HIJRAH : MANUSIA ADALAH INSAN HIJRAH – MEWARISINYA DARI ADAM.

MANUSIA ADALAH INSAN HIJRAH. Itulah hakikatnya. Sejak bermulanya manusia dan sejarahnya, ia telah menjadi insan hijrah. Konotasi “hijrah” yang menurut Kamus Besar Arab Melayu Dewan dari 3 huruf asalnya membawa maksud menjauhi apabila menjadi 4 aksara dengan penambahan alif bermakna meninggalkan yang dalam bahasa kita disebut berhijrah-berpindah sebagaimana dinyatakan oleh Kamus Dewan Edisi 4 . Insan hijrah dimulai oleh Nabi Adam AS dan isterinya apabila mereka “dipaksa” turun akibat kesilapan memakan buah “khuldi” dengan menjauhi syurga, meninggalkan serba kenikmatannya, menuju bumi  yang penuh payah dan kesengsaraan ini sebagaimana terakan indah dalam al-Quran;

Al-Baqarah 2 : 36. setelah itu maka Syaitan menggelincirkan mereka berdua dari syurga itu dan menyebabkan mereka dikeluarkan dari nikmat Yang mereka telah berada di dalamnya dan Kami berfirman: “Turunlah kamu! sebahagian dari kamu menjadi musuh kepada sebahagian Yang lain dan bagi kamu semua disediakan tempat kediaman di bumi, serta mendapat kesenangan hingga ke suatu masa (mati)”.

Al-Baqarah 2 : 38. 38. Kami berfirman lagi: “Turunlah kamu semuanya dari syurga itu!’

Tiba dibumi, kembara hijrah diteruskan apabila pasangan yang bahagia di syurga ini terpisah jauh, katanya seorang diAustraliadan seorang lai di Afrika sebelum ketemu dengan penuh rindu di Jabal Rahmah, Arafah pada tahun yang tidak diketahui dengan tepat oleh sesiapa pun. Hijrah itu diteruskan pula oleh sebahagian anaknya yang akhirnya membentuk kabilah-kabilah manusia tertentu sebelum diratakan pula oleh banjir besar NabiNuhAS.

 

Hijrah manusia yang dikatakan pertama sekali berkhitan dan memakai seluar menurut Tarikh Abil-Fida’ diwarisi oleh anak cucu Sam bin Nuh yang digelar Khalilullah, iaitu Nabi Ibrahim AS yang terpaksa meninggalkan negeri maju dan bertamadun Babilon  yang syirik menuju ke Harran sebelum dilanjutkan ke Mesir yang diperintah oleh Firaun yang gilakan isteri orang, pantang nampak yang cantik akan dimintanya.

Ia tidak terhenti di situ melainkan Nabi Ibrahim AS dan isterinya Sarah AS bersama Hajar AS hamba sahaya yang kemudiannya menjadi madunya berhijrah pula ke Palestine sebelum perintah Allaah datang agar Ibrahim AS membawa Hajar AS bersama anaknya ke Tanah Hijaz. Dari zuriat Sarah lahirlah Bani Ishaq yang sebahagiannya menjadi Yahudi manakala dari Hajar AS lahirlah Nabi Ismail AS yang melahirkan Bani Arab setelah Nabi Ismail AS berkahwin dengan wanita suku Jurhum.

 

Hijrah keturunan Nabi Ibrahim AS diwarisi pula oleh keluarga Nabi Yaakub AS yang menuruti jejak langkah leluhurnya berpindah ke Mesir setelah anaknya yang paling kacak, Nabi Yusuf AS menjadi menteri kerajaan Firaun yang monotheistik. (Dalam sejarah Firaun ada rajanya yang beriman kepada satu Tuhan, diduga ini yang beriman dengan Allah pada masa NabiYusufAS). Keturunan Nabi Yaakub AS yang berkembang biak di Mesir kemudiannya diperhambakan oleh Firaun dari dinasti musyrik (politheistik) sebelum mereka kemudiannya berhijrah pulang semula ke bumiPalestinedi bawah pimpinan NabiMusaAS.(Dalam sejarah Firaun, dinasti yang beriman ditumbangkan oleh dinasti musyrik.)

Demikian setelah kerajaan Yahudi berada di bawah penguasaan Rumawi yang bertanggung jawab menghukum Nabi Isa AS dengan menyalib orang yang salah, menyebabkan para hawariyin berhijrah ke merata pelosok menyebarkan ajaran tauhid yang kemudiannya dicemari dengan falsafah triniti yang syirik. Sehinggalah kepada nabi yang terakhir, Nabi Muhammad SAW juga telah diperintahkan oleh Allah SWT untuk berhijrah meninggalkankotasuci kelahirannya yang payah untuk menyokong ajaran yang dibawanya menuju ke kawasan yang menjanjikan benih subur untuk Islam di kita Tayyibah yang kemudiannya menjadi madinah Al-Munawwarah.

