VETERINAR DAN ISLAM

VETERINAR DAN ISLAM

Kertas kerja ini ditulis oleh : Rumaizi bin Ahmad
Untuk dibentangkan dalam Seminar Islam dan Veterinar, anjuran Fakulti Veterinar, Universiti Putra Malaysia 2004, oleh;
Ustaz Mohd. Zamri Shafik.

MUKADDIMAH

– Kamus Dewan ; Veterinar – berkenaan dengan rawatan penyakit atau kecederaan pada haiwan.
– Veterinary – sains veterinar – satu ilmu yang berkaitan dengan praktis pencegahan, penyembuhan atau perawatan penyakit dan kecederaan haiwan khususnya haiwan belaan.( Webster)
– Dalam bahasa pasar , ahli veterinar dipanggil doktor haiwan.
– Dalam maslahat manusia, veterinar bukan sahaja merawat haiwan, tetapi juga memastikan pemeriksaan terhadap sumber haiwan untuk makanan.
– Hukum mempelajarinya – fardu kifayah. Umat Islam dituntut mengadakan ahli veterinar muslim yang beriman untuk memastikan kemaslahatan ummah terjaga.

SAINS VETERINAR DALAM SEJARAH TAMADUN ISLAM

– Oleh kerana ulama Islam silam menguasai ilmu yang pelbagai, tidak dapat dipastikan mereka yang mengkhususkan sains veterinar sebagai bidangnya. Setakat yang dapat diketahui, terdapat beberapa ulama yang menulis tentang haiwan secara menyeluruh.
– Antaranya Muhammad Kamal al-Din al-Damiri ( 1341-1406 M ),ulama al-Azhar yang juga seorang ahli biologi, yang salah sebuah bukun master-piecenya ialah Hayat al-Hayawan al-Kubra turut membincangkan nilai perubatan yang ada pada organ binatang sebagaimana yang digunakan dalam perubatan tradisional. Ensaiklopaedia beliau ini telah diringkaskan pula oleh Imam al-Suyuti sebagai Daiwan al-Hayawan.
– Zakaria al-Qazwini ( 1208 – 1283 M ) pula selain ahli fizik, telah menyusun sebuah ensaiklopedia besar tentang kehaiwanan, tumbuhan dan geologi. Sayangnya beliau wafat sebelum selesai kerjanya.
– Pembesar Muktazilah, Abu Uthman Amr bin Bar al-Jahiz ( 159 – 225 H ), sasterawan, ilmuan Kalam, telah mengarang Kitab al-Hayawan dengan bahasa berbunga dan mengandungi nilai sastera yang tinggi terdiri daripada tujuh jilid. Beliau telah membahagikan haiwan kepada jenis terbang, berenang dan berjalan. Haiwan yang berjalan dipecahkan pula kepada haiwan bertutur seperti manusia dan haiwan mendatang seperti binatang buas, liar dan serangga.Buku tersebut juga menyentuh topik mengenai kesan-kesan pengasian ke atas haiwan dan manusia, cara pembentukan telur di dalam perut anak ayam, sebab kenapa burung membuat sarang, hakikat tidur binatang dan berbagai topik lagi. Ia juga mengandungi eksperimen-eksperimen yang dijalankan olehnya terhadap binatang selain menyatakan juga penyakit-penyakit haiwan dan rawatannya.
– Abu Bakar Ibnu al-Baytar, saintis perubatan, ahli botani, ahli farmasi, ahli bedah veterinari, telah mengarang kitab komprehensif tentang veterinar, Kamil al-Sina’atayn , selain menggunakan organ binatang dalam rawatan therapeutik, dan telah mengumpulkan pelbagai jenis ramuan sebagai ubat pelbagai penyakit samada untuk manusia ataupun haiwan.

FIQH ISLAM DAN HAIWAN

– Dalam fiqh Islam ada membicarakan tentang haiwan yang pokok perbincangannya ialah mengenai ;

1. Haiwan yang halal dan haram dimakan.
2. Haiwan najis dan tidak najis.
3. Sembelihan.
4. Binatang buruan
5. Korban dan akikah.

– Dalam Islam, prinsipnya jelas ; makanlah apa-apa yang halal dan baik yang ada di muka bumi ini termasuk binatang.

