MASALAH TAKBIR SOLAT SUNAT HARI RAYA

Persoalan ini timbul apabila ada orang yang menulis dalam Berita Minggu mengenai masalah ini dan saya sebagai Imam 2 pada masa itu menjawab semula dalam ruangan Forum Berita Harian selain pertanyaan makmum mengenainya.

 

Soalan/Masalah : Baru-baru ini solat Hari raya di Masjid imam tidak bertakbir tujuh kali dan lima kali. Ia telah menimbulkan kekecohan. Boleh ustaz jelaskan ?;

 

Adapun bertakbir tujuh kali pada rakaat pertama selain daripada takbiratul-ihram dan takbir i’tidal, lima kali pada rakaat kedua selain daripada takbir qiam dan i’tidal hukumnya adalah MANDUB / SUNNAH. ( Lihat : Fath al-Mu’in Sy.Zain al-Din al-Malibari; Al-Majmu’ Imam al-Nawawi; Fiqh al-Manhaji Dr.Mustafa al-Khin et.al.) Mandub atau Sunnah ( atau dalam bahasa kita sunat ) ialah ; Apa yang dituntut syara’ melakukannya kepada mukallaf dengan tuntutan yang tidak kukuh. Makna khususnya, melakukannya adalah dipuji, meninggalkannya tidak dikeji. ( Lihat : Usul al-Fiqh al-Islami Dr. Wahbah al-Zuhayli ) Takbir-takbir tersebut ( tujuh dan lima kali ) bukan fardhu ( wajib ), bukan pula sunat ab’adh yang memerlukan sujud sahwi jika ditinggal bahkan ia adalah sunat hai’at sama dengan doa iftitah dan bacaan isti’azah (dll) yang tidak memberikan sebarang kesan kepada solat jika ditinggalkan samada secara sengaja, terlupa atau jahil. ( Lihat ; Al-Iqna’ li Muhd Al-Syarbini al-Khatib; Al-Muhazzab li al-Syirazi ; Mughni al-Muhtaj li Muhd al-Khatib al-Syarbini, Al-Majmu’ li al-Nawawi; Fath al-Mu’in ; Fiqh al-Manhaji ; Sabil al-Muhtadin li Arsyad al-Banjari, Furu’ al-Masa’il terj. Daud Fathani) Jika terlupa melakukannya dan terus membaca Fatihah maka takbir-takbir tersebut adalah luput dan tidak perlu diulangi semula dan sembahyang tersebut tetap sah ( dan tak perlu ulangi semula sembahyang tersebut ). (Lihat; Fiqh al-Manhaji dan pembahasan lebih terperinci lihat dalam kitab-kitab turath yang disebutkan di atas.) Dengan ini, jelaslah kepada kita akan hukum bertakbir tujuh dan lima kali dalam solat sunat hari raya. Banyak orang sembahyang tanpa membaca doa iftitah secara segaja lantaran statusnya sebagai sunat hai’at dan tidak pula mengulangi sembahyangnya, fikirkanlah analoginya. Sebagai seorang manusia biasa, tidak ada yang sempurna justeru manusia dicipta dengan sifat lupa sehingga kalimat “lupa” itu dinyatakan berkali-kali oleh Allah dalam al-Quran, maka kitab-kitab fikah menyediakan jawapan bagi persoalan tersebut. WalLahu A’lam, semoga dengan penjelasan ini akan menjernihkan keadaan.

 


About this entry