FAQIR MISKIN DALAM ASNAF ZAKAT

MUKADDIMAH

Zakat adalah salah satu daripada rukun Islam yang perlu dilaksanakan oleh seseorang mukallaf. Banyak ayat-ayat al-Quran yang menggandingkan kewajipan sembahyang dengan kewajipan membayar zakat. Ia merupakan satu bentuk pengeluaran harta mengikut kadar, nisab, dan syarat-syarat yang ditentukan oleh syarak.
Zakat diambil daripada perkataan ( ????) iaitu membersihkan sesuatu yang bererti meanmbahkan dan menyuburkan.[1] Ini adalah kerana diantara hikmah pensyraiatan zakat ialah untuk membersihkan harta-harta yang dicari.
Dalam perundangan Islam, harta-harta yang wajib dikeluarkan zakat ialah naqdan ( mata wang / emas & perak ), binatang ternakan, tanaman dan buah-buahan, perniagaan dan harta rikaz ( harta karun ).[2]Manakala ulamak kontemporari pula berijtihad dengan meluaskan lagi zakat kepada zakat pendapatan berdasarkan ijtihad sesetengah imam.

ORANG-ORANG YANG BERHAK MENERIMA ZAKAT

Al-Quran telah menaskan secara qat’ie tentang orang-orang yang berhak menerima zakat. Allah SWT berfirman mafhumnya;

“ Sesungguhnya sedekah-sedkah ( zakat ) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, amil-amil yang menguruskannya, orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya ( kepada Islam ), untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan diri , orang-orang yang berhutang, untuk (dibelanjakan ) pada jalan Allah, dan orang-orang musafir ( yang keputusan) dalam perjalanan , ialah sebagai satu ketetapan dari Allah. Dan ( ingatlah ) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana “ ( At-Taubah : 60 )

Dalam ayat di atas jelas menunjukkan terdapat lapan asnaf mereka yang berhak dan layak untuk menerima zakat.Dalam kertas kerja ini hanya akan membincangkan asnaf pertama dan kedua iaitu orang-orang faqir dan miskin.

AYAT AL-QURAN DAN HADIS NABI SAW MENGENAI FAKIR DAN MISKIN

Terdapat banyak ayat-ayat al-Quran dan hadis nabi SAW mengenai orang fakir dan miskin, antaranya yang sempat kami turunkan (mafhumnya );

“ Zakat itu hanya diberikan kepada orang-orang fakir, yang terlantar pada jalan Allah; mereka tidak kuasa berjalan di muka bumi. Orang-orang yang tak tahu mengira, bahawa mereka orang kaya, iaitu orang yang berkecukupan, engkau kenal mereka dengan tanda-tanda bahawa mereka tidak mahu mengemis kepada manusia dengan terus-terusan diketahui segala yang engkau belanjakan dari kebaikan, sesungguhnya diketahui Allah.” ( Al-Baqarah : 273 )

Dari Abdillah bin ‘Adiy bin Al-Khiyar r.a.,; Bahawasanya dua orang lelaki mengkhabarkan kepadanya bahawa mereka berdua telah datang kepada Rasulallah SAW untuk meminta bahagian daripada zakat, maka baginda melihat mereka berulang-ulang dan ternyata bahawa mereka itu adalah orang-orang gagah, maka baginda SAW bersabda : Kalau kamu mahu, aku akan memberinya, tetapi orang yang mampu, dan yang kuat yang dapat berusaha tidak ada hak menerima zakat. – Riwayat Ahmad dan dikuatkan oleh Abu Daud dan Nasa’ie.

Dari Abu Hurairah r.a., Bahawasanya Nabi SAW bersabda : Bukanlah dinamakan miskin orang-orang yang berkeliling mengemis kepada manusia, yang diberinya sesuap dua makanan , sebiji atau dua biji tamar, tetapi dinamakan miskin ialah orang-orang yang tidak mendapat kecukupan dan tidak diketahui orang pula tentang kemiskinannya itu, lalu orang memberinya sedekah dan dia tidak keluar mengemis.- Riwayat Bukhari dan Muslim.

