THE TRANSPORTER

Dan kenangan lalu itu
Sesekali…………
Sentiasa menggamit gila
Perjalanan ke Pekan Sabak cukup meletihkan, lebih-lebih lagi apabila memandu sendirian. Ditambah dengan satu jam terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di Bandar Diraja Klang, perjalanan cukup membosankan mengelakkan lubang dan lekuk jalan yang sedang dalam proses pelebaran menghala ke Kuala Selangor.
Rasa kesal merayap dalam diri kerana lewat menghantar kereta kesayangan ke bengkel kerana stereng kuasanya rosak.Terpaksalah menggunakan kereta kedua yang selalunya digunakan oleh isteriku. Tak dapat aku menikmati rasa menjadi “The Transporter” walaupun aku cuba menggayakannya dengan kaca mata hitam dan sarung tangan kulit.
Setiap kali perjalanan jauh, aku akan membayangkan diri menjadi Frank yang dilakonkan oleh Jason Statham dalam filem The Transporter. Walaupun keretaku bukan sejenis dengan yang dipandu oleh Frank dalam filem aksi itu, tetapi bolehlah dikatakan sekelas dengannya. Buruk-buruk pun, itulah kereta kesayanganku. Ah…..kali ini terpaksa memandu Proton sahaja, namun aku tetap membayangkan perjalanan jauh seperti The Transporter.
Hujan yang sekejap lebat dan sekejap renyai membasahi separuh dari perjalananku. Sambil fikiran membayangkan tempat yang tidak pernah dijejaki selama aku hidup, perasaanku dilambai dengan lagu-lagu nostalgia evergreen 80an stesen Sinar.FM. Semuanya feeling, mengimbau kenanganku jauh beberapa tahun ke belakang. Labih-lebih lagi bila lagu Gloria Estefan dikumandangkan, ia cukup menyentuh perasaan. Yalah, gambar Gloria Estefan yang dilukis oleh tanganku sendiri pernah kukirimkan kepada seseorang yang tinggal hanya menjadi cebisan memori gila sahaja.
Setelah mengharungi perjalanan lebih empat jam, sampailah aku ke destinasinya. Sungguh aku tidak menyangka di hujung kawasan pedalaman seperti ini tersergam sebuah pusat latihan yang lengkap. Sampai sahaja, aku terus mendaftar di kaunter dan sebaik mendapat kunci bilik aku terus menuju ke tempat yang akan menjadi penginapanku selama dua hari ini. Suasana masih kelihatan sunyi kerana belum ramai lagi peserta yang datang menyebabkan aku termenung seorang diri sambil melepaskan lelah di atas katil.
Kali ini aku memang memasang niat untuk ke tempat yang pernah menjadi kenangan lampauku. Kenangan yang terus-terusan terpahat dalam sejarah masa lalu. Bukan aku cuba untuk mengusik cebisan memori masa lalu kerana yang lalu tetap berlalu dan tidak akan kembali lagi, sekadar menjenguk khabar orang tua yang aku dengar sedang sakit.
Sepanjang labih sedekad ini, sudah tiga kali aku singgah di daerah ini setiap kali perjalanan ke Perak atas pelbagai urusan.Aku hanya sekadar berpusing-pusing di sekitar Taman Baiduri Jaya melewati hadapan rumah no.10. Tidak berani untuk kusinggah. Tapi kali ini, bila kudengar orang tua itu sakit, aku bertekad untuk menziarahinya. Apa salahnya menziarahi orang sakit ? Bukankah itu sunnah Nabi? Disamping untuk mengimbau kenangan lalu yang kurindui.
Sedang aku menikmati minum petang , aku terkejut beruk apabila disapa oleh satu suara yang amat kukenali dari arah belakang. Sebaik aku menoleh, aku tersengih melihat sahabat lamaku juga berada di sini.
“ Laaa….Kau Samdol . Apa jadah kau di sini ?” sapanya dengan bahasa power yang tidak pernah berubah sejak dari dulu. Aku Cuma tersengeh lebar, gembira kerana ada juga aku teman di sini.
“ Aku ada seminarlah.Kau buat apa kat sini ? Aku tengok senarai nama kau tak ada pun?”
“ Tengok bulu kakilah….Kau ingat kau sorang boleh datang ? Aku ada kursuslah. Sorang ke ?”
