QURANIYUN , LIBERALIS DAN REFORMIS ISLAM SATU SOROTAN.

RUMAIZI BIN AHMAD
Nota :  Oleh kerana artikel ini cnp  melalui aplikasi mobile, maka nota kaki tidak turut serta.

I  – LATAR BELAKANG

Sejak orientalisme bermula , mereka telah menggunakan segala upaya mereka untuk mengkaji, memahami dan mengkritik Islam sehingga ke peringkat yang paling dalam dan mendasar. Pada mulanya, studi kritis terhadap Islam dipelopori oleh musuh Islam, namun sejak akhir ini khususnya selepas berakhir era penjajahan, studi ini telah menarik sejumlah sarjana Islam untuk turut bersama. Hasilnya lahirlah kelompok muslim yang menggeluti dunia kesarjanaan khusus memberikan apa yang dikatakan idea baru yang sesuai dengan zaman untuk Islam.
          Orientalisme telah lama bermula dengan studi kritis terhadap al-Sunnah atau hadis dari segi autoriti dan keabsahan sumbernya daripada Rasul sehingga mereka sanggup mengindekskan setiap patah kata dalam Hadis yang kemudiannya melahirkan mahakarya seperti Concordance et indices de la Tradition Musulmane  sebanyak 8 jilid. Kajian-kajian yang mendalam secara saintifik  tentang sumber kedua yang autoritatif dalam Islam ini telah memungkinkan lahirnya golongan anti-hadis ( atau ingkar sunnah ) yang kini lebih selesa menggelarkan diri mereka Quranist atau Quraniyyun.
           Usaha untuk mendiskreditkan Islam tidak terhenti dengan ktritikan terhadap hadis, ia merebak kepada studi kritis al-Quran dengan pelbagai teori metodologi baru seperti hermeunetik digunakan untuk  mentafsirkan semula  al-Quran agar lebih sesuai dengan realiti masakini. Lebih dari itu, studi kritis terhadap al-Quran sampai ke peringkat mendiskreditkan keabsahan kitab suci itu dari Tuhan  melainkan ia sekadar tulisan tangan manusia yang bernama Muhammad dengan bantuan sahabat-sahabatnya dari sumber-sumber kitab yang lebih dahulu seperti Taurat, Injil, Vendidad dan malah kisah-kisah epik dan mitos warisan budaya Arab dan sekitarnya. Tidak pelik apabila ada yang berpandangan Allah itu berasal daripada Dewa Bulan yang menjadi salah satu dewa kepercayaan orang Arab pra-Islam.
            Usaha terkini yang cuba dilakukan oleh musuh Islam setelah cuba menimbulkan keragu-raguan terhadap  hadis  dan al-Quran, mereka sedang berusaha pula mendiskreditkan nabi Muhammad SAW dengan kajian akademik dan saintifik berdasarkan kepada sumber-sumber primier Islam itu sendiri samada untuk membuktikan baginda sebagai bukan nabi, nabi palsu, bahkan sampai ke peringkat cuba menafikan kewujudan baginda melinkan hanya sebagai watak mitos atau sekurang-kurangnya watak yang dilagendakan seperti watak-watak dalam mitologi Yunani Purba atau seperti watak Hang Tuah di tempat kita.
            Malangnya, usaha dan kajian mereka terhadap hadis dan Al-Quran telah menyilaukan pemikiran sebahagian kecil sarjana Islam seperti Rashad Khalifa, Nasr Abu Zayd, Amina A. Wadud dan Muhammad Syahrur. Daripada sinilah, selain berpokokkan kepada ajaran falsafah-falsafah Barat seperti Liberalisme memunculkan apa yang dinamakan Islam Liberal yang menjadi wacana akademik Islami abad ini.

