PENGETAHUAN WARISAN

Seorang bertanya, “ Ustaz, manusia ni memang hebatlah. Macamana dia boleh fikir buat benda-benda ni semua ?” Sambil menunjukkan Samsung Galaxy Notenya. Ya, semakin maju teknologi semakin manusia merasakan kehebatannya. Semalam, salah seorang pembentang kertas kerja menceritakan bagaimana proses GM Food berlaku menambahkan lagi teka-teki ke”hebatan” manusia.

Teringat semasa mengulas bab pertama kitab Tarikh Abil Fida ; Al-Muktasar fi Akhbar al-Basyar untuk kuliah subuh di masjid, terfikir mungkinkah pengetahuan yang manusia ada pada masa ini merupakan warisan turun temurun dari Adam AS? Kenapa saya katakan begitu ? Cuba renungkan kembali ayat ini,

31. dan ia telah mengajarkan Nabi Adam, akan Segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan Yang benar”.
32. malaikat itu menjawab: “Maha suci Engkau (Ya Allah)! Kami tidak mempunyai pengetahuan selain dari apa Yang Engkau ajarkan kepada kami; Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”.
33. Allah berfirman: “Wahai Adam! Terangkanlah nama benda-benda ini semua kepada mereka”. maka setelah Nabi Adam menerangkan nama benda-benda itu kepada mereka, Allah berfirman: “Bukankah Aku telah katakan kepada kamu, bahawasanya Aku mengetahui Segala rahsia langit dan bumi, dan Aku mengetahui apa Yang kamu nyatakan dan apa Yang kamu sembunyikan?”.

( Al-Baqarah : 31-33)

Ibn Kathir ketika mengulas ayat ini dalam Qasas al-Anbiya’nya membawa beberapa riwayat mengenainya. Ibn Abbas diriwayatkan mengatakan, “Ia adalah nama-nama yang diketahui manusia – insan, binatang, bumi, pasir, lautan, bukit-bukau, unta, kaldai dan yang seumpamanyadaripada umat-umat dan selainnya.” Kata Mujahid, “ Diajarkan nama-nama lembaran dan al-qadar, nama-nama setiap binatang dan burung, dan setiap sesuatu.” Demikian juga kata Said bin Jubayr, Qatadah dan lain-lain.
Kata al-Rabi’ diajarkan Adam nama-nama malaikat, manakala Abdul Rahman bin Zaid menyatakan diajar nama-nama zuriat Nabi Adam AS. Kata Ibn Kathir, yang benarnya ialah diajar kepada Adam AS nama-nama setiap zat (benda) dan kelakuannya besar dan kecil sebagaimana yang ditunjukkan oleh Ibn Abbas dan juga riwayat al-Bukhari dan Muslim, daripada said dan Hisham, daripada qatadah, daripada Anas bin Malik RA daripada Rasulallah SAW;” Dihimpunkan orang-orang mukmin pada hari kiamat dan mereka berkata untuk memohon syafaat kepada Tuhan kita. Maka mereka datang kepada Nabi Adam AS lalu berkata, Engkau adalah bapa kepada manusia. Allah jadikan engan dengan tangan-Nya dan sujud kepada engkau para malaikat dan mengajarkan kepada engkau nama-nama setiap sesuatu….” hingga akhir hadis.

Berdasarkan ini, adakah mustahil jika Samsung Galaxy juga diajarkan kepada bapa kita dahulu ? Termasuklah DNA, Klon, GM Food dan sebagainya. Bukankah otak manusia itu mengandungi lebih 100 billion (100,000,000,000) neuron yang setiap satunya mempunyai sehingga 1000 titik dok (docking point) yang apabila berhubungan antara satu sama lain menghasilkan 100,000 billion (100,000,000,000,000) rangkaian pertukaran maklumat. Secara praktisnya, hanya sebahagian kecil perhubungan ini berlaku dalam otak kita.(Lihat, Susan Watt, et.al., Making The Most of Your Brain. London : Readers Digest Association Limited.)
Berdasarkan nas dan fakta ini, secara teorinya, segala idea yang ada dalam kepala otak manusia merupakan pengetahuan yang diwarisi daripada nabi Adam AS. Pengetahuan yang Allah ajarkan kepada bapa kita ini, sehinggakan malaikat pun “surrender” kerana tidak terfikir pun benda-benda yang disebutkan oleh nabi Adam AS sebagaimana dalam ayat 32 di atas.Setiap dari kita berkongsi sedikit daripada pengetahuan yang didapati dari dalam syurga, tersimpan bagaikan memori dalam cakera keras, timbul sebagai idea pada kala dan ketika tertentu dari pelbagai kepala otak manusia yang berjumlah lebih 7 billion ini. Wallahu A’lam, sekadar pendapat saya yang jahil ini.


About this entry