Selangor Maju : Kenapa Andalusia ?

Ditulis bersama oleh Ustaz Mohd Zamri bin Shapik dan Ustaz Rumaizi bin Ahmad.

Dibentangkan dalam Seminar Baldatun Tayyibah : Model Andalusia pada 24 Januari 2009 di Masjid Negeri Selangor anjuran Persatuan Ulama Malayasia cawangan Selangor.

MUKADIMAH

Salah satu bentuk pertanyaan yang mungkin meniti kotak minda ialah mengapakah Al-Andalus yang menjadi topik perbincangan bagi dikaitkan dengan negeri maju dan seterusnya baldatun-tayyibah ini. Mengapa tidak jadikan sahaja negeri Islam Madinah yang didirikan oleh Rasulallah SAW sebagai model untuk kerangka mendirikan sebuah negeri maju yang dikehendaki oleh Islam. Realiti masa kini yang tidak dapat kita nafikan, Eropah adalah pencetus kepada tamadun moden sebelum disinambungi oleh Amerika Syarikat pada era pasca-moden. Bahkan di Eropah terkembangnya pelbagai ragam falsafah dan ahlinya. Satu realiti dan hakikat sejarah, Eropah mendapat semuanya itu daripada Andalusia. Sumbangan Andalusia kepada tamadun Eropah yang ketika itu berada dalam zaman kegelapan, menarik minat kita untuk mengkaji ketamadunannya dari segi pemikiran filsafatnya hinggalah kepada pengalaman siasah mereka dalam menata masyarakat multi-etnik dan kepercayaan. Benar, Negara Islam Madinah adalah model paripurna yang tidak dapat sesiapa pun menafikannya. namun, justeru kesempuranaannya itulah yang menyebabkan kami terfikir untuk mengkaji Andalusia sebagai titik sempadan membangunkan model negeri Islam maju zaman moden kerana di sana ada teladan dan sempadan yang boleh kita pelajari. Negara Islam Madinah sebagai pemula kerajaan Islam di dunia hinggalah kepada Turki Usmaniah sebagai Khilafah Islam terakhir sekalipun tidak memiliki keunikan Andalusia yang satu ini – dari dar al-Islam menjadi dar al-Harb. Bukankah Semenanjung Iberia ini pada satu ketika adalah sebuah negara Islam yang maju dengan jolokan al-Andalus, tetapi kembali menjadi sebuah negara yang penuh permusuhan dengan umat Islam di zaman penjajahan iaitu Sepanyol dan Portugal. Di situlah teladan dan sempadan yang boleh kita pelajari. Teladan terbinanya tamadun Islam di sana selama ratusan tahun, sempadan keruntuhan kerajaan Islam dan penghapusan umatnya.