“ Setakat ni, bini masih soranglah…kah..kah…kah…” berderai tawa kami menggamatkan dewan makan. Gurau senda kami bertambah hangat dengan kehadiran dua orang rakan sahabatku. Rupa-rupanya semua satu kepala. Habis kepoh dibuatnya.
“ Kau naik apa ?”tanyanya spotan.
“ Kereta. Kenapa ?”
“ Jom petang ni kita ke Pekan Sabak. Aku nak tengok rumah aku dulu.”
“ Kat mana ?”
“ Taman Baiduri Jaya.”
Taman Baiduri Jaya ? Terpempan aku mendengar nama tempat itu, diam dan merenung jauh ke hadapan. Hamad kelihatan hairan dengan reaksi spontanku. Dia cuba bertanya, tetapi pantas aku memotong.
“ Ok.Aku pun memang nak ke sana. Jumpa aku di kereta jam 5.30.”
Kami terus bangun menuju ke bilik penginapan masing-masing. Selesai mandi dan bersiap, aku pun turun. Hamad dan rakannya telah sedia menunggu di tempat letak kereta.
“ Mana kereta power kau ? Aku baru je rasa nak naik,” sapa Hamad sebaik aku sampai.
“ Sakit, ada kat bengkel”
“Jom, cepat. Nanti kita nak balik sebelum maghrib.”
Aku terus memecut keluar dari pusat latihan menuju ke Pekan Sabak. Sepanjang perjalanan, tak habis-habis derai tawa kami memenuhi segenap ruang kereta. Masing-masing menceritakan imbauan kisah lama. Termasuk aku.
“ Masih ingat juga kau dengan awek lama ya,” kata Hamad sambil ketawa kecil.
“ Itulah namanya cinta pertama. Ia tidak akan hilang dari pahatan jiwa. Kau ingat tak cerita Kuch Kuch Hota Hai. Kenapa Anjali tak kahwin dalam tempoh yang lama. Sebab cinta pertama. Walaupun dia dah nak dikahwinkan dengan Aman, cintanya tetap pada Rahul.”
“ Yalah. Aku sendiri kalau balik kampung, mesti lalu satu jalan tu walaupun jauh. Bini aku tanya, kenapa lalu jalan ini ? Kan ada yang lebih dekat. Aku kata, jalan ini lalu rumah awek lama. Manalah tahu kot-kot nampak dia sedang menyapu sampah….” Berderai lagi ketawa kami apabila Salim, rakan Hamad mencelah.
“ Aku dapat rasakan semua orang macam tu. Aku sendiri masih teringat awek lama aku masa kat US dulu. Aku pun tak tahu sekarang dia di mana. Tapi, kalau aku tahu dia sekarang sudah menjanda, aku tak fakir panjang untuk sambar dia balik…Kah ! Kah ! Kah !” Hamad pula menggamatkan kereta kami.
“ Siapa mata air kau tu dulu ?” tanya Hamad.
“ Robayah, anak Cikgu Lajis.”
“ Cikgu Lajis ? Isterinya tidak bekerja, kan ?”
“ Yalah tu….”
“ Laaa…apa fasal tak cakap awal-awal? Tu jiran aku dulu tu….Anak dia memang cantik sebab maknya pun cantik. Aku sendiripun dulu terpikat tengok mukanya. Nasib baik masa tu aku dah anak satu…..” Berderai lagi ketawa kami sebelum Hamad menyambung kata-katanya,” Aku dengar Cikgu Lajis sakit.”
“Sebab tulah aku nak ziarah ni. Bukan kerana Robayah…” aku cuba mengalih tanggapan.
“ Kentuuut, tak percaya aku….” Kata Hamad menyebabkan semua yang ada dalam kereta ketawa lagi terkekeh-kekeh.
“ Itu kan nasib. Kalau dapat jumpa satu bonus. Alaaah…dia dah kahwin.Dah duduk dengan laki dia entah kat mana,”
Perbualan kami terhenti apabila sampai di Pekan Sabak. Aku terus membelokkan kereta ke Taman Baiduri Jaya, menuju ke rumah no.10. Sampai di hadapan pintu pagar, kelihatan seorang perempuan muda sedang menjaga anak. Yang pastinya itu bukanlah Robayah.
Hamad memberi salam dan bertanyakan kalau-kalau Cikgu Lajis ada di rumah. Lama menunggu, barulah keluar seorang perempuan separuh umur.