II- QURANIYUN

Dari segi terminologi, quraniyun ( atau quranist dalam bahasa Inggeris ) merujuk kepada golongan yang berpegang kepada al-Quran sebagai wahyu tetapi menolak keautoritian dan keabsahan hadis / al-sunnah. Mereka hanya mengikut al-Quran semata-mata. Mereka dikatakan sebagai golongan yang berpegang kepada Quranisme ( al-Quraniyyah) atau Ahl al-Quran. Dari segi sejarah, ia dikatakan muncul sejak zaman Abbasiyah apabila Ibrahim al-Nazzam, seorang pemuka Muktazilah yang mengasaskan mazhab Nazamiyah dan dikatakan  mengkritik kehujahan hadis dan hanya menerima al-Quran. Pada awal abad ke-20 Muhammad Tawfiq Sidqi telah mempelopori idea Quranisme di Mesir. Gerakan ini menjadi berkembang di Amerika Syarikat oleh Rashad Khalifa yang kemudiannya mempengaruhi Kassim Ahmad di Malaysia. Selain itu gerakan ini juga muncul di Nigeria melalui Hakim Isa Othman dan Malam Isiyaka Salisu. Di Sudan, seramai 27 orang golongan Quraniyun telah dtangkap oleh pihak berkuasa pada tahun 2015.
        Terminologi Quraniyun atau lebih lunak Ahli al-Quran hanyalah istilah kosmetik untuk mereka yang anti hadis atau ingkar sunnah yang kelihatan mempunyai unsur kufur dan murtad sedangkan mereka menganggap diri merekalah muslim sejati yang betul-betul beriman secara tauhid kepada Allah berbanding majoriti umat Islam yang ada yang mensyirikkan Allah dengan Nabi Muhammad apabila menerima al-sunnah sebagai autoriti hukum.
          Di antara tokoh-tokoh Quraniyun ialah;
Ahmed Subhy Mansour (lahir 1949), seorang sarjana Islam di Amerika yang berketurunan Mesir. Pada mulanya menubuhkan kumpulan kecil Quraniyun di Mesir, tetapi kemudian menjadi pelarian politik di Amerika Syarikat.
Chekannur Maulavi (lahir 1936; hilang pada  29 Julai 1993), dikatakan seorang ulama progresif yang tinggal di Edappal , Malappuram yang terletak di daerah  Kerala, India. Beliau dikatakan telah membuat tafsiran tentang Islam yang di luar kebiasaan dan menimbulkan kontroversi berdasarkan kepada al-Quran semata-mata.  Kehilangannya secara misteri dikatakan mati dibunuh.
Nasir Subhani (1951-1990), seorang sarjana pembaharu ( reformis) Kurdish Iran bermazhab Sunni . Dalam kelas-kelas ajarannya ( kebanyakan kelas persendirian )  beliau sering menekankan bahawa al-Quran sahaja cukup untuk menjadi sumber bagi hukum dan tafsir serta menolak hadis. Beliau dikatakan menubuhkan Akademi Quran di pecan Paveh, Iran.
Rashad Khalifa (19351990), seorang berbangsa Mesir yang tinggal di Amerika. Beliau merupakan seorang ahli bio-kimia dan mengaku sebagai reformis Islam.Beliau mendakwa al-Quran sudah cukup sebagai rujukan tunggal kepercayaan dan amalan dalam Islam melalui buku-bukunya dan juga terjemahan al-Quran versinya. Bahkan beliau telah mengisytiharkan bahawa hadis atau al-sunnah sebagai ciptaan syaitan. Beliau kemudiannya telah ditikam mati oleh  Glen Cusford Francis pada 31 Januari 1990.
Edip Yuksel ( lahir 1957 )  berbangsa Kurdi warga Turki yang kemudian bermastautin di Amerika Syarikat merupakan pengasas 19.org sebuah pertubuhan yang mengusung legasi Rashad Khalifa dan pengasas sekutu kepada Muslim for Peace , Justice and Progress (MPJP) dan ketua editor terbitan berkala Critical Thinker for Islamic Reform, yang menguasai dan mengetahui Bahasa Turki, Inggeris, Arab Klasik, Parsi dsan sudah tentu bahasa ibundanya Kurdi. Memperoleh Ijazah dalam bidang Falsafah dan Kajian Timur Dekat serta Ijazah Undang-undang daripada Universiti of Arizona.  Beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 buah buku dan ratusan artikel tentang agama, politik, falsafah dan undang-undang dalam bahasa Inggeris dan Turki,bahasa  negara asalnya. Tidak boleh disangkal, Edip Yuksel merupakan antara tokoh Quraniyoon yang juga golongan anti-hadith atau ingkar sunnah.
Kassim Ahmad ( lahir 1933 ) seorang sarjana Melayu berfahaman sosialis yang mendapat ijazahnya dari Universiti Malaya dengan tesisnya ‘Perwatakan Dalam Hikayat Hang Tuah. Beliau cuba mencari peluang menjadi sarjana Islam dengan menulis buku Teori Sosial Moden Islam  namun menimbulkan kontroversi yang cukup besar melalui bukunya yang telah diharamkan kerajaan,  Hadis Satu Penilaian Semula yang banyak berasaskan kepada ajaran Rashad Khalifa. Beliau pernah dipanggil untuk berdialog ( berdebat ) dengan Persatuan Ulama Malaysia namun tidak selesai apabila beliau tidak menyambungnya. Berdasarkan pekembangan terkini, beliau masih berpegang teguh dengan pendiriannya menolak hadis sebagai sumber hukum.