KONSEP BALDATUN TAYYIBAH

Terminologi Baldatun Tayyibah adalah berakar daripada al-Quran ketika menggambarkan kemakmuran sebuahh negeri yang bernama Saba’. Sebagaimana Andalusia, negeri ini pernah mencapai kemakmurannya ketika beriman kepada Allah, tetapi musnah binasa justeru berpaling daripada perintah-Nya. Demi sesungguhnya, adalah bagi penduduk negeri Saba’, satu tanda (yang membuktikan kemurahan Allah) Yang terdapat di tempat tinggal mereka, iaitu: dua kumpulan kebun (yang Luas lagi subur), Yang terletak di sebelah kanan dan di sebelah kiri (kampung mereka). (lalu dikatakan kepada mereka): “Makanlah dari rezeki pemberian Tuhan kamu dan bersyukurlah kepadanya; (negeri kamu ini adalah) negeri Yang baik (aman dan makmur), dan (Tuhan kamu adalah) Tuhan Yang Maha Pengampun!. Maka mereka berpaling ingkar, lalu Kami hantarkan kepada mereka banjir Yang membinasakan, dan Kami gantikan dua kumpulan kebun mereka (yang subur) itu Dengan dua kumpulan kebun Yang berisi Dengan pohon-pohon Yang pahit buahnya, dan pohon-pohon Yang jarang berbuah, serta sedikit pohon-pohon bidara.[1] Secara literalnya memang bermaksud negara yang baik. Hakikatnya negara yang baik terhasil daripada pemerintahan yang baik. Justeru itu, terminologi ini mungkin dapat kita ertikan sebagai sebuah negeri yang berasaskan kepada Good Governance yang melahirkan Civil Society dalam istilah politik moden berdasarkan ciri-ciri yang digariskan oleh al-Tabari ketika mentafsirkan ayat ini; Negara yang mendapat keampunan Allah justeru rakyatnya yang diberikan kemakmuran lantaran ketaatan mereka kepada perintah Alah dan ketercegahan mereka daripada maksiat[2]. Hal ini bertepatan dengan ayat yang mengklasifikasikan umat Muhammad ini (sepatutnya) sebagai umat yang terbaik, Kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik.[3] Ciri kebaikan umat ini sebagaimana yang disebutkan oleh ayat di atas ialah amar makruf, nahi mungkar dan keimanan kepada Allah. Ketiga-tiga perkara ini akan tercapai apabila agama ini dipelihara dan dunia ini ditadbir berdasarkan nilai-nilai agama.[4] Sesebuah kerajaan tidak akan dapat mencapai piawai ”Pemerintahan yang baik” (Good Governance) jika amalan yang baik dalam pemerintahan (al-ma’ruf) dan penolakan terhadap amalan yang buruk (al-munkar)[5] tidak menjadi polisi utamanya. Antara amalan baik dalam pemerintahan termasuklah keadilan, ketelusan, kejujuran dan kebertanggung jawaban manakala amalan buruk yang patut ditolak justeru ia adalah mungkar termasuklah kezaliman, kedustaan, ketirisan dan kekhianatan. Penyalah gunaan kuasa dan rasuah adalah termasuk dalam kezaliman dan kekhianatan. UNESCAP[6] menggariskan 8 elemen good governance iaitu; Good governance has 8 major characteristics. It is participatory, consensus oriented, accountable, transparent, responsive, effective and efficient, equitable and inclusive and follows the rule of law. It assures that corruption is minimized, the views of minorities are taken into account and that the voices of the most vulnerable in society are heard in decision-making. It is also responsive to the present and future needs of society[7] Negara maju seperti mana yang ada di depan mata kita sekarang yang diwakili oleh sejumlah negara Eropah di Barat dan Jepun di Timur adalah negara yang berusaha mencapai elemen good governance ini. Nilai-nilai kebebasan melalui demokrasi disuburkan, hak asasi manusia ditegakkan, gejala rasuah disifarkan, keadilan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan, toleransi antar-manusia dipupuk, nilai keperibadian yang baik cuba dibentuk dan sebagainya. Hasilnya, Barat makmur selama lebih satu abad. Kesalahan mereka hanyalah kerana semua nilai baik itu dibina berdasarkan penalaran akal semata tanpa bimbingan wahyu. Di situ titik perbezaan antara kita dan mereka. Jika elemen ini disatukan dengan pancaran wahyu Ilahi dan sunnah Nabawi, sudah tentu negara maju yang berpijak pada baldatun tayyibah wa rabbun ghafur akan terjelma dan kemakmurannya akan lebih terasa. Barat hanya ada baldatun tayyibah tanpa rabbun ghafur, malangnya kita langsung tidak punya apa-apa. Baldatun tayyibah tidak wa rabbun ghafur jauh sekali. Manakan tidak, bila dunia Islam dipenuhi dengan pola rasuah yang memalukan, kezaliman autokrat yang tersohor, penindasan hak asasi yang tidak selesai, kebebasan bersuara yang tersekat, kedaulatan undang-undang yang menindas, sentimen politik kepuakan yang ekstrim, akhlak buruk yang membarah dan banyak lagi wajah hodoh yang tak tergambarkan. Yang indah hanya bunyi azan, bacaan al-Quran dan ibadah lain yang disempitkan konsepnya serta kegiatan agama yang hanya memberikan keuntungan material. Bagaimana tamadun Islam kontemporari boleh diteladani ? Tamadun yang berbenih dari yang baik seperti tamadun Islam sekalipun akan menempuh kebinasaan jika meninggalkan ketaatan kepada Allah dan hal inilah yang telah pernah dibuktikan oleh sejarah. Demikianlah nilai sebuah negara yang maju bukan sahaja pada fizikal tetapi spiritual. Tamadun yang rosak nilai spiritualnya mengundang kemurkaan Allah yang bakal menjadikan kehidupan itu sempit, bermasalah dan menuju kebinasaan. “Dan sesiapa Yang berpaling ingkar dari ingatan dan petunjukKu, maka Sesungguhnya adalah baginya kehidupan Yang sempit, dan Kami akan himpunkan Dia pada hari kiamat Dalam keadaan buta”.[8]