“ Nak cari siapa ?” tegurnya.
“ Akak tak kenal saya lagi, ke ?” tanya Hamad cuba memperkenalkan diri.
“ Siapa ya ? maaflah…akak tak camlah…”
“ Sayalah…..Hamad. yang duduk kat hujung tu dulu,” kata Hamad menjelaskan dirinya sambil tangannya menunjuk ke suatu sudut kawasan perumahan itu.
“ Masya Allah….Hamad. Maaflah akak sebab tak kenal tadi. Hei, dah makin sihat kau ya.”
“Ha…Yang ini kenal tak ? “ tanya Hamad sambil menunjuk ke arahku. Perempuan separuh umur itu merenungku cuba mengingat.
“ Kawan Amirul dulu…..,” Hamad cuba memberikan klu.
“ La….Azli rupanya. Engkau pun makin sihat, ye. Marilah semuanya masuk. Pakciknya ada kat dalam tu. Dia sakit.”
Kami semua pun masuk untuk melihat keadaan Cikgu Lajis. Walaupun isterinya cuba memperkenalkan kami kepadanya dan kami bersalaman, Cikgu Lajis tidak dapat mengecam dan mengenali kami. Dia tidak bercakap, tetapi seolah-olah cuba memperkatakan sesuatu melalui mimik mukanya. Sedih aku melihat keadaan Cikgu Lajis. Hampir menitis air mataku. Sungguh, isterinya begitu tabah menghadapi situasi di penghujung usia ini.
Aku melihat sekeliling, melihat bilik di mana aku pernah beradu di situ satu masa dulu. Tidak banyak berubah fizikal rumah ini. Kerusi set tempat aku meluahkan perasaanku dulu sudah tiada lagi di ruang tamu. Yang ada cuma bentangan “toto”, mungkin tempat Cikgu Lajis baring beristirehat. Ah…terlalu lama aku tidak mengunjungi rumah ini.
“ Azli….lama kau merajuk ? Langsung tak nak jenguk kami. Kahwin pun tak nak jemput kami. Berapa orang anak dah ? Apa nak buat, kan. Tak ada jodoh kau dengan Robayah.” Begitulah isteri Cikgu Lajis.Keramahan yang pernah memikatku dulu tetap tidak berubah. Aku hanya tersenyum, dalam sebak mengenangkan keadaan Cikgu Lajis cuba menjawab perlahan.
“ Dulu,,,,pernah juga singgah kat Pekan Sabak ni setiap kali ke Perak. Lalu sahaja. Tak berani nak singgah.”
“ Tadi tu anak Robayah. Orang gaji dia jaga. Kadang-kadang dia hantar orang gaji dan anaknya kat sini. Buat teman makcik. Nanti sekejap lagi datanglah Robayah ambil anak-anak dia,” kata isteri Cikgu Lajis seolah-olah tahu apa yang bermain dalam benak mindaku yang tidak mampu untuk kutanyakan tentang perempuan yang sedang menjaga anak di luar.
Setelah beberapa minit kami berbual, kami pun minta diri. Dalam hatiku, manalah Robayah ni tak muncul-muncul. Kawan-kawan aku pula tak sabar-sabar nak balik. Tunggulah dulu.
“ Kirim salam pada isteri semua ya, Azli…Hamad.”
Kami pun masuk ke dalam kereta setelah mengucapkan salam dan menuju ke bekas rumah sewa Hamad. Hamad keluar dan menemui beberapa orang jiran lama dan juga penyewa baru. Lama kami menunggu, barulah kami beredar untuk balik ke tempat seminar kami. Untuk keluar dari taman, kami sekali lagi terpaksa melewati hadapan rumah Cikgu Lajis.
Berderau darahku bila melihat sebuah Iswara merah di hadapan rumah Cikgu Lajis. Aku jadi tak karuan bila melihat seorang wanita berdiri di sisi kereta merah itu tersenyum sebaik melihatku. Robayah…???? Ya Allah….itukah Robayah ? Makin tembam dia. Kereta yang kupandu jadi tidak tentu hala. Hampir melanggar tebing jalan. Kawan-kawan aku semua ketawa berdekah-dekah. Patutkah aku balik semula ke belakang ? Dapat melihat sekali lagi wajahnya pun cukuplah. Mengubati rindu yang sekian lama.