III  REFORMIS ISLAM

Terminologi reformis berasal dari  reform iaitu kosa kata Inggeris yang bermaksud ; make changes in (something, especially an institution or practice) in order to improve it . Ia diterjemahkan sebagai pembaharuan atau reformasi . Seorang pembaharu disebut sebagai reformist  atau reformis dalam ejaan bahasa Melayu. Dalam terminologi Arab dan tradisi Islam, kalimah reform ini bermaksud tajdid yang dari segi etimologinya berasal daripada perkataan Arab  jaddada, yujaddidu, tajdidan yang membawa erti memperbaharui (sesuatu perkara).                  
            Kadang-kadang perkataan Islah digunakan untuk menterjemahkan reform ini. Ia  berasal daripada perkataan aslaha, yuslihu, islahan yang bermaksud membuat sesuatu yang baik dan berfaedah, menghapuskan keburukan, memperbaiki atau mendamaikan. Kedua-duanya terasimilasi dalam kosa kata Melayu sebagai  tajdid; pembaharuan (yg menurut    ulama fiqah bererti menghidupkan kembali ajaran Rasulullah yg semakin ditinggalkan akibat amalan bidaah), manakala islah; usaha utk mengembalikan sesuatu keadaan kpd suatu keadaan yg betul, tepat dan sesuai atau penyelesaian perbalahan dgn jalan baik atau dgn jalan damai. 
          Tajdid dalam tradisi Islam berpaksikan kepada hadis riwayat Abu Dawud , Al-Baihaqi, dan Al-Hakim daripada Abu Hurairah
إن الله يبعث لهذه الأمة على رأس كل مائة سنة من يجدد لها دينها
“Sesungguhnya Allah Ta’ala membangkitkan untuk ummat ini, di hujung setiap seratus tahun, orang yang akan memperbaharui bagi mereka, urusan agama mereka.