Dari Sahl r.a.,beliau berkata : Telah bersabda Nabi SAW : Sesiapa yang mengemis dan di sisinya ada makanan yang mencukupi keperluannya, maka sesungguhnya dia memperbanyak bara api Jahannam. Seorang sahabat bertanya ; Ya Rasulallah ! Apa maksudnya makanan yang mencukupi itu ? Rasulallah SAW menjawab; Iaitu makanan sekadar dapat mengenyanginya untuk makan pagi dan petang. – Riwayat Abu Daud dan Ibnu Hibban.

Dari Qabisah bin Mukhariq Al-Hilali r.a., beliau berkata ; Rasulallah SAW bersabda ; Sesungguhnya meminta-minta itu tidak halal kecuali bagi salah satu dari tiga orang ini; orang yang menanggung hutang orang lain, maka hal baginya mengemis, sehingga dia dapat membayar hutang itu. Kemudian dia hendaklah berhenti dari mengemis. Dan orang yang kena bencana sehingga habis semua hartanya, maka halal baginya mengemis sehingga dia mendapat penghidupan yang tetap. Dan orang yang tertimpa kesengsaraan sehingga tiga orang yang berakal dari kaumnya berkata ; Sungguh si fulan telah ditimpa kesengsaraan, maka halal baginya meminta-minta sehingga dia mendapatkan sandaran hidup yang tetap. Adapun selain daripada itu hai Qabisah, adalah haram dan orang yang makan harta itu bererti makan yang haram. – Riwayat Muslim, Abu Daud, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban.

FAKIR DAN MISKIN MENGIKUT PANDANGAN MAZHAB EMPAT

Oleh kerana Al-Quran menyebutkan fakir dan miskin secara berasingan, maka tentulah kedua-dua golongan tidak sama sebagaimana yang difahami oleh kita. Dalam perundangan Islam, setiap golongan mempunya takrif
masing-masing yang membezakan di antara mereka.

Para ulamak berbeza pendapat dalam mentakrifkan fakir dan miskin. Berikut diperturunkan pendapat beberapa orang imam tentang takrif fakir dan miskin.

Imam Abu Hanifah menyatakan fakir ialah orang yang memiliki sedikit daripada nisab harta, atau yang memiliki harta yang cukup nisab tetapi tidak cukup untuk memenuhi keperluannya, ataupun nisab hartanya banyak tetapi tidak cukup untuk keperluannya, maka tidak wajib baginya mengeluarkan zakat kerana dia adalah fakir , malah berhak pula untuk menerima zakat. Manakala miskin pula ialah mereka yang tidak memiliki apa-apa.[3] Dengan erti kata lain, fakir ialah yang mempunyai sebahagian keperluannya tetapi
tidak mempunyai sebahagian yang lain manakala orang miskin tidak punya apa-apa.[4]

Imam Malik pula menyatakan, fakir ialah mereka yang memiliki harta sedikit daripada kecukupan umum.[5] Dan miskin ialah orang yang tidak memiliki apa-apa.[6] Manakala Imam Ahmad bin Hanbal berpendapat fakir ialah mereka yang tidak memiliki apa-apa ataupun tidak memiliki setengah
daripada keperluannya dan miskin ialah mereka yang memiliki setengah daripada keperluannya ataupun lebih .[7]

Imam Syafi’e menyatakan , fakir ialah mereka yang tidak memiliki harta dan tiada kerjaya yang halal atau mempunyai harta dan pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi kerana ianya sedikit daripada setengahkeperluan dan tidak ada orang yang memberinya nafkah yang kecukupan. Miskin pula ialah mereka yang mempunyai harta atau kerjaya halal yang hanya memenuhi setengah keperluan hidup atau lebih daripada sebahagian setengah ( tetapi masih belum memenuhi keperluan penuh ). [8]

