KHUTBAH SEMPENA CUTI SEKOLAH

الحمد لله الذى اكمل لنا الدين و أتم علينا النعمة ورضي لنا الاسلام دينا

* أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له وأشهد أن محمداً عبده ورسوله  * اللهم صلي وسلم على نبينا محمد وعلى آله واصحا به اجمعين * اما بعد * فيا أيها المسلمون أوصيكم ونفسي بتقوى الله ، فإن في تقوى الله سعادة الدنيا والآخرة ، حيث قال تعالى

{يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولاً سديداً * يصلح لكم أعمالكم ويغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزاً عظيماً}.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah pada kesempatan  yang penuh dengan keberkatan dan kemuliaan ini, kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita dukung dan sokong mereka yang berjuang untuk menegakkan syariat-Nya dan kita hindarkan diri daripada mereka yang menentang hukum-hakam-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Sidang Jemaah sekalian,

Cuti akhir tahun persekolahan anak-anak kita muncul semula, yang bertujuan untuk memberikan ruang kerehatan kepada murid-murid sekolah yang telah setahun mengharungi hari-hari persekolahan mereka sebelum mereka menyambung semula ke kelas yang baru pada tahun hadapan. Cuti akhir tahun ini, merupakan satu cuti yang panjang lebih daripada sebulan. Justeru itu, ia perlu diuruskan dengan baik oleh semua terutamanya ibu bapa, agar cuti ini tidak berlalu sia-sia tanpa memberikan apa-apa manfaat kepada anak-anak kita, bahkan yang lebih teruk lagi, sekiranya ia lebih memberikan keburukan dan kerosakan akhlak kepada mereka. Wal’iyazubillah.

Sidang Jemaah sekalian,

Sebagai orang yang beriman, yang mempunyai pegangan agama yang benar dan sempurna, sudah tentulah kita tidak patut membiarkan masa cuti ini berlalu dengan pengisian penuh lagha untuk diri kita, anak-anak kita dan kelurga kita.Firman Allah SWT dalam surah Al-Furqan , ayat 72;

72. dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) Yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara Yang dilarang, dan apabila mereka bertembung Dengan sesuatu Yang sia-sia, mereka melaluinya Dengan cara membersihkan diri daripadanya.

Kita amat bimbang, jika sekiranya kita membiarkan sahaja anak-anak kita mengharungi cuti panjang ini tanpa kegiatan yang memberikan faedah dan manfaat kepadanya, atau membiarkan sahaja mereka melakukan perbuatan lagha atau sia-sia, apatah lagi sehingga mereka terjebak dalam gejala sosial lagi mungkar ataupun melakukan perbuatan jenayah jalanan yakni jenayah kecil-kecilan . Justeru itu, mimbar pada hari ini ingin menyeru kepada umat Islam seluruhnya agar ingat dan sedar untuk menjauhkan diri daripada tergolong di kalangan orang-orang yang lalai.

Marilah sama-sama kita renung suatu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, pesanan baginda SAW yang bermaksud; Kedua-dua kaki seorang hamba itu tidak akan berganjak di padang mahsyar kelak, sehingga dipertanyakan tentang umurnya, bagaimana ia dihabiskan, tentang ilmunya apa yang dilakukan dengannya, tentang hartanya dari mana ia diperoleh dan ke mana ia dibelanjakan dan tentang jasmaninya, di mana ia pergunakannya.

Imam Asy-Syahid Hasan Al-Banna berpesan; Kewajipan kita lebih banyak daripada masa kita, maka sepatutnya tidak ada satu saat pun kita biarkan berlalu tanpa faedah. Ambillah kesempatan daripada program-program yang dianjurkan oleh pelbagai pihak daripada kem motivasi, kelas-kelas fardhu ain, kelas tusyen tambahan, ceramah dan kuliah, program percambahan minda, summer camp, lawatan-lawatan sosial sambil belajar dan banyak lagi yang dapat kita isikan untuk anak-anak kita. Janganlah kita kedekut dengan wang ringgit untuk mengisi masa lapang mereka dengan perkara yang berfaedah.

Setelah hampir setahun anak-anak di bawah didikan guru, tibalah masanya mereka mendapat didikan secara langsung dari ibu bapa dan pendidikan yang paling utama ialah pendidikan sembahyang dan pergaulan sesama sendiri. Sabda Rasulallah SAW dalam satu hadis riwayat Abu Daud, Imam Ahmad dan Al-Hakim ;

مروا أولادكم بالصلاة وهم أبناء سبع سنين واضربوهم عليها وهم أبناء عشر سنين وفرقوا بينهم في المضاجع

Perintahkan anak-anakmu mengerjakan sembahyang bila mereka berumur 7 tahun dan pukullah mereka bilamana tidak mahu  mengerjakan sembahyang semasa berusia 10 tahun dan pisahkanlah mereka yakni anak lelaki dan perempuan di tempat tidur

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Perkara kedua yang berlaku semasa musim cuti sekolah ialah majlis-majlis walimah dan resepsi perkahwinan. Apabila tiba waktu persekolahan, maka bertempek-tempeklah kad jemputan datang. Perkahwinan adalah suatu yang disyariatkan kerana Islam adalah agama yang menentang kerahiban. Firman Allah SWT dalam surah An-Nur ayat 32;

dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui.