           Sepanjang sejarah Islam, dicatatkan kemunculan tokoh-tokoh yang dikatakan mujaddid ini seperti Khalifah Umar bin Abdul Aziz,  Imam  al-Syafie,  Ibnu Suraij al-Iraqi,  Abul Hassan al-Asyari, Imam al-Baihaqi, Syeikh Abu Hamdi Isfaraini al-Shafie, Imam al-Ghazali,  Imam Fakhurrazi,  Ibnu Daqiqi Id, al-Balqini , Imam al-Sayuti , Imam Muhammad al-Ramli, Abdullah Salim al- Basri, al-Dardir, al-Syarqawi   dan lain-lain.
           Manakala tokoh pembaharu zaman moden – walaupun tidaklah sampai kepada taraf mujaddid sebagaimana yang dikehendaki – antara yang disenaraikan termasuklah Syeikh Muhammad Abduh, Jamal al-Din al-Afghani, Muhammad Iqbal, Hasan al-Banna, Abu Ala al-Maududi, Muhammad bin Abdul Wahab, Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain yang sedia termaklum.
           Selain itu ada sebahagian orang yang mengaku-ngaku dirinya sebagai mujaddid atau setidaknya berada dalam kumpulan mujaddid. Antara yang menonjol ialah Mirza Ghulam Ahmad pengasas ajaran Qadiyani yang difatwakan sesat oleh seluruh ulama Islam. Selain itu, pembawa aliran Islam Liberal juga mendakwa diri mereka sebagai mujaddid (reformis) dengan gagasan ajaran mereka yang dikatakan cuba memperbaharui isi kandungan ajaran Islam sesuai dengan kehendak zaman. Kelompok yang dikenali sebagai golongan Quraniyyun ( baca ingkar Sunnah atau anti hadis) juga dilihat cuba menempelkan diri sebagai mujaddid atau reformis.
              Di sini ada kecelaruan dalam memaknai tajdid dalam terminologi Barat reform. Tajdid dalam tradisi keilmuan islam berpaksikan kepada hadis nabi yang telah disebutkan di atas, dengan ertikata mengembalikan ajaran Islam kepada landasan asal iaitu al-Quran dan al-Sunnah ,  manakala reform dalam wacana  kontemporari merujuk kepada transformasi dari status quo kepada sesuatu yang lebih baik.  Ini bermakna, ajaran Islam sebagaimana yang difahami secara warisan dari ulama klasik,walaupun diperbaharui pemahamnnya oleh ulama kontemporari, adalah status quo dan ia perlu diteliti, dikaji semula dan diperbaharui untuk penambah baikan (improvement). Dan selalunya penambah baikan ini akan sangat bertentangan dengan apa yang dikatakan sebagai status quo tersebut.
            Pada  mereka, para ulama yang disenaraikan sebagai mujaddid dari Umar bin Abdul Aziz hinggalah al-Qaradhawi  bukan reformis tulin kerana mereka hanya mengitar semula ajaran Islam yang sedia ada (dengan ertikata mengekalkan status quo).  Ulama dan cendekiawan kontemporari seperti al-Qaradawi hanya dianggap sebagai golongan moderat yang tidak membawa apa-apa pembaharuan dalam agama. Justeru itu Irshad Manji dalam artikelnya di Wall Street Journal dengan lantang menyatakan, Islam need Reformists, not Moderates. yang secara tersiratnya menafikan sebaris mujaddid dalam sepanjang sejarah sebagai reformis.
           Antara perkara yang menonjol dalam agenda pembaharuan (atau reform) ini ialah pluralisme ( kesamarataan dalam kepercayaan dan agama), feminisme ( kesamarataan gender ) , dan sekulerisme (pemisahan autoriti agama dari urusan dunia terutama politik). Mereka cuba mengemukakan gagasan  rekonstruksi metodologi fikah dan usul bahkan yang lebih ekstrem ialah reformasi al-Quran dan al-Sunnah.
              Ada diantara mereka yang mengusulkan penafsiran semula al-Quran berdasarkan metodologi dan falsafah kontemporari yang berpaksikan falsafah Barat,  bahkan yang lebih ekstrem malah mengusulkan agar al-Quran itu ditulis semula (antara yang dilaporkan mengusulkan agar al-Quran ditulis semula ialah Taslima Nasrin, seorang penulis feminis Bangladesh melalui wawancaranya dengan akhbar The Statesmen yang berbasis di Kolkata, India pada bulan Mei 1994) agar sesuai dengan suasana masakini.
             Apa yang dikatakan reformasi Islam ini sebenarnya berasal dari pemikiran modernisme. Dikatakan tokoh menonjol terawal yang menjadi cetusan kepada idea-idea  reformasi Islam ialah Sir Sayyid Ahmad Khan yang cuba menyepadukan pemikiran Islam dengan pemikiran Barat dalam paradigma Barat yang dikatakan oleh Sayyid Abu Hasan Ali al-Nadwi sebagai pentaklid tamadun dan asas kebendaan Barat. Asas-asas pemikiran beliau yang mendasarkan kepada tafsiran semula al-Quran, mengkritik dan menilai semula kedudukan mutlak  Hadis dan metodologi hukum ulama klasik, selain perspektif beliau dalam beberapa perkara seperti poligami, riba, undang-undang jenayah Islam, jihad dan lain-lain nampak berkembang pesat sebagai asas-asas utama pemikiran dan perdebatan  reformis Islam.
        Antara mereka yang dapat disenaraikan dalam barisan  reformis Islam ini seperti Nasr Hamid Abu Zaid, Rashad Khalifa dan Amina Wadud. Selain itu Abdullahi An-Naim, Abdur Rab, Ahmed Subhy Mansour, Aisha Jumaan, Aisha Y. Musa, Ali Behzadnia, Arnold Yasin Mol, Ayman Abdullah, Caner Taslaman, Chibuzo Casey Ohanaja, Christopher Moore, Dilara Hafiz, Edip Yuksel, El-Mehdi Haddou, Eman M. Ahmed, Fereydoun Taslimi, Farouk A. Peru, Germaine A. Hoston, Ghayasuddin Siddiqui, Irshad Manji, Kassim Ahmad, Layth Saleh al-Shaiban, Melody Moezzi, Mike Ghouse, Mohammad Mova al Afghani, Mustafa Akyol, Naser Khader, Raymond Catton,Richard S. Voss, Ruby Amatulla, Shabbir Ahmed, T.O. Shanavas, Taj Hargey, Yasar Nuri Ozturk, Yayha Yuksel.
        Juga Nurcholish Majid, Abd Moqsith Ghazali, Luthfi Assyaukanie, Ulil Abshar-Abdalla, Dr. Siti Musdah Mulia dan lain-lain yang sangat pesat mengembangkan ajaran mereka di Indonesia. Di Malaysia, mereka yang membawa aliran reformis ini kurang menonjol mungkin akibat daripada kekangan undang-undang dan peraturan yang ketat, namun wacana mereka tetap berjalan rancak dalam pertemuan-pertemuan tertutup mereka manakala wacana terbuka berlangsung dengan debat yang penuh hati-hati bagi mengelak pertembungan dengan pihak berkuasa. Antara kumpulan yang aktif mempromosikan idea-idea ini seperti oleh SIS dan IRF ( Islamic Renaissance Front ).
         Ironinya, kumpulan apa yang dikatakan reformis ini disertai oleh semua golongan yang menentang apa yang dikatakan oleh mereka sebagai Islamic Fascism ( baca Islam arus perdana ) termasuk quraniyyun  dan penulis-penulis seperti Salman Rushdie, Taslima Nasrin, Raquel E. Saraswati, Soraya Chemaly bahkan yang agnostik-atheis seperti Ibnu Warraq. Kebanyakan gagasan ekstrem mereka adalah hampir sama, menujukan studi kritikal terhadap al-Quran dan al-Sunnah dan mendobrak ijtihad para ulama klasik dan kontemporari. Jika al-Sunnah- kalaupun tidak ditolak terus sebagaimana oleh quraniyyun- mendapat kritikan yang sangat sadis, apalah pula dengan ijtihad ulama yang tidak mempunyai nilai pada sudut pandang mereka melainkan yang boleh dijadikan hujah untuk menguatkan argumentasi mereka.