“ Sudah…..terus sahaja. Nanti engkau lagi tak karuan. Tak baik. Dia dah jadi isteri orang. Lainlah kalau janda…,” Hamad cuba mewaraskan fikiranku.
“ Betul kata Hamad, tu. Lebih-lebih lagi dengan posisi engkau sekarang. Ia dugaan dan godaan sahaja,” kata Salim menyokong Hamad.
Mungkin betul kata mereka. Aku teringat kata-kata dosenku di sebuah Universiti di Riau. Segala sesuatu adalah milik Allah. Kadang-kadang kita kuat mengingini untuk memilikinya, tetapi Allah berikan kepada orang lain. Satu saat nanti, kalau kita sabar, Allah akan memberikan gantinya dalam syurga. Cewah….
“ Engkau masih ada perasaan ke padanya ?” tiba-tiba sahaja soalan itu terpacul dari mulut Hamad. Aku hanya diam tidak menjawab. Suasana tiba-tiba hening seolah-olah menunggu jawapan dariku. Hanya deru kereta sahaja yang kedengaran. Aku menarik nafas panjang.
“ Tak payah jawablah. Dari air muka dan sinar mata engkau aku dapat mengagaknya,” Hamad menyambung kata-katanya tanpa menunggukan jawapan dariku yang pasti tidak akan kuluahkan.
“ Kan aku dah cakap tadi, cinta pertama tidak akan hilang begitu sahaja terutama kalau itu memang cinta sejati. Lahir dari hati yang tulus. Bukan main-main, bukan cinta monyet. Walaupun aku cuba juga untuk bercinta dengan orang lain sebelum menemui isteriku sekarang, Robayah tetap dulu, kini dan selamnya,”
“ Kalau begitu, cemerlang, gemilang dan terbilanglah, ya….” Celah Salim pula mengajuk slogan sebuah parti politik semasa pilihanraya lalu. Kami semua ketawa terkekeh-kekeh memecah suasana.
“ Yalah tu….Aku pun macam kau juga. Sampai aku pergi naik haji, tawaf kali kelima baru aku dapat terima hakikat…..,” Hamad menarik nafas panjang seusai menuturkannya.
“ Kentutlah…kata tadi masih teringat lagi. Kalau janda nak ambil baliklah…,” aku cuba provokasi.
“ Ingat tu memanglah ingat. Tapi, dapat terima hakikat dia tu bukan milik aku…..” Kami ketawa lagi.
Entahlah. Segalanya aku pendamkan dalam-dalam . Memang kadang-kadang ia hilang ditelan keriuhan hidup. Namun, sesekali ia tetap muncul. Lebih-lebih lagi jika ada pelanduk dua serupa. Wajah iras Robayah sering muncul dalam setiap perjalananku. Pelik. Kata orang, setiap dari kita ada tujuh kembar serupa. Benarkah itu ?
Hampir setiap tempat yang kukunjungi samada kerana tugas, urusan niaga atau sekadar makan angin, ada sahaja wajah iras Robayah yang muncul. Setakat ini cukup enam kembar serupanya. Yang ketujuh belum muncul. Tak tahu di mana ia akan muncul. Itulah agaknya The Power Of Love seperti yang didendangkan oleh Celin Dion. Tapi sebenarnya, The Power of Syok Sendiri. Kah…kah…kah…Perasan. Robayahnya sendiri pun tidak pernah ingat kepada kita, kita sahaja yang gila sendirian. Bangang betullah kau ni.
“ Cintailah sesiapa sahaja yang kamu sukai, kamu akan tetap berpisah dengannya…” Demikian bunyi hadis yang dibacakan oleh pensyarahku di sebuah universiti di Kuala Lumpur dulu. Itulah hakikatnya dunia ini. Segalanya milik Allah. Aku bersyukur kepada Allah dengan kedudukan yang aku ada sekarang, menyelamatkan aku daripada kebinasaan. Percaya kepada takdir adalah sebahagian daripada iman.
Cuma…aku tetap berpegang dengan surat terakhir yang aku tulis kepadanya dulu. Aku akan menunggunya di pintu syurga. Itulah doaku. Kalaupun dia akan masuk syurga dengan suaminya, aku harap Allah akan menjadikan klonnya untukku di pintu syurga. Kerana aku percaya, Allah Maha Berkuasa.
Kah…kah…kah…. Derai tawa kami berterusan hingga ke tempat seminar kami….


About this entry