KHUTBAH SEMPENA ULANGTAHUN KEPUTERAAN SULTAN SELANGOR


إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُوَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ: فيا أيها المسلمون أوصيكم ونفسي بتقوى
الله ، قال الله تعالى
{يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله وقولوا قولا سديدا. يصلح لكم أعمالكم ويغفر لكم ذنوبكم ومن يطع الله ورسوله فقد فاز فوزا عظيما
Marilah kita tingkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah SWT. Kita laksanakan segala suruhan dan titah perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Kita mendukung dan menyokong mereka yang berjuang untuk menegakkan syariat-Nya dan kita hindarkan diri daripada mereka yang menentang hukum-hakam-Nya. Mudah-mudahan kita tergolong dalam golongan orang yang berjaya di dunia dan di akhirat kelak.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Khutbah adalah salah satu daripada rukun daripada rukun-rukun Jumaat. Sehubungan dengan itu mendengar dan menghayati khutbah menentukan sahnya pahala Jumaat. Justeru itu marilah kita sama-sama duduk di dalam masjid mendengar tanpa berbual, dan elakkan diri daripada duduk -duduk di bangsal-bangsal kenderaan, bawah-bawah pokok sambil menghisap rokok, sesungguhnnya ia semua membawa kepada lagha, yakni sia-sia pahala Jumaat.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,
Apabila baginda SAW wafat, maka berakhirlah kerasulan, tamatlah kenabian. Namun, risalah kenabian dan ajarannya perlu diteruskan hingga hari kiamat dan kesinambungan ini sudah tentu memerlukan imamah dan kepimpinan yang memacu ummah bagi mematuhi ajaran baginda SAW. Justeru itu, para sahabat berhimpun di saqifah bani sa’idah bagi bermesyuarat mencari pengganti baginda yang jasad suci nya sedang diuruskan oleh keluarganya radhiyallah ’anhum.
Hasil daripada mesyuarat tersebut, para sahabat radhiyallahu ’anhum telah sepakat untuk membai’ah Abu Bakar Assiddiq sebagai Khalifah menggantikan rasulallah SAW bagi meneruskan kepimpinan Islam yang prinsipnya iqamatud-din wa siyasatud dunya bih, menegakkan agama dan mentadbir dunia dengannya.
Kepimpinan Khulafa al-Rasyidin diteruskan oleh para khalifah dari dinasti Bani Ummayah diikuti oleh Bani Abbasiah dan berakhir dengan Bani Uthmaniyyah. Ketika kekhalifahan Bani Umayyah berlangsung, Islam mula datang ke alam Melayu sehingga berdirilah kerajaan-kerajaan Islam yang dipimpin oleh para Sultan bermula dari kerajaan Pasai, Kesultanan Melaka, Kesultanan Acheh, Kesultanan Mataram dan banyak lagi di Nusa Asia Tenggara atau Nusantara ini.
Apabila penjajah Barat datang dan kemudian pergi, beberapa wilayah masih mengekalkan kesultanan samada sebagai simbol budaya seperti di Indonesia atau sebagai sebahagian daripada struktur politik negara sepertimana di negara kita.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah sekalian,

