SEMINAR BABI

Seminar hukum ‘najis mughallazah’ pada pengguna
Ogos 5, 09 3:16pm
Satu seminar akan diadakan Sabtu ini, antaranya untuk mencari penyelesaian bersepadu bagi mencadangkan bagaimana menangani permasalahan yang timbul berkaitan dengan babi di Malaysia, terutama yang menyentuh perihal halal, kesihatan dan sensitivi masyarakat.

Seminar bertajuk ‘Fenomena najis mughallazah dalam dunia kontemporari’ itu dianjurkan Persatuan Ulama Malaysia (PUM) Selangor dengan kerjasama Persatuan Kakitangan Islam SIRIM (PERKIS), Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Putra Malaysia (PMIUPM) dan Fakulti Perubatan Veterinar Universiti Putra Malaysia (UPM).

Menurut Pengerusi PUM Selangor, Mohd Zamri Shafik berkata, seminar itu akan diadakan mulai 8 pagi hingga 5 petang, bertempat di Dewan Auditorium SIRIM Berhad, di Shah Alam.

Menurutnya, seminar tersebut bertujuan menjadi medan diskusi ilmiah, berkongsi ilmu dan maklumat mengenai standard halal dan kepenggunaan serta unsur babi daripada perspektif bidang ilmu dan kepakaran masing-masing.

“Agar segala pertimbangan yang akan dibuat adalah berdasarkan fakta ilmiah yang jelas,” kata Mohd Zamri dalam satu kenyataan.

Menurutnya, seminar itu juga akan membincangkan ciri-ciri halal yang terdapat dalam standard Malaysia mengenai isu-isu yang berkaitan dengan babi dalam pandangan dan kajian pakar terkini di Malaysia.

Antara kertas kerja yang akan dibentangkan ialah “Standard Halal MS1500:2004- Pengenalan” oleh Mohd Yusof Arbain dari SIRIM Berhad, “Babi Menurut Perspektif Aqidah Islam Dan Agama-Agama Lain” oleh Rumaizi Ahmad (PUM Selangor) dan “Penggunaan Babi Dalam Sains dan Teknologi” oleh Prof Datuk Dr Sheikh Omar Abdul Rahman (UPM).

Yang lainnya ialah “Keperluan Penternakan Babi Moden di Malaysia”oleh Prof Madya Dr Loh Teck Chwen (UPM), “Bahan-bahan Babi dalam Kepenggunaan Menurut Pandangan Hukum Fiqah” oleh Zainal Abidin Jaafar dari Perbadanan Kemajuan Industri Halal (HDC) serta“Babi Dalam Pendidikan Veterinar: Suatu Panduan Menurut Fiqah”yang akan dibentangkan Mufti Selangor Datuk Seri Mohd Tamyes Abdul Wahid.

Menurut Mohd Zamri lagi, salah satu elemen penting dalam Standard Halal MS 1500:2004 ialah menyatakan kedudukan perkara-perkara berkaitan dengan babi secara teknikal dan hukum Islam mengenainya.

“Membentangkan standard ini untuk komentar awam adalah merupakan prasyarat ‘semakan standard’ dan membahaskan ciri-ciri hukum pandangan ulama dan pakar kontemporari, akan menjadikan standard lebih jitu untuk menerobos pasaran standarad antarabangsa.

“Figh Shafiee sebagai sumber rujukan hukum utama dalam Standard Halal Malaysia, telah terbukti berkesan di peringkat nasional.

“Membawa standard ini ke peringkat global memerlukan pandangan dari hasil kajian terkini dan rujukan hukum dari mazhab selain As-Syafiee,” tambahnya.

Dalam dunia hari ini, kata Mohd Zamri, babi merupakan salah satu spesis yang mendapat perhatian dalam sains dan penyelidikan, salain menjadi antara punca kepada bahan tambahan makanan.

“Isu babi merupakan sesuatu yang amat sensitif untuk dibicarakan untuk dibicarakan dan sentimen sosial mengatasi pertimbangan ilmiah dan akademik.

“Islam sebagai agama yang mendaulatkan ilmu pengetahuan sudah tentu menggalakkan kita agar bersedia untuk berbincang dengan isu yang amat sensitif ini dari pelbagai sudut akademik meliputi akidah, kepercayaan, fikrah perundangan, sosiologi, sains teknologi dan standard untuk amalan industri perbuatan.

“Antara elemen penting dalam Standard Halal ialah menyatakan kedudukan unsur babi dalam industri perbuatan sama ada kosmetik, ubat atau produk-produk lain,” tambahnya.

Beliau berkata seminar itu terbuka kepada semua dan hanya dihadkan kepada 500 peserta dengan bayaran yang dikenakan bagi pertubuhan atau agensi jabatan sebanyak RM150, individu RM50 seorang, manakala pelajar atau mahasiswa dikenakan bayaran hanya RM10.

Peserta yang berminat menyertai seminar itu boleh menghubungi PUM di talian 03-79554300.

http://www.malaysiakini.com/news/109951


About this entry