Secara ringkasnya, Faqir di sisi Abu Hanifah dan Malik ialah mereka yang mempunyai sebahagian daripada keperluannya dan miskin pula ialah mereka yang tidak punya apa-apa manakala Faqir di sisi Ahmad dan Syafi’e ialah mereka yang tidak punya apa-apa sedangkan miskin ialah mereka yang memiliki sebahagian daripada keperluannya.[9]

Daripada huraian di atas, pendapat Imam Abu hanifah lebih kurang sama dengan pendapat Imam Malik dan begitu juga pendapat Imam Ahmad bin Hanbal lebih kurang sama dengan pendapat Imam Syafi’e . Pendapat Hanafi dan Maliki adalah kebalikan daripada pendapat Hanbali dan Syafi’e yang mana fakir bagi Hanafi dan Maliki ialah miskin bagi Hanbali dan Syafi’e dan begitulah sebaliknya.

KONSEP FAKIR DAN MISKIN MENGIKUT PANDANGAN MAZHAB SYAFI’E

Al-Jaziri menukilkan pendapat Syafi’e tentang fakir dan miskin sebagaimana yang telah disebutkan di atas sebagai berikut – fakir ialah mereka yang tidak memiliki harta dan tiada kerjaya yang halal atau mempunyai harta dan pekerjaan yang halal tetapi tidak mencukupi kerana ianya sedikit daripada setengah keperluan dan tidak ada orang yang memberinya nafkah yang kecukupan. Miskin pula ialah mereka yang mempunyai harta atau kerjaya halal yang hanya memenuhi setengah keperluan hidup atau lebih daripada sebahagian setengah ( tetapi masih belum memenuhi keperluan penuh ).[10]

Dan status kefakiran dan kemiskinannya tidak terhapus dengan adanya rumah yang selayaknya bagi mereka, atau mempunyai pakaian yang seumpamanya walaupun pakaian itu untuk keanggunan. Demikian juga tidak terhapus status fakir dan miskin perempuan yang memakai barang kemas sekadar keperluan perhiasan mengikut adat atau mereka mempunyai kitab-kitab yang diperlukan untuk muzakarah dan rujukan. Begitu juga jika
mereka memiliki hasil usaha dari yang haram, atau harta yang berada jauh dua marhalah atau lebih, atau piutang pada orang yang tertangguh.Semuanya ini tidaklah menghalang mereka mendapat bahagian zakat atas sifat fakir dan miskin.[11]

Dalam Al-Majmuk, dinyatakan bahawa orang yang fakir ialah mereka yang tidak kuasa bekerja untuk perbelanjaannya sehari-hari, tidak denganharta dan tidak pula dengan usaha.Manakala miskin pula ialah mereka yang berupaya untuk bekerja mencari keperluan hidup sehari-hari namun tidak cukup untuk memenuhi keperluannya.[12]

Dalam Al-Umm – kitab induk mazhab Syafi’e, Imam Syafi’e menyatakan bahawa orang fakir ialah – dan Allah lebih mengetahui – orang yang tiada berharta dan tiada pekerjaan yang berhasil baginya pada suatu masa atau bukan pada suatu masa samada dia mengemis atau tidak suka mengemis. Orang miskin pula ialah orang yang mempunyai harta atau pekerjaan yang berhasil baginya dan tidak mencukupi samada ia mengemis atau tidak mengemis.[13]

Dalam Fathul Muin dinyatakan bahawa fakir itu ialah mereka yang tidak mempunyai harta dan pekerjaan yang sepatutnya yang hasilnya dapat memenuhi keperluan dirinya dan orang yang berada di bawah tanggungannya. Status kefakiran ( dan kemiskinan ) mereka tidak terangkat walaupun mereka mempunyai tempat tinggal , beberapa helai pakaian sekalipun pakaian cantik untuk hari-hari tertentu ( seperti Hari Raya ), mempunyai buku-buku yang diperlukan, memiliki hamba yang diperlukan sebagai pelayan, mempunyai harta sejauh dua marhalah, mempunyai harta di tempat yang dia tidak dapat mengambilnya kerana halangan sesuatu, mempunyai harta piutang yang belum sampai masa pembayaran dan mempunyai pekerjaan yang tidak selayaknya.[14]

