HALANGAN KELAYAKAN UNTUK BERURUSAN

MUKADDIMAH

 

Dalam system muamalat Islam, terdapat kelayakan-kelayakan tertentu bagi seseorang untuk melakukan tasarruf atau urusan-urusan yang bersangkutan yang dengan ketiadaan kelayakan ini, maka akan hilanglah haknya untuk bertasarruf secara mutlak. Hal ini banyak disentuh dalam setiap bab pengajian fiqh muamalat.

Kertas kerja ini tidak akan menperincikan akan kelayakan-kelayakan tersebut, tetapi akan membicarakan halangan-halangan bagi mendapat kelayakan untuk bertasarruf dalam system muamalat Islam. Adanya halangan-halangan ini menyebabkan seseorang tidak dapat berurusan secara mutlak dalam apa jua perkara berkaitan.

 

HALANGAN-HALANGAN MENDAPAT KELAYAKAN ( AWARIDH AL-AHLIYYAH )

 

Umumnya, kelayakan untuk bertasarruf dalam banyak perkara di dalam fiqh ialah baligh dan beraqal sebagai syarat mutlak. Seseorang yang baligh dan beraqal akan mendapat hak-hak mereka untuk bertasarruf selain mempunyai tanggung jawab yang ditaklifkan kepada mereka. Hak-hak untuk bertasarruf ini biasanya adalah dalam urusan-urusan yang termasuk dalam pengajian fiqh muamalat selain kelayakan-kelayakan sampingan yang lain seperti merdeka dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, seseorang yang sudah baligh dan beraqal akan kehilangan kelayakan menerima dan melaksana secara sempurna dan mutlak yang dimilikinya apabila berlaku halangan-halangan terhadapnya. Halangan-halangan ini boleh berlaku secara semula jadi ataupun kerana manusia.

 

HALANGAN-HALANGAN SECARA SEMULA JADI

 

Halangan-halangan secara semula jadi adalah sesuatu yang berlaku di uar kehendak manusia itu sendiri, walaupun ada diantaranya terhasil akibat perbuatan manusia itu sendiri. Pada umumnya, manusia tidak akan memilih untuk menjadi sedemikian jika diberi pilihan walaupun berlakunya perkara-perkara tersebut akibat perbuatan mereka sendiri.

Contohnya gila, yang merupakan perkara yang berlaku samada secara asal atau secara mendatang. Secara asal adalah sesuatu yang di luar kehendak manusia dan ia datang sama ada bersama dengan kelahirannya ataupun penyakit-penyakit yang merosakkan system saraf dan otaknya, manakala secara mendatang adalah akibat daripada tidak-tanduk manusia itu sendiri seperti tekanan jiwa dan perasaan dan sebagainya.

Antara perkara-perkara yang menyebabkan terhalang seseorang daripada mendapat kelayakan secara semula jadi ialah;

 

A. GILA

 

Gila adalah lawan bagi beraqal waras. Gila adalah suatu penyakit yang datang samada semenjak ia dilahirkan ataupun datang kemudian. Seseorang yang gila akan kehilangan kelayakan dalam muamalat Islam. Segala tindakan mereka yang boleh menghasilkan aqad adalah dianggap tidak sah walaupun aqad itu mendatangkan keuntungan kepada dirinya ataupun diperakui oleh walinya.

Akad yang dilakukan oleh orang gila adalah tidak sah walaupun kelak diperakukan oleh walinya, ataupun telah mendapat perakuan dari walinya tetapi ia diuruskan oleh orang gila itu sendiri. Kehilangan kelayakan bagi orang gila bermula sebaik sahaja seseorang itu menjadi gila.

 

B. TERENCAT AKAL

 

Terencat akal, ataupun yang banyak dikenali sebagai gejala down-syndrom atau spastik, adalah sejenis penyakit yang boleh menyebabkan seseorang itu mempunyai daya kefahaman yang kurang, tidak betul percakapan dan perlakuannya secara normal, bahkan tidak dapat menguruskan dirinya sendiri secara sempurna seperti orang normal yang lain ataupun langsung tidak mempunyai cirri-ciri yang tersebut di atas yang menunjukkan ia terencat akal secara serius.

Mereka yang terencat akal secara serius menyamai status sebagai orang yang gila. Ia kehilangan daya sedar dan daya kefahamannya sama sekali. Orang seperti ini tidak mempunyai kelayakan untuk melaksana kerana ia dianggap tidak berakal dan tidak mumayyiz. Namun , mereka masih mempunyai kelayakan untuk menerima.

Mereka yang terencat akal secara tidak serius masih mempunyai daya sedar dan dapat membezakan sesuatu namun daya sedar mereka tidak mencapai tahap seperti orang yang normal atau waras. Orang seperti ini mempunyai kelayakan untuk menerima secara sempurna, namun kelayakan untuk melaksana adalah secara tidak sempurna. Keadaan mereka sama dengan kanak-kanak yang mumayyiz.

Segala kewajipan taklifan individu seperti solat dan puasa tidak wajib dilaksanakan dan tidak ada pertanggungjawaban. Manakala hak dan kewajipan yang boleh dibuat oleh orang lain sebagai ganti tetap dianggap wajib ke atasnya. Segala urusan yang menghasilkan keuntungan kepadanya dianggap sah, manakala yang merugikannya dianggap tidak sah. Dalam urusan yang mempunyai kemungkinan samada untung atau rugi, ia perlu mendapat keizinan daripada walinya.

