Khutbah Tentang Perkahwinan

إِنَّ الْحَمْدَ لِلهِ نَحْمَدُهُ وَنَسْتَعِيْنُهُ وَنَسْتَغْفِرُهُ وَنَعُوْذُ بِاللهِ مِنْ شُرُوْرِ أَنْفُسِنَا وَمِنْ سَيِّئَاتِ أَعْمَالِنَا مَنْ يَهْدِهِ اللهُ فَلاَ مُضِلَّ لَهُ وَمَنْ يُضْلِلْ فَلاَ هَادِيَ لَهُ، أَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ. اللَّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ عَلَى عَبْدِكَ وَرَسُوْلِكَ مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ، أَمَّا بَعْدُ: فيا أيها المسلمون أوصيكم ونفسي بتقوى الله ، قال الله تعالى

$pkš‰r’¯»tƒ tûïÏ%©!$# (#qãYtB#uä (#qà)®?$# ©!$# ¨,ym ¾ÏmÏ?$s)è? Ÿwur ¨ûèòqèÿsC žwÎ) NçFRr&ur tbqßJÎ=ó¡•B ÇÊÉËÈ

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya mengingatkan diri saya dan tuan-tuan sekalian, marilah sama-sama kita tingkatkan keimanan dan ketakwaan kepada Allah Subhanahu Wata’ala dengan melaksanakan segala suruhan-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya serta beriman kepada Allah SWT. Mudah-mudahan kita beroleh kejayaan di dunia lebih-lebih lagi di akhirat.

Sidang Jumaat sekalian, ingatlah, khutbah adalah salah satu daripada rukun Jumaat, justeru itu hendaklah kalian diam dan dengar, kerana berbicara ketika khutbah disampaikan, bermain-main ketika khutbah disyarahkan, akan menyebabkan hilangnya pahala Jumaat yang bererti kerugian buat kita yang akan mengadap Allah satu hari nanti.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Perkahwinan merupakan tuntutan fitrah, bagi memenuhi keperluan emosi, biologi dan sosial  manusia yang merupakan sesuatu yang telah disyariatkan oleh Allah SWT bagi mencapai sakinah – ketenangan, dalam kehidupan melalui mawaddah dan rahmah – cinta dan kasih sayang. Firman Allah SWT dalam surah al-Rum ayat ke 21;

ô`ÏBur ÿ¾ÏmÏG»tƒ#uä ÷br& t,n=y{ /ä3s9 ô`ÏiB öNä3Å¡àÿRr& %[`ºurø—r& (#þqãZä3ó¡tFÏj9 $ygøŠs9Î) Ÿ@yèy_ur Nà6uZ÷t/ Zo¨Šuq¨B ºpyJômu‘ur 4 ¨bÎ) ’Îû y7Ï9ºsŒ ;M»tƒUy 5Qöqs)Ïj9 tbr㍩3xÿtGtƒ ÇËÊÈ

dan di antara tanda-tanda Yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, Bahawa ia menciptakan untuk kamu (Wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikannya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya Yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang Yang berfikir.

Perkahwinan dibina berasaskan kasih sayang, cinta berahi, belas ihsan yang menyatukan dua hati, sebati dalam membina hidup yang indah dan bahagia yang mewujudkan sakinah – ketenangan . Ia diumpamakan membina masjid yang merupakan lambang keimanan dan ketaqwaan, perpaduan dan kasih sayang di mana insan akan berasa tenang beri’tikaf dan beribadat di dalamnya.

Namun, amat mendukacitakan, apa yang disasarkan oleh Al-Quran sebagai matlamat dalam perkahwinan tidak dihayati oleh masyarakat masa kini. Apa yang terpapar dalam media sering menceritakan tentang rumah tangga yang mulanya dibina atas alasan cinta dan kasih, menjadi medan persengketaan dengan konflik yang bersulamkan nusyuz (penderhakaan), syiqaq (pertengkaran) dan dharar (penganiayaan). Lebih dahsyat dan tragis lagi apabila konflik ini membawa kepada tragedi pembunuhan.

