arina mencungkil kepastian. “ Lebih dari layanan sang gundik kepada rajanya,” Aku menghela nafas panjang mengeluh, mengharap simpati Kak Arina. Dia terdiam lagi. Mungkin mula merasai apa yang aku rasakan. “ Apakah Razi bukan lelaki…? “ Tiba-tiba sahaja terpacul soalan itu dari mulut Kak Arina. “ Kaaaak…..” Hatiku menjerit dalam sendu. Pelbagai persoalan timbul dalam kerangka minda yang sedang kebingungan ini. Malangkah aku mengahwini Razi ? Ah, tidak ! Tentu dia seorang lelaki sejati. Tingkah lakunya, peribadinya, ketrampilannya malah perwatakannya macam biasa. Macam lelaki tulin lainnya. Malah tubuhnya penuh berisi dengan otot-otot pejal yang timbul laksana pahlawan yang gagah perkasa. Hampir macam Malek Nor yang pernah jadi juara bina badan Asia satu masa dahulu. Aku menggeliat menampilkan bentuk tubuhku yang seksi di balik satin biru hadiah perkahwinan kakak iparku. Mataku memandang ke arah pintu beranda yang terbuka luas. Langit kelihatan cerah, dihiasai bintang-bintang yang bertaburan indah. Tentu ia suasana yang sangat indah dan mengasyikkan untuk saat-saat romantis bulan madu. Aku memejamkan mata, membayangkan indahnya kalau ia benar-benar terjadi. “ Tinggg…..” Bunyi loceng pintu mengejutkan lamunanku. Aku bergegas menuju ke pintu dan mengintai melalui lubang kecil. Abang Razi, suamiku. Aku cuba memeluknya sebaik sahaja dia melangkah masuk , tetapi dia terus sahaja menuju ke sofa di sudut bilik besar itu.Tangannya memicit punat alat kawalan jauh menghidupkan peti televisyen. Aku jadi jengkel, tetapi aku cuba menyembunyikan rasa sebalku itu dengan mengukir senyuman. Aku mengambil tempat di sebelahnya. Kepalaku berlabuh perlahan dengan penuh kemanjaan ke dada bidangnya. Dia Cuma membalas dengan memeluk dan mengusap-usap bahuku. Itulah kelakukannya semenjak kami berada di sini. “ Abang…..” Suaraku bergemersik perlahan sambil jari-jemariku menari-nari di atas dadanya . “ Hmm….ada apa sayang ? “ “ Sudah dua malam kita kita berada di sini. Malam ini adalah malam ketiga dan kita akan pulang tidak lama lagi. Apakah ertinya bulan madu ini…?” Perlahan sahaja getusan hatiku kuluahkan walaupun amat berat untuk dilakukan. Merengek bagai seorang bayi yang kehausan susu ibunya, dan aku adalah wanita yang kehausan jiwa. Razi hanya memandang tepat ke arah wajahku. Matanya bertentangan dengan mataku. Pandangan penuh makna yang sukar untuk diertikan. Bibirnya mengukir senyum sedangkan dadaku berombak dengan getaran jantung yang berdegup kencang. “ Aku faham Imah. Aku juga ingin mengecapinya. Namun, aku sedang menantikan sesuatu. Sesuatu yang aku tunggu sepanjang hayatku.” Ah, begitu jauh untuk kufahami maksud tutur bicaranya. Apa lagi yang dimahukan oleh suamiku yang seorang ini ? Aku telah menyerahkan segenap jiwa dan ragaku kepadanya. Menerima cintanya juga telah kulakukan walaupun aku pernah bersumpah untuk tidak menerimanya lagi dari mana-mana lelaki lantaran kekecewaanku dahulu. Malah, tubuhku telah dipersiapkan untuk kuserahkan kepadanya sejak berada di sini. Apa lagi yang dimahunya ? Ah, Razi….memang benar kata Kak Arina. Kau lelaki yang sukar difahami kehendaknya. “ Apakah yang abang perlukan dari Imah ? Bukankah Imah sudah berada di hadapan abang sekarang ?” “ Tak perlu aku nyatakan, sayang. Ia akan lahir dari hati yang bersih dan suci. Ia lahir dari hati yang ikhlas dan tulus. Itulah yang sejati. Lebih berharga dari bumi dan segala isinya.” Razi menarik nafas panjang sambil melepaskan pelukan pada bahuku. Dia bingkas bangun perlahan menuju ke beranda lalu duduk santai di atas kerusi malas di situ. Matanya memandang ke arah pantai yang hanya kelihatan kerlipan lampu dari bot yang terumbang-ambing dilambung ombak. Bayu sejuk menerpa masuk menyelak langsir pintu. Deru ombak tak henti-henti berbunyi memecah kesepian malam itu. Aku termenung sendiri di bucu sofa, cuba untuk memahami maksud kata-kata Razi sebentar tadi. Perlahan-lahan aku bangun menuju ke arah Razi. Dari belakang, aku memicit lembut bahunya dengan jemariku yang halus. Aku merapatkan bibirku pada cuping telinganya. “ Abang……..,” Bisikku halus. Razi menoleh ke arahku. Dia menarik lembut tanganku dan aku duduk di atas pangkuannya. Aku cuba menyambung bisikanku, “ Imah sayang pada abang. Imah cintakan abang ! “ Razi memandang tepat ke arah mataku. Bibirnya mengukir senyum penuh makna. “ Benarkah Imah sayang padaku ? Sungguhkan Imah cinta padaku ?” “ Apakah lagi yang perlu Imah buktikan pada abang ?” “ Tak perlu, sayang. Kata-kata sudah cukup bagiku. Imah sudah pun menjadi milikku.” Razi berhenti seketika, menarik nafas panjang. “ Inilah yang aku nantikan selama ini. Semenjak kita berkenal mesra dulu, aku menantikannya. Bagiku, kata-kata ini adalah satu nikmat bagi sepasang kekasih. Aku juga sayang padamu, Imah.” Razi mengangkatku menuju ke katil. Kemudian menyeluk sakunya. “ Pejam matamu, sayang.” Aku menurut sahaja. Terasa sejuk di leher jinjangku. Seperti sesuatu melingkari pangkal leherku. Ternyata ia seutas rantai emas berloketkan berlian. Aku tersenyum sambil membuka kelopak mataku. Betapa bahagianya hatiku saat itu. “ Abang……” Tangan Razi mengusap lembut pipiku. Dia merenung mataku dengan tajam sekali. Dadaku mula berdebar, perasaanku tidak karuan. Razi mengucup bibirku. Kami tenggelam di alam khayal. Keesokan paginya aku bangun agak lewat. Hatiku terasa lapang kini. Jiwaku tenang sekali. Aku meneguk air liurku. Terasa manis. Manis yang tidak tergambar dek kata-kata. Ah…….., manisnya bulan madu.

About these ads

About this entry