Mafhum firman Allah;

Pada hari ini, dihalalkan kepada kamu ( makanan ) yang baik-baik.
– al-Maidah : 5

Wahai manusia ! Makanlah dari apa-apa yang ada di bumi ini yang halal dan baik, dan jangan kamu mengikut jejak syaitan, kerana sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu.
– al-Baqarah : 168

Diharamkan ke atas kamu ( memakan ) bangkai, darah, daging babi, dan yang disembelih bukan atas nama Allah, yang mati tercekik, yang mati dipukul, yang mati kerana jatuh, yang mati kerana berlaga, dan yang dimakan binatang buas, kecuali jika kamu sembelih, dan yang disembelih atas berhala.
– al-Maidah : 3

– Binatang yang halal dan baik sahaja yang diharuskan untuk dimakan. Binatang yang halal tetapi tidak baik seperti berpenyakit tidak harus dimakan kerana ia membawa mudarat. Apatah lagi binatang haram lagi tidak baik.

Dia menghalalkan bagi mereka yang baik-baik dan mengharamkan ke atas mereka yang kotor-kotor ( al-Khabaith ).
– al-A’raf : 157

– Kaedah – kaedah fiqh ada menyatakan;

????? ????

Kemudaratan itu hendaklah dihilangkan.

?? ??? ??? ???

Tiada mudarat dan tiada dimudaratkan.

??? ??????? ???? ??? ??? ???????

Menolak kebinasaan didahulukan daripada mengambil kebaikan

???????? ???? ?????????
Darurat mengharuskan perkara yang terlarang

– Untuk memastikan sesuatu penghasilan daripada haiwan itu baik atau tidak, kita memerlukan ahli veterinar Islam. Adalah lebih baik jika ahli veterinar Islam mendalami fiqh yang berkaitan dengan haiwan.

SIKAP ISLAM TERHADAP HAIWAN

Mafhum firman Allah;

Dan binatang-binatang ternak Dia ciptakan untukmu, dengannya kamu mendapat (pakaian ) panas dan manfaat dan diantaranya kamu makan dagingnya. Pada binatang-binatang itu kamu mendapat keindahan, ketika kamu membawanya ke kandang dan ketika melepaskannya. Binatang-binatang itu membawa beban kamu ke negeri yang tiada dapat kamu sampai kepadanya, melainkan dengan susah payah. Sesungguhnya Tuhanmu Maha Penyantun lagi Maha Penyayang.(Dia ciptakan) kuda, baghal, kaldai, supaya kamu mengenderainya dan menjadi perhiasan. Dan dia menciptakan apa yang tidak kamu ketahui.
– al-Nahl : 5 – 8.

– Sabda Rasulallah ; Sesungguhnya Allah mewajibkan beerbuat baik atas segala sesuatu. Oleh itu, jika kamu membunuh, perbaikilah cara membunuhnya, dan apabila kamu menyembelih, perbaikilah cara menyembelihnya, dan tajamkanlah pisaunya serta mudahkanlah penyembelihannya itu. (HR Muslim )
– Saidina Ali (KW) menyatakan; Berbuat baiklah kepada haiwan pengangkut barang, jangan sakiti ia dan janganlah bebani ia lebih daripada kemampuannya.
– Saidina Abu Bakar berpesan kepada tentera Islam sebelum memasuki Syam; Jangan kamu sembelih lembu atau unta melainkan untuk dimakan.
– Seorang wanita dimasukkan ke neraka kerana mengurung dan tidak memberi makan malah tidak berniat melepaskan seekor kucing agar dapat mencari makan sendiri (HR Bukhari ). Seorang lelaki diberi keampunan oleh Allah kerana memberi seekor anjing minum dan melepaskannya dari mati kehausan, kerana anjing itu bersyukur kepada Allah. ( HR Bukhari ).
– Sabda Nabi; Barang siapa membunuh burung pipit atau yang lebih kecil darinya tanpa sebab, akan dipersoalkan oleh Allah.( HR al-Nasa’i)