Sempena dengan ulang tahun keputeraan DYMM Sultan Selangor, marilah kita renung kembali kepentingan sistem kesultanan ini yang merupakan warisan daripada kekhalifahan Islam dalam negeri kita khasnya dan Malaysia amnya. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT, dengan keteguhan struktur pentadbiran negara kita yang bertunjangkan kepada sistem Raja berperlembagaan, demokrasi berparlimen yang telah menjamin suasana politik yang stabil dan mantap, di mana Duli-duli Yang Maha Mulia Sultan atau Raja Melayu telah menjadi payung negerinya sejak dari zaman lampau. Hasilnya, kita telah dapat melaksanakan tanggung jawab dengan melakukan aktiviti harian, beribadat dan mencari rezeki dalam suasana yang aman lagi damai.
Sesungguhnya, institusi Raja amat memainkan peranan penting dalam mengembang dan mempertahankan Islam dan perpaduan rakyat di negara ini. Ingatlah kita akan sejarah lampau, apabila Raja-raja Melayu memeluk agama Islam, maka berduyun-duyunlah rakyat semuanya memeluk agama Islam sehinggakan umat Melayu tidak mengalami penindasan dan penyiksaan kerana menganut agama yang benar ini.
Sultan dan raja-raja Melayu inilah yang telah memperkenankan pelaksanaan undang-undang Islam seperti Hukum Kanun Melaka, Undang-undang 99 Perak, Kanun Islam Terengganu, Majallah Al-Ahkam Al-Adliyah negeri Johor dan sebagainya sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Al-Maidah ayat 49,
وَأَنِ احْكُمْ بَيْنَهُمْ بِمَا أَنْزَلَ اللَّهُ وَلا تَتَّبِعْ أَهْوَاءَهُمْ
Mafhumnya: “Dan hendaklah kamu memutuskan perkara di antara mereka menurut apa yang diturunkan Allah dan janganlah kamu mengikuti hawa nafsu mereka.”

Apabila penjajah Barat datang ke tempat kita, Sultan dan Raja-raja Melayu tetap diberikan peranan sebagai penjaga dan pentadbir hal ehwal Agama Islam dan adat istiadat Melayu. Sejarah telah membuktikan apabila sistem kesultanan ini dilupuskan maka lupuslah kedaulatan Agama Islam akibat ketiadaan khalifah yang menaunginya sebagaimana yang berlaku di beberapa buah negara Islam yang lain.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Sejak akhir-akhir ini, terdapat cubaan daripada pihak-pihak tertentu untuk mempertikaikan kedudukan agama Islam dalam perlembagaan, peranan Mahkamah Syar’iyyah dan bidang kuasa Raja-raja sebagai ketua Agama dan adat istiadat Melayu di negara ini.
Mereka cuba mempertikaikan kedudukan Islam sebagai agama persekutuan dengan tafsiran yang sekular, menggugat kuasa Mahkamah Syar’iyyah dengan mempertikaikan Artikel 121 (1 A), memperlekeh hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim-hakim Syar’i, melanggar titah baginda Sultan sebagai ketua agama negeri dan lain-lain lagi.
Hal ini tidak sepatutnya berlaku, melainkan kerana sudah longgarnya ikatan ukhuwah umat Islam akibat ketidak adilan, umat yang bercakaran dengan isu khilafiyah, hilangnya integriti sehingga boleh dijual-beli melalui rasuah selain sanggup diperalatkan oleh pihak lain. Jika perkara ini berlaku secara berterusan, tidak mustahil kita akan menerima nasib yang sama seperti yang berlaku di sesetengah negara di mana rakyatnya diburu dan dihalau dari tanah air mereka sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Alah,
Dalam struktur siyasah negara kita berasaskan perlembagaan persekutuan, Raja atau Sultan merupakan ketua perlembagaan yang tertinggi. Kedudukan baginda dijamin oleh perlembagaan sebagai ketua negeri dan ketua agama Islam bagi menjamin kesucian dan kedaulatan Islam itu terpelihara.
Hubungan erat antara raja dengan rakyat, pemimpin dengan pimpinannya bukanlah suatu yang luar biasa dalam tradisi kepimpinan Islam mahupun dalam tradisi kesultanan Melayu. Hal keadaan ini adalah berasaskan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 59;