Sidang Jumaat yang dikasihi sekalian,

Menurut rekod Jabatan Agama Islam Selangor, sepanjang tahun 2000 hingga 2008 terdapat 81,115 aduan rumah tangga dengan purata 24 kes sehari. Dalam tempoh itu juga seramai 26,421 pasangan telah bercerai dengan purata 8 kes sehari. Dengan rekod yang tinggi ini memberikan gambaran kepada kita, betapa rapuhnya institusi perkahwinan umat Islam masa kini yang dikatakan dibina atas dasar cinta, kasih dan sayang.

Di mana silapnya? Apakah sebabnya ? Dari manakah  puncanya?  Sidang Jumaat sekalian, marilah kita bermuhasabah bersama-sama, merujuk kembali kepada ajaran Islam yang diturunkan sebagai rahmat kepada sekalian alam. Islam sebagai agama yang lengkap dan syumul mengajar kita bukan sahaja bagaimana untuk bersolat, bahkan bagaimana untuk mengatur jodoh kita, anak-anak kita dan jagaan walian kita.

Sabda Rasulallah SAW,

تنكح المرأة لاربع لمالها ولحسبها ولجمالها ولدينها فاظفر بذات الدين تربت يداك

”Dikahwini perempuan itu kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, cantik jelitanya dan pegangan agamanya, maka pilihlah yang beragama – saya ulangi – maka pilihlah yang beragama, nescaya akan selamat.”

Berdasarkan saranan Rasulallah SAW tersebut, pembinaan rumah tangga yang bahagia bermula dari pemilihan jodoh. Bukan hanya sekadar memandang berapa banyak hartanya, betapa mulia keturunannya, bagaimana cantik dan rupawannya, tetapi yang paling penting sekali ialah yang berpegang kepada agamanya.

Dalam hadis yang lain ketika memilih jodoh untuk puteri kita, yang menjadi tanggung jawab para wali, Rasulallah SAW bersabda;

اذا جاءكم من ترضون دينه و خلقه فزوجوه ان لم تفعلوا تكن فتنة فى الارض وفساد عريض

” Apabila datang kepada kamu orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya – saya ulangi lagi – orang yang kamu redhai agama dan akhlaknya, maka hendaklah kamu kahwinkannya yakni terima pinangannya dan kahwinkan puteri kamu. Jika kamu tidak melakukannya nescaya akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar. Saya ulangi lagi – akan berlaku fitnah di muka bumi dan kerosakan yang besar.” HR Tirmizi, Ibn Majah dan Al-Hakim.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Peganglah saranan dan ajaran baginda SAW ini, jadikanlah agama sebagai kriteria utama bagi kita membina dan melayari bahtera rumah tangga di dunia yang fana ini.

Jika selama ini kita kurang beragama, janganlah kita jadikan diri kita, pasangan kita, keluarga yang baru kita bina berterusan dalam kegelapan kejahilan. Masih banyak masa dan ruang yang Allah SWT berikan kepada kita untuk menjadi insan beragama. Bukankah masjid kita ini, surau-suarau yang bertaburan di kampung kita ini, sering mengadakan majlis-majlis ilmu, majlis-majlis zikir khususnya pada malam Jumaat dan program-program yang boleh membentuk kita menjadi manusia beragama. Tepuk dada tanya iman, menjadi manusia beragama adalah pilihan kita sendiri.

Sidang Jumaat yang dirahmati Alllah sekalian,

Selain dari pemilihan jodoh yang menitikberatkan prinsip beragama, proses perjalanan untuk memulakan sebuah perkahwinan juga perlu mematuhi ajaran agama. Bermula dari hubungan antara dua sejoli yang tidak sepatutnya dicemari dengan perkara mungkar dan maksiat seperti berdua-duaan berdating, bercumbuan memadu kasih walaupun telah bertunang. Ikatan pertunangan bukanlah lesen untuk menghalalkan yang haram.