BEBERAPA PERSOALAN DAN ISU TENTANG TENTANG BABI

– Seluruh ulama sepakat mengatakan daging babi adalah haram berdasarkan ayat yang telah disebut di atas.
– Jumhur juga sepakat akan keharaman organ lain daripada daging babi seperti tulang, bulu, kulit dan lemak.. Hanya mazhab al-Zahiri yang menganggap selain daripada daging babi sebagai boleh dimakan dan ini adalah pendapat yang syaz. (Rawa’i al-Bayan )
– Ulama jua sepakat bahawa ia adalah najis. Syafe’i menganggap sebagai najis mughallazah yang perlu dibasuh tujuh kali termasuk sekali dengan air tanah, manakala Imam Nawawi menyatakan pendapat yang rajih menurut dalil ialah cukup dibasuh sekali sahaja tanpa air tanah.Demikianlah pendapat kebanyakan ulama. Imam Malik menyatakan babi yang masih hidup adalah suci sedangkan Abu Hanifah menyatakan cukup dibasuh sebagaimana membasuh najis yang lain. ( Rahmat al-Ummah / al-Majmu’ )
– Jumhur mengharamkan penggunaan organ babi untuk barang-barang – seperti beg, kasut dsb – kerana ia tetap najis.
– Al-Zahiri, al-Syaukani dan sebahagian Malikiah menganggap boleh diguna setelah melalui proses dibagh ( samak ) tetapi pandangan ini dianggap dhaif.( al-Majmu’)
– Abu Hanifah dan Malik membenarkan penggunaan bulu babi sebagai tali manik / butang, manakala Syafe’i melarang sedangkan Ahmad memakruhkannya. (Rahmat al-Ummah)
– Majlis Fatwa Kebangsaan mengharamkan penggunaan FSH-P ( otak babi ) dalam apa jua bentuk dan tujuan dan anak-anak binatang hasil pembiakan menggunakannya adalah haram termasuk susunya.
– Majlis juga menganggap baja yang diperbuat daripada tahi babi adalah najis mughallazah tetapi menggunakannya harus serta makruh. Manakala makanan ayam yang diproses daripada bahan-bahan yang bercampur dengan najis seperti darah lembu, darah babi dan lain-lain adalah harus dan halal ( bagi ayam – pen.)
– Majlis menganggap haram menggunakan berus yang diperbuat daripada bulu babi.
– Daniel S.Shapiro, pakar perubatan Amerika merumuskan terdapat 25 jenis penyakit yang boleh dijangkiti daripada babi. ( Perubatan Islam…)
– Kajian beberapa pakar seperti Alix Fano dll, mendapati antara penyakit ini boleh membawa maut, menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang. ( Ibid )
– Sejak 1997, ahli-ahli sains telah menemui beberapa lagi virus keluaran babi yang dapat menjangkiti manusia termasuk J.E. yang pernah menimbulkan kegemparan nasional. ( Ibid )
– Virus-virus baru daripada babi sentiasa ditemui dari semasa ke semasa. ( Ibid )
– Prof.Robin Weiss menyatakan, babi mempunyai kuman retrovirus yang bersebati dalam DNAnya. ( Ibid )
– Sesuatu yang perlu difikirkan, Mengapakah babi yang menjadi sasaran Nabi Isa Ibnu Maryam (AS) untuk dibunuh ketika baginda diturunkan ke bumi ? ( HR Bukhari, Muslim, Ahmad, Nasai, dan Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a. )

ANJING DAN HUKUM MEMELIHARANYA

– Syafe’i dan Ahmad mengatakan anjing adalah najis dan hendaklah dibasuh bejana yang dijilati anjing tujuh kali kerana najisnya. Abu Hanifah juga menganggapnya najis, tetapi membasuhnya sama seperti membasuh najis yang lain; sehingga hilang ain, bau dan rasa. Manakala Malik pula menganggap anjing adalah suci dan tidak najis jilatannya, cuma membasuhnya adalah ta’abbud ( ibadah ). Ketiga-tiga Imam sepakat jika anjing memasukkan kaki ke dalam bejana, wajib dibasuh tujuh kali, sedangkan Malik hanya menyuruh membasuhnya jika dijilat. (Rahmat al-Ummah )
– Sisa anjing dan babi adalah najis di sisi Abu Hanifah , Ahmad dan Syafe’i. Sisa binatang yang selain daripadanya adalah suci tetapi menurut pendapat yang sahih daripada Ahmad, sisa binatang buas adalah najis.Malik menganggap suci segala sisa haiwan. (Ibid).
– Malaikat Jibril pernah datang ke rumah Nabi tetapi terhalang untuk masuk kerana ada anjing, lalu disuruhnya agar Nabi mengusir keluar anjing itu. ( HR Abu Dawud, Tirmizi, Nasa’i, dan Ibnu Hibban )
– Mereka yang memelihara anjing tanpa sebab – kecuali anjing pemburu atau anjing penjaga ( tanaman atau binatang ) – maka pahalanya akan berkurangan setiap hari satu qirat. ( HR Jamaah ; Satu qirat = sebuah bukit ).
– Kesimpulan ; anjing hanya boleh dipelihara untuk memburu dan juga menjadi penjaga. ( Lihat al-Halal wa al-Haram fi al-Islam )