Perkahwinan adalah suatu perintah Allah dan Rasul-Nya dan ia menjadi ibadat yang diberikan pahala yang banyak jika sekiranya ia dilaksanakan berdasarkan hukum syara’ tanpa bercampur baur dengan perkara maksiat. Perkahwinan akan menutup seribu pintu kemaksiatan dan membuka sejuta peluang kebajikan. Dua rakaat solat orang yang beristeri adalah lebih baik daripada 70 rakaat solat orang bujang. Mandi junub kerana bersama suami atau isteri itu dapat menghapuskan dosa. Kesusahan menguruskan rumahtangga menjadi kaffarah bagi isteri. Dan banyak lagi peluang yang ada natijah dari perkahwinan.

Sidang Jemaah yang dikasihi sekalian,

Mengadakan majlis walimah adalah suatu yang dituntut oleh syara’. Demikian pendapat para ulama yang disimpulkan semuanya oleh Ibnu Qudamah, rahimahullah dengan katanya: “Tiada perbezaan pendapat di antara ahli ilmu, bahawasanya hukum walimah di dalam majlis perkahwinan adalah sunnah dan disyari’atkan (sangat dituntut), bukannya wajib.”  Dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari ketika Rasulallah memberikan respons kepada sahabatnya Abdul Rahman yang baru menikah, sabdanya; “Semoga Allah memberkatimu, adakanlah walimah walau pun hanya dengan menyembelih seekor kambing”.

Namun, dalam mengadakan majlis-majlis walimah dan resepsi perkahwinan ini terdapat beberapa perkara yang perlu diambil perhatian;

1. Pastikan majlis walimah itu tidak hanya mengundang orang-orang kaya dan ternama sahaja dengan meninggalkan orang yang miskin yang dirasakan sumbangannya tidak banyak. Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, Sejahat-jahat jamuan ialah jamuan walimah (perkahwinan) yang mengundang orang-orang kaya dan meninggalkan orang-orang yang fakir. (riwayat Bukhari & Muslim). Memberikan sumbangan adalah bentuk tolong menolong yang dituntut sebagaimana para sahabat Rasulallah SAW pernah memberikan sumbangan untuk perkahwinan Safiyyah. Tetapi mengira-ngira sumbangan sipolan berapa ringgit, aku dulu menyumbang sekian ringgit, dapat sekian ringgit jauh daripada pahala sedekah, bertentangan dengan konsep ta’awun dalam Islam serta merosakkan ikhlas.

2. Islam tidak melarang berhibur ketika majlis walimah kerana Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, “Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana”. (riwayat Ibnu Majjah). Para sahabat dan salafussoleh juga mengadakan bunyi-bunyian dalam majlis walimah mereka. Tetapi, pastikan lagu yang dipasang bukan lagu-lagu dan muzik yang lagha, karaoke yang mengundang fitnah, dengan suara anak gadis remaja yang tergedik-gedik, persembahan kugiran yang bercanggah dengan akhlak dan syariat Islamiah. Apatah lagi mengadakan joget-joget lambak, majlis muda-mudi dan pelbagai lagi majlis maksiat. Ingat, perkara ini akan menyebabkan ibadah walimah menjadi sia-sia bahkan dilaknat oleh Allah, Rasul-Nya dan Para Malaikat. Wal’iyazubillah.

3. Sudah menjadi adat manusia di mana-mana bahagian dunia, akan menggandingkan pengantin lelaki dan perempuan yang kita kenali sebagai upacara persandingan. Islam adalah agama fitrah yang mengiktiraf adat resam yang tidak bertentangan dengan syarak. Tetapi harus diingat, jangan majlis persandingan itu menjadi majlis mempertontonkan aurat dan kecantikan tabarruj yang haram, persandingan yang penuh khurafat dan upacara karut-marut, persandingan yang berlakunya perkara mungkar. Adakah patut andam lelaki yang haram menyentuh wanita ajnabi menghias pengantin perempuan ? Adakah menepati hukum syara’ seorang pengantin perempuan berinai bertatu dipertontonkan kepada orang ramai sedangkan perhiasan adalah untuk suaminya sahaja. Justeru itu adalah lebih baik jika gandingan bride and groom dengan penuh kesederhanaan dan untuk keluarga terdekat sahaja.

4. Hormatilah waktu solat. Apakah tuan-tuan fikir patut bagi majlis perarakan pengantin dengan gegak gempita kompang diadakan ketika bilal sedang mengumandangkan azan ? Alangkah lebih baik jika rombongan pengantin menunaikan dahulu kewajipan kepada Allah dengan bersolat jamaah di masjid sebelum diarak ke rumah pengantin perempuan. Apa akan jadi kepada generasi yang membina alam rumahtangga mereka dengan melanggar wakto solat ? Tepuk dada tanyalah iman masing-masing.

Sidang Jemaah yang dirahmati Allah sekalian,

Mimbar pada hari ini menyeru kita semua agar kita dapat memberikan sumbangan dengan menyediakan geneerasai kita generasi taqwa bersandarkan al-Quran dan Assunnah. Selamat bercuti kepada anak-anak sekalian, semoga Allah memberikan petunjuk kepada kamu. Selamat pengantin baru kepada pendiri masjid sekalian, semoga Allah memberkati kehidupan kamu.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

dan tidak ada Yang lebih baik perkataannya daripada orang Yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal Yang soleh, sambil berkata: “Sesungguhnya Aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!” Surah Fussilat :33.

با رك الله لى ولكم بالقرأن العظيم ونفعنى واياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم.

وتقبل منى ومنكم تلا وته انه هو السميع العليم. اقول قولى هذا واستغفر الله العظيم لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤ منات, فاستغفروه انه هو الغفور الرحيم.


About this entry