AL-ANDALUS DAN SELANGOR DARUL EHSAN

Setelah Tariq bin Ziyad berjaya meletakkan batu asas kerajaan Islam di Andalusia penduduknya terdiri daripada orang Islam, Kristian dan Yahudi yang merangkumi pelbagai etnik seperti Arab, Berber, Visigoths, Etnik Eropah yang lain & bangsa Yahudi. Ada kawasan yang majoriti Islam, ada yang bercampur dan ada yang majoriti non-muslim. Kepelbagaian etnik di Andalusia diwarnai oleh tiga kumpulan yang amat bertentangan dogma-ideologi iaitu Islam, Kristian dan Yahudi tetapi mereka boleh hidup harmoni selama ratusan tahun. Demografi penduduk seperti ini mempunyai kesamaan dengan negeri Selangor yang terdiri daripada Islam, Agama Orang Cina ( Tao, Buddha, Confucius dll), Hindu, Kristian, Sikh dan Pagan yang merangkumi orang Melayu pelbagai suku (Melayu, Jawa, Banjar dll), orang Cina, orang India pelbagai suku ( Tamil, Punjabi, Gujerati dll), Serani dan Asli. Di Selangor juga ada kawasan yang majoriti Islam, ada yang bercampur dan ada yang majoriti non-muslim.Kerajaan yang ada di Selangor baik semasa BN atau sekarang PR terdiri dari parti-parti yang berlainan ideologi. Semasa pemerintahan Islam di Andalus merupakan contoh dan model terbaik toleransi sebagaimana dinyatakan oleh Maria Rosa Menocal seorang professor mengenai Sepanyol di Universiti Yale[9] walaupun ada sejarawan yang kurang bersetuju seperti Bernad Lewis.[10] Ini mungkin kerana period toleransi itu tidak berjalan secara berterusan melainkan pada tempoh yang relatif singkat pada keseluruhannya, dan berlaku hanya pada sebahagian ta’ifah ketka zaman perpecahannya. Ketika zaman toleransi inilah Andalusia mencapai kemajuannya yang hebat sebagaimana yang digambarkan melalui pembinaan Madinat al-Zahra sebagai the triumph of the Islamic state[11] yang kemudian dihancurkan oleh golongan puritan Islam sekitar tahun 1010 M.[12] Walaupun Andalusia diperintah oleh kerajaan Islam yang menjalankan sepenuhnya hukum-hukum Islam, namun golongan non-muslim mendapat layanan yang baik sesuai dengan ajaran Islam itu sendiri. Tidak ada paksaan Dalam ugama (Islam), kerana Sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). oleh itu, sesiapa Yang tidak percayakan Taghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka Sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) Yang teguh Yang tidak akan putus. dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.[13]- Dan (bukanlah tanggungjawabmu Wahai Muhammad menjadikan seluruh umat manusia beriman), jika Tuhanmu menghendaki nescaya berimanlah sekalian manusia Yang ada di bumi. (janganlah Engkau bersedih hati tentang kedegilan orang-orang Yang ingkar itu; kalau Tuhan tidak menghendaki) maka Patutkah Engkau pula hendak memaksa manusia supaya mereka menjadi orang-orang Yang beriman?-[14] Ramai orang Kristian dan Yahudi yang menjawat jawatan dalam kerajaan selain berperanan dan memberi sumbangan dalam bidang-bidang lain seperti sains, perubatan dan kesusasteraan. Antara tokoh yang tercatat dalam sejarah kegemilangan Andalusia ialah Musa bin Maimon dan keluarganya yang merupakan orang Yahudi. Keadaan siyasah syar’iyah seperti ini, dalam masyarakat multi-budaya dan agama patut dikaji justeru keadaan negeri Selangor yang hampir sama situasinya. Orang Kristian dan Yahudi di Andalusia dapat menerima Islam dan orang Islam sebagai teras kerajaan, malah menerima dan mempelajari Bahasa Arab sebagai bahasa rasmi. Dalam konteks Selangor, hakikat yang perlu diterima