 

C. TIDUR ATAU PITAM

 

Tidur dan pitam menghilangkan kelayakan melaksana tetapi tidak kelayakan untuk menerima. Semua tindakan yang berlaku semasa tidur atau pitam dalam bentuk percakapan , tindakan dan sebagainya dianggap tidak sah.

 

D. SAKIT

 

Sakit yang dimaksudkan di sini ialah sakit serius yang berkepanjangan, tidak ada harapan untuk sembuh serta membawa kepada kesudahan maut. Ia termasuklah mereka yang sedang menunggu pelaksanaan hukuman mati terhadapnya. Mereka mempunyai kelayakan untuk menerima atau melaksana hak dan kewajipannya dan tindakan mereka akan memberi kesan atau hukum terutamanya selepas kematian mereka.

Sebagai contoh , jika mereka membelanjakan kesemua hartanya sedangkan pada masa yang sama masih menanggung hutang sepertiga daripada hartanya, maka semua urusannya itu adalah sah kerana mereka masih punya kelayakan yang sempurna. Namun tindakannya itu boleh difasakhkan oleh pemiutang sekadar nilai hutangnya. Setelah mereka mati, pemiutang tidak boleh memfasakhkan urusan tersebut.

 

 

HALANGAN-HALANGAN KERANA MANUSIA

 

Selain halangan-halangan secara semula jadi, terdapat pula halangan-halangan kerana manusia. Antaranya ialah;

 

A. BODOH ( SAFIH )

Para fuqaha mentakrifkan bodoh sebagai orang yang tidak pandai menguruskan harta dengan sepatutnya mengikut syara’ dan akal. Mereka biasanya bertindak sendiri tanpa mengikut kehendak syara’ dan akal. Tindakan mereka ini akan melahirkan beberapa kesan hukum.

Contohnya seperti memberikan harta kepada kanak-kanak yang baligh tetapi bodoh. Jumhur fuqaha menyatakan mereka tidak boleh diserahi harta. Manakala para fuqaha Zahiriyyah membolehkannya kerana apabila seseorang itu baligh dan berakal bermakna ia cerdik. Pendapat ini ditolak oleh jumhur kerana cerdik bererti pandai menguruskan harta.

Jumhur juga berpendapat orang yang bodoh boleh ditegah daripada menguruskan hartanya, manakala Abu Hanifah dan Zahiriyyah berpendapat sebaliknya. Orang bodoh yang disekat dari pengurusan hartanya sama seperti seorang kanak-kanak yang sudah mumayyiz. Dalam urusan yang menerima fasakh adalah sah sekiranya urusan itu jelas memberikan keuntungan kepadanya dan tidak sah sekiranya merugikan. Manakala jika berkemungkinan untung atau rugi, bergantung kepada kebenaran walinya.

Manakala dalam perkara yang tidak menerima fasakh seperti perkahwinan, perceraian dan sebagainya adalah sah dilakukan oleh mereka sendiri dan ia berbeza daripada kanak-kanak yang mumayyiz.

 

B. MABUK

 

Mabuk ditakrifkan sebagai kehilangan akal disebabkan oleh bahan-bahan yang memabukkan seperti arak dan yang seumpamanya termasuk juga dadah. Mereka yang mabuk akan kehilangan akal dan tidak mampu membezakan antara yang baik dan yang buruk. Dengan ini, mereka kehilangan kelayakan untuk melaksana ( ahliyyah al-ada’ ) berdasarkan kepada sebab mabuk itu berlaku samada ia mabuk yang diharuskan atau mabuk yang diharamkan.

Jika seseorang itu mabuk yang diharuskan seperti pengambilan bahan-bahan memabukkan yang diharuskan oleh syara’ , iaitu kerana terpaksa, dipaksa, tidak mengetahui ia adalah bahan yang memabukkan ataupun kerana perubatan ( seperti pengambilan ubat yang memabukkan atas preskripsi doktor ) , maka tindakan mereka adalah tidak sah dan tiada kesan di sisi undang-undang dan hukum syara’.

Manakala mabuk yang diharamkan ialah pengambilan bahan-bahan memabukkan secara sukarela atau sengaja tanpa apa-apa sebab. Jumhur fuqaha seperti Hanafi, Shafe’I dan Maliki menyatakan bahawa tindakan mereka adalah sah dan terhasil kesan atau hukum ‘aqd meskipun dilakukan semasa di luar sedar. Ia kerana kehilangan akal itu akibat daripada perbuatannya sendiri dan sebagai balasan atas maksiat yang dilakukannya.

Sedangkan para fuqaha Zahiriyyah, Ja’fari, Uthman Al-Bitti dan Al-Laith menyatakan sebaliknya, iaitu sama dengan orang yang mabuk diharuskan. Bagi mereka, orang yang mabuk atas apa sebab tidak mempunyai niat sedangkan niat adalah penting untuk menjadikan aqd itu sah dan berkuat-kuasa. Percakapan orang yang mabuk tidak dapat dipertanggung jawabkan.

 

PENUTUP

 

Urusan-urusan yang berkaitan dalam kehidupan, yang semuanya telah dibahaskan dalam ilmu-ilmu syariat Islam mempunyai syarat-syarat tertentu bagi menentusahkan perlakuannya yang diantaranya ialah kelayakan-kelayakan bagi orang yang melakukannya. Apabila cukup sempurna syarat-syarat kelayakan bagi seseorang itu maka sahlah perlakuannya di sisi syara’. Apabila berlaku halangan-halangan tertentu yang ataranya telah disebutkan di atas, menyebabkan ia kehilangan kelayakan yang dapat menentusahkan perlakuan mereka.

 

WALLAHU A’LAM

 


About this entry