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ أَطِيعُواْ اللّهَ وَأَطِيعُواْ الرَّسُولَ وَأُوْلِي الأَمْرِ مِنكُمْ فَإِن تَنَازَعْتُمْ فِي شَيْءٍ فَرُدُّوهُ إِلَى اللّهِ وَالرَّسُولِ إِن كُنتُمْ تُؤْمِنُونَ بِاللّهِ وَالْيَوْمِ الآخِرِ ذَلِكَ خَيْرٌ وَأَحْسَنُ تَأْوِيلاً
Wahai orang-orang Yang beriman, Taatlah kamu kepada Allah dan Taatlah kamu kepada Rasulullah dan kepada “Ulil-Amri” (orang-orang Yang berkuasa) dari kalangan kamu. kemudian jika kamu berbantah-bantah (berselisihan) Dalam sesuatu perkara, maka hendaklah kamu mengembalikannya kepada (Kitab) Allah (Al-Quran) dan (Sunnah) RasulNya – jika kamu benar beriman kepada Allah dan hari akhirat. Yang demikian adalah lebih baik (bagi kamu), dan lebih elok pula kesudahannya.

Ulil Amri secara umumnya bolehlah diistilahkan sebagai sultan-sultan, pemerintah-pemerintah, para alim ulama, ketua-ketua dan pemimpin-pemimpin iaitu mereka yang dijadikan tempat orang ramai berurusan permasalahan mereka dan kepentingan-kepentingan umum. Demikian yang disebutkan dalam kitab-kitab tafsir yang muktabar.

Sabda Rasulallah SAW;

“السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ عَلَى المَرْءِ المُسْلِمِ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ مَا لَمْ يُؤْمَر بِمَعْصِيَةٍ فَإِذَا أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ” (رواه البخارى)
“Wajib ke atas setiap muslim dengar dan taat kepada pemerintah Muslim, samada perintah yang ia suka atau ia tidak suka, selama mana ia tidak diperintah melakukan maksiat, maka janganlah dengar dan taat.”