oleh semua ialah teras kerajaan adalah orang Islam (di mana Undang-undang Tubuh Negeri selangor mensyaratkan hanya Melayu Islam menjadi Menteri Besar dengan seorang Sultan sebagai Ketua Negeri) dan Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi. Masyarakat Andalusia dapat mebentuk kebudayaan nasional mereka berdasarkan budaya Arab sebagai terasnya tanpa sebarang rasa sentimen perkauman walaupun mereka masyarakat yang multi-etnik dengan gaya mereka sendiri sehingga orang dapat membezakan orang yang berasal dari Andalus dan yang berasal dari Baghdad. Hal ini sudah tentu perlu dipelajari bagi membentuk budaya nasional kita yang berteras kepada Islam dan Melayu tanpa meminggirkan masyarakat non-Islam atau non-Melayu sehingga kita dapat melahirkan identiti tersendiri yang merujuk kepada Selangor secara khusus dan Malaysia secara umum dan bukan berdasar etnik tertentu. Pada zaman gemilangnya Andalusia merupakan taman ilmu dan budaya Islam yang melahirkan para karyawan termasuk filosof, ahli fizik, perubatan, saintis, pakar perundangan dan tidak ketinggalan artis. Antara tokoh tersohor yang merupakan alumni dari IPT Andalusia masa itu ialah Ibn Rushd, Ibn Sina, Ibn Zuhr, Al-Khwarizmi, Al-Razi dan lain-lain lagi. Para ilmuwan Eropah mendapat faedahnya daripada Andalusia seperti Thomas Aquinas dan Dante melalui Ibnu Rushd, Roger Bacon melalui Ibn Sina, Christopher Columbus melalui (peta) Al-Idrisi (Dreses) dan ramai lagi. Ini menunjukkan, sebuah negeri maju adalah negeri yang amat mementingkan ilmu pengetahuan tanpa kongkongan pemikiran intelektual, bahkan para politikus membantu serta menggalakkan perkembangan ilmu dan percambahan fikiran, bukan merencatkannya. Justeru itu, kegiatan penyebaran ilmu Islam dan ilmu pengetahuan am hendaklah menjadi agenda paling utama untuk disebarkan secara tersusun dan bersistematik melaui masjid, surau dan pusat-pusat komuniti.Wacana-wacana ilmiah perlu digalakkan di semua tempat terutamanya IPT. Selangor juga perlu mengeluarkan sebanyak mungkin para Ilmuan khususnya muslim sehingga dapat menjadi ikon masyarakat. Andalusia juga menjadi negara industri dengan pengeluaran kapas, kertas, garam, sutera, satin, jam, sabun, baldu, produk bulu haiwan di samping produk-produk berkaitan ilmu seperti peta, glob dan lebih dari 200 jenis alatan pembedahan. Negeri Selangor juga merupakan negeri perindustrian dan sesuatu boleh dipelajari bagaimana kerajaan dan masyarakat mendapat faedah daripada kegiatan ekonomi tersebut. Demikian juga dengan pra-sarana. Dikhabarkan pada abad ke 10 berdasarkan catatan pada masa itu, di Bandar Cordoba sahaja terdapat 500,000 penduduk (berbanding Paris cuma 38,000), 60,000 istana, 200,000 rumah, 700 masjid, 70 perpustakaan (dengan salah satunya dilaporkan mengandungi 500,000 manuskrip) 10,000 lampu jalan (satu-satunya di Eropah pada masa itu), 900 pusat mandian umum, 50 hospital dan jalan-jalan yang berturap.Ia adalah kota yang paling canggih di Eropah pada masa itu. Demikian antara pra-sarana berkebajikan yang terlaksana di Andalusia yang dapat dipelajari oleh Selangor bagi mencapai hakikat negeri maju. Apa yang menarik ialah 700 masjid untuk keperluan 500,000 penduduk iaitu 1 : 714. Di Selangor terdapat 353 buah masjid dan 1621[15] buah surau untuk keperluan lebih 3.07 juta umat Islam ( 1 : 1555 untuk keseluruhan dan 1:8696 untuk masjid). 