HUKUM-HAKAM BERKAITAN AZAN DAN IQAMAH (2)

Bahagian 2.

Susunan: Rumaizi Ahmad.

(Bahan Kuliah Subuh pagi Khamis, Masjid Jamik al-Solihin, Kanchong Darat )

 

Lafaz Azan dan Qamat

 

1. Lafaz Azan

 

Jumhur ulama sepakat dengan lafaz azan sebagaimana yang kita dengar selalu. Mereka berbeza pandangan dalam beberapa hal.

 

1. al-Syafe’i , Abu Hanifah (Hanafi ), Ahmad bin Hanbal ( Hanbali ) dan Ja’fariah ( Imamiyah ) menyatakan lafaz Allahu Akbar dipermulaan azan sebanyak 4 kali. Malikiah pula berpendapat hanya dua kali.( al-Dimasyqi, al-Jaziri. )

2. Yang lain kecuali LailahaillahLah dua kali, dan ia disepakati oleh semua mazhab.Lafaz LailahaillaLlah hanya sekali kecuali Syiah Imamiyah 2 kali.(Jawad Mughniyah )

3. Sebahagian mazhab Syiah Imamiah menambah lafaz Asyhadu Anna Aliyyan Waliyullah selepas syahadah kepada nabi Muhammad SAW. Manakala selepas Hayya Alal Falah, mereka ( Imamiyah ) sepakat menyerukan lafaz Hayya Alal Khairil Amal. (ibid).Para imam Mazhab ahl Sunnah wal-Jamaah sepakat lafaz-lafaz ini tiada dalam azan.

4. Dalam Kitab al-Fiqh ala Mazahib al-Arba’ah ada dinyatakan, dan ditambah pada azan Subuh selepas Hayya Alal Falah, Assolatu Khairu Minan-Naum (lafaz tatswib) dua kali sebagai sunat dan makruh meninggalkan tambahan ini dengan ittifaq ( kesepakatan ).Ibnu Rusyd dalam kitabnya Bidayat al-Mujtahid menukilkan, sebahagian ulama yang lain menyatakan; tidak dilafazkan Assolatu Khair Minan-Naum kerana ia bukan sunnah, dan demikian kata Syafe’i dalam qaul jadidnya. Sebab khilaf padanya adalah kerana, adakah ia dilafazkan pada zaman Nabi atau pada zaman Umar. Manakala dalam kitab al-Mughni oleh Ibnu Qudamah dinyatakan; tastwib ini tidak disukai oleh ahli ilmu dan menjadi sebab bagi Ibnu Umar keluar dari masjid ketika mendengarnya. Dalam kitab al-Umm, Imam Syafe’i menyatakan; Saya tidak memandang sunat mengucapkan tastwib pada salat subuh dan lainnya, kerana Abu Mahzurah tidak menceritakan dari Nabi SAW bahawa beliau menyuruh al-Tatswib. Maka aku memandang makruh menambah pada azan. Dan aku memandang makruh al-tatswib sesudah azan. Pada pinggiran kitab al-Umm ada dicatat, bahawa dalam qaul qadim Imam Syafe’i ada menambah lafaz tatswib pada azan Subuh dan ini yang dipegang oleh rata-rata orang kita di Malaysia. Ketiga-tiga Imam menyatakan ia dilafazkan selepas Hayya alal Falah, manakala Abu Hanifah menyatakan dilafazkan selepas selesai azan. Mereka sepakat menyatakan tatswib ini hanya disyariatkan pada azan subuh sahaja dan tidak azan lainnya. Kata al-Hasan bin Saleh, ia juga disukai pada azan Isyak manakala al-Nakha’ie pada semua sembahyang.(Rahmatul Ummah).

 

2. Lafaz Qamat

 

Seperti lafaz azan, para ulama juga berselisih pada lafaz qamat dalam beberapa hal; .( al-Dimasyqi, al-Jaziri, Jawad Mughniyah)

 

1. Bagi mazhab yang tiga, juga Imamiyah, lafaz takbir yang awal hanya dua kali, manakala bagi Hanafiah empat kali.

2. Lafaz Syahadah, Hayya alal Solah dan Hayya alal Falah; sekali bagi Syafi’i, Maliki dan Hanbali dan dua kali bagi Hanafi dan Imamiyah.

3. Imamiyah menambah Hayya Alal Khairil-amal dua kali.

4. Lafaz Qad Qamatissolah dua kali bagi semua kecuali Maliki hanya sekali.

5. Takbir akhir dua kali dan tahlil sekali disepakati oleh semua.

 

3. Azan Subuh Dua Kali.

 

Para Imam sepakat menyatakan bahawa, tiada azan sebelum masuknya waktu. Manakala bagi solat Subuh, Syafi’i, Maliki ,Hanbali dan Imamiyah mengharuskan azan sebelum masuk waktu sedangkan Hanafi tidak membenarkannya. ( Jawad Mughniyyah ). Dalam dua riwayat lain dari mazhab Hanbali dinyatakan; 1) makruh azan sebelum masuk waktu subuh. 2) Makruh azan sebelum subuh khas pada bulan Ramadhan. (al-Dimasyqi ).

Dalam al-Umm, Imam Syafe’i membawa beberapa riwayat hadis tentang keharusan azan sebelum waktu subuh dari Ibnu Umar dari Ayahnya , juga riwayat dari Salim bin Abdullah (dengan matan akhir berbeza ) ; Rasulallah SAW bersabda; Bahawa Bilal azan pada malam hari, maka makan dan minumlah sehingga kamu mendengar azan Ibnu Ummi Maktum.

Hal ini menjawab persoalan beberapa orang yang pernah bertanyakan tentang azan Subuh dua kali, bahawa hal ini menurut kita, ada sandarannya.

 

 

1. al-Dimasyqi, Abi Abdillah Muhammad bin Abd.Rahman, Rahmat al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah.

2. al-Jaziri, Abdul Rahman, Kitab al-Fiqh ala al- Mazahib al-Arba’ah.

3. Muhammad Jawad Mughniyyah, Kitab al-Fiqh ala al-Mazahib al-Khamsah.

4. al-Syafe’i, al-Imam Muhammad bin Idris, al-Umm.

 


About this entry