Selain daripada jumlah mas kahwin dan hantaran yang sepatutnya mengandungi keberkatan, majlis resepsi atau walimah yang diselenggarakan juga perlu mematuhi hukum syarak. Islam menggalakkan mengadakan majlis resepsi perkahwinan atau walimah bagi tujuan menghebahkan kepada umum sebagaimana dinyatakan dalam beberapa hadis dan riwayat.

Namun harus diingat, ia bukan bererti, majlis resepsi perkahwinan itu boleh dilakukan sesuka hati dan nafsu sehingga berlakunya riya’ dan pembaziran, perkara mungkar dan maksiat yang menghilangkan keberkatan dan rahmat dari Allah SWT. Walaupun Islam membenarkan bunyi-bunyian dialunkan di majlis walimah tetapi pastikan ia bukan dari jenis yang lagha, melalaikan, mungkar dan maksiat. Alangkah baiknya jika alunan muzik yang mengiringi majlis walimah dipenuhi dengan dendangan salawat, memuji kebesaran Allah selain lagu yang meraikan pengantin. Demikian juga dengan para pendendang yang tidak mendedahkan aurat, tergedik-gedik tanpa sopan dengan lirik lagu yang tersasar dari ruh Islam.

Selain itu, elakkan perarakan pengantin dilakukan pada ketika waktu di mana para muazzin sedang melaungkan azan. Adakah patut ketika masuk waktu solat , muazzin mengalunkan suara azan, pada ketika itu jugalah berlawan dengan gegak gempita bunyi kompang yang bergema mengarak pasangan pengantin. Alangkah baiknya jika pengantin lelaki memulakannya dengan solat berjamaah di masjid sebelum melangkah kaki bersama teman sejolinya berarak masuk naik ke pelamin.

Pakaian pengantin khususnya perempuan dan dandanannya juga harus diambil kira. Pastikan ia adalah pakaian yang menutup aurat serta tata rias wajahnya tidak berlebihan selain tidak dilakukan oleh orang lelaki. Haram bagi seorang lelaki biarpun bersifat kewanitaan merias wajah seorang perempuan yang bukan mahramnya.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekalian,

Apabila seluruh perjalanan bagi membina perkahwinan dan rumah tangga ini dapat dilakukan berdasarkan hukum syarak dan ketentuan agama, Insya Allah, ia akan dicucuri dengan berkat dan rahmat Allah SWT. Kepada semua warga Kanchong Darat yang bakal menjadi raja sehari, diucapkan     Semoga Allah memberkati kamu dan melimpahkan berkat kepada kamu dan menghimpunkan kedua kamu di dalam kebaikan , dan inilah ucapan baginda SAW kepada pengantin baru.

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

(#qßsÅ3Rr&ur 4‘yJ»tƒF{$# óOä3ZÏB tûüÅsÎ=»¢Á9$#ur ô`ÏB ö/ä.ϊ$t6Ïã öNà6ͬ!$tBÎ)ur 4 bÎ) (#qçRqä3tƒ uä!#ts)èù ãNÎgÏYøóムª!$# `ÏB ¾Ï&Î#ôÒsù 3 ª!$#ur ììřºur ÒOŠÎ=tæ ÇÌËÈ

dan kahwinkanlah orang-orang bujang (lelaki dan perempuan) dari kalangan kamu, dan orang-orang Yang soleh dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. jika mereka miskin, Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurniaNya kerana Allah Maha Luas (rahmatNya dan limpah kurniaNya), lagi Maha mengetahui. Surah An-Nur : 32

با رك الله لى ولكم بالقرأن العظيم , ونفعنى واياكم بما فيه من الايات والذكر الحكيم , وتقبل منى ومنكم تلا وته انه هو السميع العليم. اقول قولى هذا واستغفر الله العظيم لى ولكم ولسائر المسلمين والمسلمات والمؤمنين والمؤ منات, فاستغفروه انه هو الغفور الرحيم.


About this entry