70 buah perpustakaan untuk penduduk di sebuah bandar masa itu menunjukkan ia memang masyarakat yang cintakan ilmu pengetahuan berbanding negeri Selangor masa kini yang hanya punya 1 perpustakaan awam bagi setiap daerah.Demikian jumlah hospital di sebuah bandar yang wujud lebih 1000 tahun lampau melebihi apa yang ada di Selangor masa kini. Andalusia juga melahirkan tokoh fikah yang tidak kecil anak seperti Ibn Hazmin dan Ibnu Rushd. Dinamika Fiqh Ibn Hazmin dan Ibnu Rushd yang terkembang dalam realiti Andalusia maju perlu dikaji dalam kerangka mazhab Syafi’i bagi mencari penyelesaian persoalan kontemporari, terutama bersangkutan dengan fikah masyarakat plural. Isu-isu seperti penternakan babi, kilang arak, rumah terbuka perayaan masyarakat dalam konteks Malaysia mungkin antara yang perlu mendapat perhatian. Hal yang berlaku di Andalusia perlu dilihat sebagai satu aspirasi wacana fikah kontemporari. Era pemerintahan di Andalusia yang mewakili corak pemikiran yang berbeza sangat perlu untuk dikaji samada dari segi metodologinya, kesan, kesesuaian dan aplikasinya pada masa kini. Pola pemikiran semasa Dinasti Umayyah adalah berbeza daripada era Al-Murabitun yang dikenal fundamentalis apatah lagi era Al-Muwahidun yang lebih ekstrim serta era al-Nasiriyah yang merupakan dinasti terakhir Islam di Semenanjung Iberia sebelum menyerah kepada Raja Ferdinand II of Aragon dan Ratu Isabella of Castille melalui Abu Abdullah (Boabdil) pada tanggal 2 Januari 1492.[16] Dikatakan golongan al-Murabitun sebagai golongan puritan memerangi Kekhalifahan Umayyah, membakar dan menghapuskan sama sekali kota Madinat al-Zahra daripada muka bumi kerana beranggapan mereka terlalu liberal dalam menafsirkan ajaran Islam. Hal ini digambarkan oleh buku “Ornament of the World” sebuah buku tentang muslim Sepanyol; …around 1010, Medina Azahara was sacked by Islamic purists from North Africa who considered the Muslim culture it represented far too liberal in its interpretation of the Koran. The raid effectively wiped the city off the map for a millennium.[17] Sejauh mana keliberalan penafsiran ajaran Islam oleh penduduk kota Madinat al-Zahra ? Adakah sesongsang Islam Liberal, atau masih berpijak atas metodologi yang disusun para ulama muktabar. Inilah dinamika fikah yang patut kita pelajari untuk dianalisis dan seterusnya diteladani atau disempadani. PENUTUP Hakikat yang perlu kita terima masa kini ialah, Negeri Selangor Darul Ehsan yang kita kasihi ini mengandungi pola penduduk yang amat pluralistik dari semua segi – komposisi kaum dan etnik, kepercayaan dan kayakinan agam yang beragam, pemikiran falsafah dan politik yang pelbagai dan status hiraki masyarakat yang bertingkat. Islam sebagai agama yang syamil lagi kamil sebagaimana yang kita yakini, tentulah memberikan kita jalan untuk menyelesaikan kerenah masyarakat yang semakin kompleks dan metropolis ini. Para ulama dan cendekiawan Muslim perlu menggunakan segenap keupayaan akademik dan ilmiah mereka bagi menggagaskan suatu bentuk pemikiran Islam kontemporari yang tidak lari daripada kerangka metodologi mazhab Syafi’i yang ditampung pula oleh mazhab-mazhab lain yang muktabar di atas jalan Ahl Sunnah Wal-Jamaah yang telah berakar-umbi di rantau sebelah sini. Kami merasakan, inilah sumbangan kecil daripada kami yang kerdil dalam sebuah masyarakat yang perkasa di negeri yang dinamik ini. Semoga seminar pada hari ini akan membuka jalan kepada kita mencari yang terbaik memacu kepada destinasi impian, baldatun tayyibah wa rabbun ghafur. Wallahu A’lam.