Mengenai barang kemas yang dipakai seperlunya sebagai perhiasan untuk dipakai secara biasa juga tidak mengangkat status kefakirannya menurut fatwa sebahagian ulama.[15]

Orang miskin pula ialah orang yang memiliki harta atau kerjaya yang dapat memenuhi keperluannya tetapi masih belum cukup.Misalnya dia mempunyai keperluan 10 tetapi hanya mempunyai 8 dan ia tidakmencukupi sekalipun dia memiliki harta lebih daripada satu nisab.[16]

Dalam Fathul Qarib pula menjelaskan, fakir dalam bab zakat ialah mereka yang tidak mempunyai harta dan tidak mempunyai penghasilan tertentu yang sekira-kira dapat memenuhi keperluannya , manakala fakir ‘araya ( ) ialah orang yang sama sekali tidak mempunyai wang.

Manakala miskin pula ialah orang yang mempunyai harta atau penghasilan yang tidak cukup untuk memenuhi keperluannya seperti orang yang memerlukan 10 dirham tetapi hanya memiliki 7 dirham.[17]

CIRI -CIRI FAKIR DAN MISKIN

Berdasarkan kepada beberapa huraian dalam kitab-kitab mazhab Syafi’e di atas, dapatlah kita simpulkan bahawa fakir dan miskin mempunyai beberapa ciri.

Ciri-ciri bagi seorang yang dikatakan faqir ialah;
Tidak mempunyai apa-apa harta yang dalam Fathul Qarib dikatakan faqir ‘araya () .
Tidak mampu berkerjaya.
Jika ada harta atau hasil kerjayanya tidak cukup setengah dari keperluan hidup
Manakala ciri-ciri miskin pula ialah;

1. Ada harta dan kerjaya
2. Harta dan kerjayanya tidak memenuhi keperluan hidup
3. Harta atau kerjayanya hanya memenuhi setengah atau lebih dari keperluan hidup

FAKIR DAN MISKIN YANG TIDAK BERHAK MENERIMA ZAKAT

Walaupun fakir dan miskin adalah golongan yang disebut dalam nas qat’ie berhak atas zakat, namun di sana terdapat beberapa golongan yang walaupun fakir tidak boleh menerima zakat. Mereka ialah;

1. Orang kafir

Orang-orang kafir tidak berhak menerima zakat walaupun mereka itu fakir dan miskin dan hal ini disepakati oleh para imam yang empat [18] sebagaimana dalilnya dari hadis nabi SAW,
Serulah mereka untuk menyaksikan bahawa Tiada Tuhan Melainkan Allah dan akulah utusan Allah…….sekiranya mereka mematuhinya, beritahu kepada mereka bahawa Allah telah meemfardukan zakat kepada mereka ; diambil daripada orang kaya di kalangan mereka dan diserahkan kepada orang fakir di kalangan mereka, – Riwayat Bukhari ( hadis no. 1331 ) dan Muslim ( hadis no. 19 ).