Walaupun Nabi Muhammad SAW mengatakan hijrah yang disyariatkan kepadanya telah terhenti dengan kata-katanya yang dirakamkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bersumberkan jalur sanad yang tiba kepada Saidatina Aishah RA ;

 

“Tidak ada hijrah selepas pembukaan (Mekkah,) tetapi jihad dan niat (yang baik.) Apabila kamu disuruh bersiap sedia, maka bersedialah.”

 

Ini bukan bererti manusia hijrah terhenti melainkan akan terus berhijrah sehinggalah kiamat itu berlaku. Bahkan, setelah mati pun, ruh ini akan berhijrah menuju alam barzakh yang sering digambarkan penuh kengerian seolah-olah Allah SWT sangat garang dengan manusia padahal banyak nas yang mengatakan sebaliknya, sebelum manusia akan berhijrah pula ke padang Mahsyar setelah tiupan sangka kala, bergelandangan tanpa hala tujuan selama ribuan tahun sebelum syafaat Nabi Muhammad SAW mengakhiri kesengsaraan untuk sebahagian besar manusia itu sebagaimana digambarkan oleh Imam Qurtubhi melalui nas-nas hadis dalam kitab At-Tazkirah Fi Ahwal al-Mawta Wa Umur al-Akhirahnya.

Sementara nadi kehidupan masih berdenyut, manusia yang mewarisi hijrah dari bapanya Nabi Adam AS ini akan terus berhijrah sebagaimana tercatat dalam beratus-ratus lembaran buku sejarah. Parameswara juga berhijrah dari tanahnyaPalembangmenuju ke Temasik sebelum diancam kuasaSiamyang menghambatnya untuk berhijrah ke sebuah kuala sungai yang kemudiannya menjadi empayer besar bernama Melaka. Bukankah keagungan Amerika Syarikat sekaran ini juga bermula dengan penghijrahan besar-besaran orang Eropah ke benua yang kononnya ditemui oleh Magellan, tetapi diberi nama sempena Amerigo Vespucci. Dan 13 negeri asal yang baru mandiri dari jajahan British itu terus berkembang dengan penghijrahan besar-besaran pula ke sebelah Barat sehingga melakarkan lagenda Wil-wild West dan Zorro. Aku sendiri berada di bumi bertuah ini kerana hijrahnya datuk aku dari Tanah Jawa yang mistik meninggalkan zuriat yang betebaran pula ke merata tempat.

Perkataan hijrah disebut tidak kurang 22 kali dalam pelbagai konotasi di dalam al-Quran. Antaranya;

Al-Baqarah : 2  : 218. Sesungguhnya orang-orang Yang beriman, dan orang-orang Yang berhijrah serta berjuang pada jalan Allah (untuk menegakkan ugama Islam), mereka itulah orang-orang Yang mengharapkan rahmat Allah. dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Al-Nisa : 4 : 89. . mereka suka kalau kamu pula menjadi kafir sebagaimana mereka telah menjadi kafir, maka (dengan Yang demikian) menjadilah kamu sama seperti mereka. oleh itu janganlah kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat kamu, sehingga mereka berhijrah pada jalan Allah (untuk menegakkan Islam). kemudian kalau mereka sengaja berpaling ingkar, maka tawanlah mereka dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu menemuinya; dan jangan sekali-kali kamu mengambil (seorang pun) di antara mereka menjadi teman rapat atau penolong;

Al-Ankabut : 29 : 26. setelah itu Lut beriman kepadanya dan Nabi Ibrahim pun berkata: “Aku hendak berhijrah kepada Tuhanku, Sesungguhnya Dia lah jua Yang Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana”.

Al-Mumtahanah : 60 : 10. Wahai orang-orang Yang beriman! apabila orang-orang perempuan Yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: Dengan Yang demikian, sekiranya kamu mengetahui Bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang Yang kafir. mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa Yang mereka telah belanjakan. dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin Dengan mereka (perempuan-perempuan Yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. dan janganlah kamu (Wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu Dengan perempuan-perempuan Yang (kekal Dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin Yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami Yang kafir itu) meminta balik apa Yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.

Satu lagi teori warisan – manusia hijrah. WalLahu A’lam.

 

 

 


About this entry