BIBLIOGRAFI

Maryam Noor Beig, Andalusia When It Was, http://www.hispanicmuslims.com/ andalusia/andalusia.htm Islamic History, Islam in Spain http: //www.islamicweb.com/ history/ http://www.paradoxplace.com/Chronology Photos and Maps of Al-Andalus – Muslim Spain (711 – 1492).htm UstazAzam bin Hamzah, Sejarah Dan tamadun Islam di Andalus (711-1492), Shah Alam : Hizbi Sdn Bhd, 1991. Imaduddin Abil Fida’ Ismail bin Ali, Tarikh Abil Fida’ al-Musamma al-Mukhtasar fi Akhbar al-Basyar, Jil.2, Beirut : Dar al-Kutub Al-Islamiyyah, 1997. Masden, Hillary, Chambers Dictionary of World History, Edinburg : Chambers Harrap Publishers Limited, 2000. Rockwood, Camilla (ed.), Chambers Biographical Dictionary, Edinburg : Chambers Harrap Publishers Limited, 2007. María Rosa Menocal , The Ornament of the World , lihat http://id.wikipedia.org/wiki/Al-Andalus http://archnet.org/library/sites/one-site.jsp?site_id=3946. http://en.wikipedia.org/wiki/Madinat_Al-Zahra al-Tabari , Muhammad ibn Jarir, J?mi` al-bay?n `an ta’wA. Dar al-Kotob al-Ilmiyah. [1] Surah Saba’: 15-16. [2] Tafsir al-Tabari 19 :248. [3] Ali Imran : 110 [4] Al-Mawardi, al-Ahkam al-Sultaniyah : 5 [5] Apabila disebut perbuatan mungkar, ia bukan sahaja merujuk kepada sejumlah kelakuan immoral individu seperti seks bebas, penagihan dadah, hedonisme dan yang seumpamanya sebagaimana yang difahami sebahagian manusia selama ini.Ia meliputi semua perkara yang dilarang oleh nilai-nilai dan hukum agama samada dalam politik (siyasah), ekonomi (muamalat), perundangan (jinayat) dsb. [6] United Nations Economic and Social Commission for Asia and the Pacific [7] http://www.unescap.org/pdd/prs/ProjectActivities/Ongoing/gg/governance.asp [8] Taha : 124 [9] María Rosa Menocal , The Ornament of the World , lihat http://id.wikipedia.org/wiki/Al-Andalus [10] The Jews in Islam, bab 1 hal. 4, ibid. [11] Vallejo Triano, Antonio. 1992. “Madinat al-Zahra : the triumph of the Islamic state” pada catatan kaki http://archnet.org/library/sites/one-site.jsp?site_id=3946. [12] http://en.wikipedia.org/wiki/Madinat_Al-Zahra [13] Al-Baqarah : 256. [14] Yunus : 99. [15] Bahagian Pengurusan masjid, JAIS. http://www.jais.net.my/ [16] Lihat Masden, Hillary, Chambers Dictionary of World History, Edinburg : Chambers Harrap Publishers Limited, 2000. juga Rockwood, Camilla (ed.), Chambers Biographical Dictionary, Edinburg : Chambers Harrap Publishers Limited, 2007. [17] María Rosa Menocal, op.cit.


About this entry