Di sana terdapat pendapat Az-Zuhri dan Ibnu Syubrumah yang membolehkan zakat diberikan kepada ahli Zimmah. Demikian juga menurut yang zahir dari mazhab Abu Hanifah harus diberikan zakat fitrah dan kaffarah kepada ahli zimmah ( kafir zimmi ).[19]

2. Orang yang dibawah tanggungan

Orang yang di bawah tanggungan pembayar zakat juga tidak berhak menerima zakat atas asnaf fakir dan miskin oleh pembayar zakat tersebut walaupun mereka itu miskin dan fakir seperti anak-anak , cucu-cicit dan seterusnya, juga ibu, bapa, emak, datuk, nenek dan seterusnya kerana keperluan mereka wajib dicukupkan oleh penanggung nafkah mereka. Mereka berhak atas zakat atas asnaf lain jika mereka berkaitan.Namun, mereka boleh menerima zakat dari orang lain jika nafkah yang diterima tidak mencukupi keperluan hidup atas asnaf fakir dan miskin. [20] Demikian juga hamba yang dibawah tanggungan pembayar zakat tidak boleh menerima zakat daripadanya.[21]

3. Keturunan Bani hashim dan Bani Abdul Mutalib berdasarkan hadis Nabi SAW,

Sesungguhnya sedekah ( zakat ) adalah kotoran manusia, tidak halal untuk Muhammad dan keturunan Muhammad – Riwayat Muslim

Dari Abu Hurairah r.a., beliau berkata : Hasan bin Ali r.a. mengambil sebiji kurma dari kurma zakat lalu dimasukkan ke mulutnya, maka Nabi SAW bersabda; Ekh!Ekh! ( isyarat untuk mengeluarkan dari mulut ) kemudia bersabda ; Ingat ! Kamu harus merasa bahawa kamu tidak makan sedekah ( zakat )-Bukhari dan Muslim

Antara yang termasuk dalam Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib ialah keluarga Saidina Ali, keluarga Abbas, keluarga Jaafar, keluarga Aqil dan keluarga Al-Haris bin Abdul Mutalib. Demikian juga mawali Bani Hashim.[22]

Dalam al-Fiqhul Manhaji, mereka berijtihad bahawa pada hari ini Bani Hashim dan Bani Abdul Mutalib boleh menerima zakat sekiranya mereka masuk dalam asnaf yang berhak menerima zakat.[23]

KONSEP FAKIR DAN MISKIN KONTEMPORARI

Para ulamak hanya meletakkan ciri-ciri fakir dan miskin tanpa menentukan berapakah nisabnya keperluan hidup seharian kerana ianya berubah mengikut keperluan semasa dan sezaman. Dan nisab ini pula tidak sama antara satu tempat dengan satu tempat yang lain, corak gaya hidup dan keperluan –keperluan kontemporari.

Mengikut nisab sara hidup semasa kontemporari yang dikeluarkan oleh Konggres Kesatuan Sekerja Malaysia ( MTUC ), had minimum bagi sara hidup semasa yang dikira cukup selesa bagi sebuah keluarga 5 orang ialah RM 1,500.00 sebulan.[24] Manakala nisab yang dikeluarkan oleh
Jabatan-jabatan Agama Islam adalah berbeza-beza mengikut negeri. Selalunya antara RM 500.00 sehingga RM 1000.00. Perbezaan ini adalah mengikut suasana setempat di negeri masing-masing manakala pihak MTUC meletakkan had minimum kebangsaan sebagai asas bagi tuntutan gaji minimum RM 1000.00 sebulan.

Selain daripada suasana tempat dan kos sara hidup, ia juga bergantung kepada saiz keluarga dan tanggungannya. Seseorang yang berpendapatan RM 1000.00 sebulan dan hanya menanggung diri sendiri atau seorang isteri tidak boleh dikatakan sebagai fakir atau miskin walaupun hidup di kotaraya. Sebaliknya jika menanggung sehingga sepuluh orang dalam satu keluarga yang tidak ada pendapatan lain melainkan ianya, maka bolehlah dia dikatakan samada fakir atau miskin.