عَنْ عَدِىّ بنِ حَاتِم رضى الله قال : قُلْنَا يَا رَسُوْلُ اللهِ، لاَ نَسْأَلُكَ عَنْ طَاعَةِ مَنِ اتَّقَى، وَلَكِنْ مَنْ فَعَلَ وَفَعَلَ- فَذَكَرَ الشَّرَّ- فَقَالَ:”اتَّقُوا اللهَ وَاسْمَعُوا وَأَطِيْعُوا” (أخرجه ابن ابى عاصم)
“Daripada Ibnu Hatim, katanya: kami bertanya; “ Wahai Rasulullah, kami tidak bertanyakan tentang taat kepada pemerintah yang bertakwa, teteapi pemerintah yang melakukan itu dan ini, lalu dia menyebut perkara-perkara yang buruk.Lalu Rasulullah s.a.w bersabda; Bertakwalah kamu kepada Allah, dan dengar serta taatlah kamu kepada pemerintah.”
Al-Syaikh Mustafa Zarqa dalam kitabnya Al-Fiqh Al-Islami fi Tsawbihi Al-Jadid menyatakan,“Sesungguhnya para fuqaha’ berpendapat bahawa perintah-perintah sultan yakni pemerintah wajib di sisi syarak diterima dan dilaksanakan, sekalipun ianya berupa menyempitkan tafsiran bagi perkataan yang luas sifat liputannya, atau menerima pendapat yang tidak kuat dalam masalah-masalah hukum yang para ulama’ berbeza pendapat mengenainya selama mana perintah-perintah berasaskan kepada kepentingan umum, yang mana penentuannya terpulang kepada ijtihad pemerintah sendiri sesuai dengan satu prinsip dalam usul fiqh yang dikenali dengan ‘Al-Masalih Al-Mursalah”.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita amat bersyukur ke hadrat Allah SWT dan menjunjung setinggi kasih kepada DYMM baginda sultan kita yang dalam keadaan dan suasana yang tertentu, kegawatan dan kegentingan yang berlaku, telah dapat memainkan peranan baginda dalam membantu menyelamatkan keadaan, mengendurkan ketegangan, menjaga kesucian agama Islam, mempertahankan adat-istiadat orang melayu Islam dan menjadi simbol kepada perpaduan rakyat di negeri ini.
Kita juga bersyukur dan menjunjung kasih atas keprihatinan dan perhatian baginda tuanku terhadap permasalahan dan kepentingan rakyat tanpa mengira kedudukan, keturunan dan fahaman. Amanah dan tanggung jawab yang dipikul oleh Duli Tuanku amatlah berat. Justeru itu selaku rakyat yang berpayung di bawah pemerintahan baginda, wajarlah memahami keadaan ini dan seterusnya memberikan taat setia yang tidak berbelah bagi kepada baginda.
Di samping itu, kita juga perlu menghormati dan mematuhi peraturan dan arahan yang dilaksanakan oleh ketua pentadbir negeri ini yang dipilih rakyat dan para pegawainya yang diberi amanah melaksanakannya kerana mereka menjalankan tugas dan mentadbir atas nama kerajaan baginda Sultan.
Kerana itu, kita melihat sebarang urusan kerajaan akan terteralah kalimat ” Urusan Seri Paduka Baginda”, manakala enakmen-enakmen negeri yang diwartakan akan didahului dengan mohor kerajaan dan tanda-tangan baginda Sultan sebagai perkenan kerana kerajaan ini adalah kerajaan baginda Sultan, bukan kerajaan itu dan ini.
Sehubungan dengan itu, semua pihak samada agensi kerajaan, badan berkanun, badan bukan kerajaan NGO dan orang perseorangan tanpa mengira kedudukan, keturunan dan ideologi masing-masing perlulah membantu baginda untuk menjalankan tugas berasaskan kepada konsep Raja berperlembagaan yang mengambil kira kehendak rakyat sebagaimana yang terjelma dalam keputusan proses demokrasi berparlimen yang diamalkan dalam negara kita. Kehendak rakyat semasa dan restu baginda amat penting demi kesejajaran, kesejahteraan dan keharmonian.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Marilah kita semua selaku rakyat negeri Selangor yang berpayung di bawah naungan baginda, mengelakkan diri daripada perbuatan yang melanggar undang-undang dan perlembagaan. Kita juga hendaklah menjauhkan diri daripada sikap suka menghina, mencela dan menfitnah sesama kita kerana perbuatan tersebut amat dimurkai Allah, menimbulkan perpecahan, menggugat keharmonian dan menjurus kepada persengketaan.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
يَٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ لَا يَسْخَرْ قَوْمٌۭ مِّن قَوْمٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُونُوا۟ خَيْرًۭا مِّنْهُمْ وَلَا نِسَآءٌۭ مِّن نِّسَآءٍ عَسَىٰٓ أَن يَكُنَّ خَيْرًۭا مِّنْهُنَّ ۖ وَلَا تَلْمِزُوٓا۟ أَنفُسَكُمْ وَلَا تَنَابَزُوا۟ بِٱلْأَلْقَبِ ۖ بِئْسَ ٱلِٱسْمُ ٱلْفُسُوقُ بَعْدَ ٱلْإِيمَنِ ۚ وَمَن لَّمْ يَتُبْ فَأُو۟لَٓئِكَ هُمُ ٱلظَّلِمُونَ
Wahai orang-orang Yang beriman! janganlah sesuatu puak (dari kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan Yang lain, (kerana) harus puak Yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya Yang lain; dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu Dengan Yang lain Dengan gelaran Yang buruk. (Larangan-larangan Yang tersebut menyebabkan orang Yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia beriman. dan (ingatlah), sesiapa Yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang Yang zalim. Surah al-Hujurat ayat ke 11.

با رك الله لى ولكم بالقرأن العظيم , ونفعنى واياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم , وتقبل منى ومنكم تلا وته انه هو السميع العليم. اقول قولى هذا واستغفر الله العظيم لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤ منات, فاستغفروه انه هو الغفور الرحيم.

Klik untuk download khutbah hari jadi sultan


About this entry