BERAGAMA ISLAM TAPI MASUK NERAKA !!

Ada satu persoalan yang dikemukakan kepada saya beberapa kali , tetapi saya sering tersengih dan ketawa sahaja tanpa menjawabnya dengan jawapan yang memuaskan hati yang bertanya. “Ustaz, untuk apa kita masuk Islam jika akhirnya kita belum tentu masuk syurga. Ini yang ustaz-ustaz sering beritahu dalam ceramah, macamana baik sekalipun kita belum tentu masuk syurga.” Begitulah kira-kiranya soalan yang dikemukakan.

Lama saya tidak pernah memikirkannya hinggalah satu hari bila saya membaca beberapa apa yang dikatakan testimonial yakni pengakuan para murtadin. Antaranya mereka mengatakan terperangkap dengan persoalan syurga dan neraka. Jika anda mati besok pagi, apakah anda yakin anda akan masuk syurga ? Begitulah kira-kiranya antara soalan yang dikemukakan menyebabkan yang ditanya menggaru-garu kepala. Selama ini banyak ustaz yang mengajar kita belum tentu masuk syurga bahkan ada yang mengatakan sudah tentu masuk neraka kerana banyaknya dosa-dosa kita. Oh! Kejamnya Tuhan agama ini. Manusia dicipta untuk menerima siksa dan masuk neraka. Begitulah seolah-olahnya apa yang tergambar dalam minda mereka.Untuk apa manusia dijadikan ? Untuk masuk neraka !!!

Perkara ini benar-benar mencabar benak minda saya yang bukanlah bijak sangat bila dibanding dengan ustaz-ustaz di luar sana.Apakah begini strategi dakwah yang sepatutnya. Ya, Nabi dutus untuk membawa khabar baik dan ancaman, tetapi yang sering dilaung-laungkan ialah ancaman sehingga tiada ruang langsung untuk manusia itu mendapat khabar baik. Neraka atau Syurga urusan Tuhan. Tiada siapa yang tahu. Tetapi Tuhan telah memberitahu kita dalam banyak kesempatan melalui al-Quran dan al-Sunnah tentang hal ini yang sepatutnya membuat kita optimistik kita akan masuk Syurga. Bukankah Allah itu Maha Pengasih ? (QS:1:3).

Dalam al-Quran banyak menceritakan orang yang bakal masuk syurga, antaranya;

Surah al-Bayyinah :

7. Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk.

8. balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya.

Surah al-Sajadah :

19. adapun orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, maka mereka akan beroleh syurga tempat tinggal Yang tetap sebagai balasan bagi apa Yang mereka telah kerjakan.“Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda : Sembahyang lima waktu dan Sembahyang Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu sembahyang-sembahyang itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Riwayat Al-Imam Muslim).

Persoalannya : Jika saya seorang yang beriman, melakukan amal yang saleh, tidak pernah tinggal sembahyang dan rukun Islam yang lain, tidak pernah melakukan dosa besar, tidak bolehkah saya optimis bahawa saya akan masuk syurga ? Bukankah para sahabat Nabi dulu bermati-matian berjuang di jalan Allah justeru mereka optimis dengan janji Allah dan Rasul-Nya bahawa mereka akan masuk syurga ?

Ya, manusia tidak lepas daripada segala kesalahan. Tetapi jika kesalahan yang dibuat tu bukan dosa besar yang memerlukan taubat nasuha, tidakkah ia boleh terhapus kerana sembahyang dan amalan baik yang lain sebagaimana yang terakam dalam al-Quran dan hadis-hadis Nabi  SAW? Bukankah itu sebagai janji Allah untuk menghapuskan kejahatan dengan kebaikan yang kita buat ?

Dalam Surah Hud:

114. dan dirikanlah sembahyang (Wahai Muhammad, Engkau dan umatmu), pada dua bahagian siang (pagi dan petang), dan pada waktu-waktu Yang berhampiran dengannya dari waktu malam. Sesungguhnya amal-amal kebajikan (terutama sembahyang) itu menghapuskan kejahatan. perintah-perintah Allah Yang demikian adalah menjadi peringatan bagi orang-orang Yang mahu beringat.

Jika kita tidak termasuk orang yang meninggalkan sembahyang dan kewajipan lain serta tidak pula  melakukan dosa besar, tidak bolehkah kita optimistik dan yakin untuk dapat masuk ke Syurga? Bukankah itu juga termasuk daripada sangka baik kepada Allah ?

Dari sedikit kesimpulan ini, maka saya optimis saya akan masuk syurga dengan Islam dan tak perlu kepada pembaptisan untuk ditebus dosa saya oleh Jesus Christ. WalLahu A’lam.


About this entry