PENUTUP

Fakir dan miskin adalah hakikat kehidupan dalam komuniti sepanjang zaman. Kerana itulah ia termasuk dalam asnaf golongan yang berhak untuk menerima zakat. Dan pemberian zakat ini bukanlah untuk menjadikan orang yang fakir dan miskin tadi malas dan tidak mahu berusaha untuk mencapai kejayaan hidup sebagaimana hadis-hadis sebelum ini yang menunjukkan baginda SAW tidak gemar kepada mereka yang malas sedangkan dia ada kemampuan, tetapi sebagai membantu kehidupan mereka sehingga mereka dapat berdikari dengan kecukupan sara hidup.
Selain daripada bantuan ini hanya untuk memenuhkan keperluan hidup fakir dan miskin, ia bolehlah dikembangkan kepada sumbangan yang mampu menjadikan golongan fakir dan miskin ini memperbaiki kehidupan mereka sehingga mereka mampu pula membayar zakat.

WalLahu A’lam.

BIBLIOGRAFI

1. Dr. Mustafa Al-Khin dkk, Al-Fiqhul Manhaji Ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafi’e, terj.Ridzuan Hashim, Pustaka Salam, K.L,1998,
2. Al-Jaziri, Abdul Rahman, Kitab Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arba’ah, Dar Arryan, Kaherah, 1987
3. As-Siddiqy, Prof.Dr.T.M. Hasbi, Hukum-hukum Fiqih Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1983,
4. Ad-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman, Rahmatul Ummah fi Ikhtilafi Al-A’immah, Darul Fikir, Beirut, 1996
5. H. Idris Ahmad S.H., Fiqh Syafi’I, Pustaka Antara, K.Lumpur, 1989,Jl.1,
6. Imam Asy-Syafi’, Al-Umm, terj; Prof.TK.H.Ismail Yakub, Victor Agencie, K.Lumpur,1989, Jl.3
7. Drs. M. Aliy As’ad, Terjemahan Fathul Muin,Klang Book Centre, Klang,1988
8. Qasim Asy-Syafi’e, Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin, Fathul Qarib, terj : Drs.Imron Abu Amar, Klang Book Centre, Klang,1989

[1] Dr. Mustafa Al-Khin dkk, Al-Fiqhul Manhaji Ala Mazahib Al-Imam Asy-Syafi’e, terj.Ridzuan Hashim, Pustaka Salam, K.L,1998, h. 278
[2] Ibid,hh.288-294
[3] Al-Jazari, Abdul Rahman, Kitab Al-Fiqh Ala Al-Mazahib Al-Arba’ah, Dar Arryan, Kaherah, 1987,h. 4
[4] As-Siddiqy, Prof.Dr.T.M. Hasbi, Hukum-hukum Fiqih Islam, Bulan Bintang, Jakarta, 1983,h.175
[5] Op.cit
[6] ibid
[7] Ibid
[8] Ibid
[9] Ad-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abdul Rahman, Rahmatul Ummah fi Ikhtilafi Al-A’immah, Darul Fikir, Beirut, 1996,h.64
[10] Al-Jazari, Op.cit.
[11] Ibid
[12] H. Idris Ahmad S.H., Fiqh Syafi’I, Pustaka Antara, K.Lumpur, 1989,Jl.1,h.401
[13] Imam Asy-Syafi’, Al-Umm, terj; Prof.TK.H.Ismail Yakub, Victor Agencie, K.Lumpur,1989, Jl.3,h.3
[14] Drs. M. Aliy As’ad, Terjemahan Fathul Muin,Klang Book Centre, Klang,1988,hh.35-36
[15] ibid
[16] ibid
[17] Qasim Asy-Syafi’e, Syamsuddin Abu Abdillah Muhammad bin, Fathul Qarib, terj : Drs.Imron Abu Amar, Klang Book Centre, Klang,1989,175.
[18] Ad-Dimasyqi, op.cit.,64
[19] ibid
[20] Dr.Mustafa Al-Khin, op.cit.,324
[21] Ad-Dimasyqi, op.cit.,65
[22] Ibid.
[23] Dr.Mustafa Khin, op.cit.,326
[24] Laporan akhbar, BH & UM tahun 2000.

Advertisements

About this entry