CABARAN FUTURISTIK FIQH

– Ubah suai genetik ( GM ) dan dalam kes ini ialah pengubah suaian genetik terhadap haiwan.
– Ubah suai genetik haiwan halal dengan halal adalah jelas, tidak menjadi masalah.
– Persoalan yang masih perlu diperbincangkan ialah ubah suai genetik haiwan haram dengan halal.
– Dalam fiqh , jika salah satu generasi awal haiwan daripada binatang haram , ia menjadi haram. Contoh ; kacukan ajing – kambing, babi – lembu. Keharamannya jelas kerana terjadinya percantuman benih halal-haram.
– Ubah suai genetik tidak melalui pertemuan benih, tetapi melalui suntikan sel-sel genetik haiwan berkaitan.
– Virginia Tech’s Pharmaceutical Engineering Institute sedang membiakkan anak-anak babi yang mempunyai gen manusia hasil ubahsuai genetik tiga generasi babi sebelumnya. Ia mewarisi gen yang boleh menghasilkan protein yang dikenali sebagai factor VIII, agen pembeku yang diperlukan bagi ‘type A hemophiliacs’. (National Geographic.Vol.196,No.4,Oct.1999)
– Buah pinggang babi dikatakan pilihan yang paling mungkin untuk dipindahkan kepada manusia justeru kesamaan saiznya dengan yang ada pada manusia.(Organ Transplantation)
– Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskannya sebagai haram kerana ubah suai genetik bukan sesuatu yang darurat.
– Kajian lanjut dengan lebih mendalam perlu dilakukan untuk memastikan apakah yang berlaku sebenarnya dalam proses ubah suai genetik. Contoh ; peratusan genetik pendatang, pengaruhnya terhadap haiwan penerima, manfaat / mudarat dan lain-lain lagi.
– Bagaimana pula jika ubah suai genetik berlaku antara haiwan yang khilaf keharamannya dengan haiwan yang halal ? Contoh ; Monyet – lembu. ( Mazhab Maliki menganggap monyet boleh dimakan ).
– Demikian pula, bagaimana jika ubah suai genetik berlaku pula antara manusia dan haiwan .
– Sekadar Renungan ;- Binatang yang makan najis seperti ayam tidak pula haram untuk dimakan. Ia hanya makruh jika dimakan segera dan hilang makruhnya setelah dikurung beberapa hari.Hanya Ahmad yang mengharamkan daging, susu dan telur haiwan yang makan najis melainkan setelah dikurung beberapa hari. (Rahmat al-Ummah)
– Mungkin satu masa, akan timbul pula pengklonan cantum antara haiwan . Contoh; Klon lembu – babi, kambing –anjing. ( Jadi Lembi / Kanjing ).

KERJASAMA ULAMA – AHLI VETERINAR

– Ulama perlu bekerjasama dengan ahli veterinar untuk melakukan kajian lanjut tentang halal dan haram sesuatu produk haiwan. Kelebihannya; ulama dapat maklumat dari veterinar dan veterinar dapat mengetahui masalah hukum. Masalahnya; Ulama memahami melalui jalannya, veterinar pula memahami bidangnya melalui jalannya sendiri.
– Lebih baik lagi jika ahli veterinar itu pula berusaha menjadi ulama agar dapat memahami kedua-dua bidang dengan sebaiknya atau pun ulama berusaha mengkhususkan studi lanjutnya dalam hal-hal tertentu – dalam kes ini bidang sains veterinar.

WaLlahu a’lam.

BIBLIOGRAFI

1. al-Quran al-Karim.
2. H.Zainudin Hamidy & Fachrudin Hs., Tafsir Quran, Klang Book Centre, Klang ,1989.
3. al-Nawawi, Imam Syarafudin, al-Majmu’, Dar Ihya al-Turath al-Arabi, Beirut.: 4
4. al-Dimasyqi, Abi Abdullah Muhammad bin Abd Rahman, Rahmat al-Ummah fi Ikhtilaf al-Aimmah, Dar al-Fikr, Beirut, 1996.
5. al-Sabuni, Muhammad Ali, Rawa’i al-Bayan Tafsir Ayat al-Ahkam Min al-Quran, Maktabah al-Ghazali, Damsyik.Jil.1.
6. al-Qaradhawi, Dr.Muhd Yusuf, al-Halal wa al-Haram fi al-Islam, terj; Muammal Hamidiy, PT Bina Ilmu, Surabaya,1978.
7. Kamus Dewan Edisi 3, Dewan Bahasa dan Pustaka, K.Lumpur.
8. Sabda S., 52 Cendekiawan Islam, K Publishing & Distributors, K.Lumpur, 1987.
9. Keputusan Fatwa Kebangsaan, JAKIM, K.Lumpur.
10. Dr. Danial Zainal Abidin, Perubatan Islam dan Bukti Sains Moden Edisi ke-2, PTS Publications & Distributors Sdn.Bhd.,Pahang, 2003.
11. The New International Webster’s Pocket Dictionary of English Language, Ferguson Publishing Company, USA, 2000.
12. Abu Fadhl Mohsin Ebrahim, Organ Transplantation, Contemporary Islamic Legal And Ethical Perspectives, A.S.Noordeen, Kuala Lumpur, 1998.


About this entry