IV  MENTERJEMAH SEMULA QURAN

Suatu yang ironi, kelompok Quraniyun dan Liberalis yang masing-masing mendakwa sebagai Reformis Islam berkongsi dengan satu idea ini  menafsir atau menterjemah semula al-Quran agar sesuai dengan suasana dan metodologi kontemporari, walhal sejumlah ulama semasa seperti al-Zuhayli melalui Tafsir al-Munir dan Quraish Shihab melalui Tafsir al-Misbah telah melakukannya, namun tidak dapat diterima oleh mereka kerana masih terikat dengan metod tradisional. Antara keagungan mereka ialah metodologi hermeneutika.
       Pihak Quraniyun sendiri telah melakukan usaha luar biasa bagi merealisasikan sebuah terjemahan semula al-Quran yang bebas dari hadis dan metodologi klasik. Malah mereka menamakannya sebagai Al-Quran , The Reformist Translation. Dan terjemahan inilah yang digunakan sepenuhnya oleh mereka untuk menjustifikasikan beberapa  pembaharuan  dalam hukum seperti LGBT, hak kesamarataan gender dan feminisme, hukum hijab, hukum jinayah Islam dan sebagainya.
      
V- PENUTUP

Sebagai kesimpulan, gerakan Quraniyun,  Islam Liberal dan sebahagian golongan sekuler yang mendakwa Moderat Islam dikatakan sebagai mereka yang berusaha untuk mengislahkan ( mereformasikan ) Islam dengan cara dan acuan barat ( western welstanchung ) berbeza dengan tajdid sebagaimana yang dikehendaki dalam hadis yang telah disebutkan sebelum ini. Apa yang menjadi masalah ialah apabila idea-idea pembaharuan mereka kelihatan ada pula persamaan dengan beberapa idea dan pandangan ulama dan sarjana Islam kontemporari yang berpaksikan kepada tradisi Islam.
       Malah pendapat itu telah dieksploitasi oleh mereka sehingga mengelirukan sebahagian daripada kita yang kemudiannya lahir fenomena labelisasi terhadap beberapa tokoh dan mereka yang mendukung idea tersebut. Antara isu yang dieksplotasi oleh golongan ini seperti persoalan hukuman terhadap orang murtad, status perkahwinan mualaf dengan suami atau isterinya, idea-idea kesederhanaan dan wasatiyyah dan lain-lain yang agak luar dari kebiasaan tetapi masih dalam lingkungan tradisi Islam.
       Apa yang harus difahami, idea-idea yang kelihatan liberal harus dilihat daripada siapa ianya dicetuskan kerana Liberalisme merupakan satu anutan dalam akidah pemikiran yang berpaksikan kepada sekulerisme dan pluralisme yang dianggap sesat. Kita tidak sepatutnya terpedaya dengan kecelaruan dan campur aduk antara tajdid dan islah sejati ulama kontemporari dengan mereka yang mendakwa reformis Islam. Kedua-dua kelompok ini mempunyai garis pemisah yang sangat besar malah berseberangan antara satu sama lain.
       Sehubungan dengan itu kita harus mempelajari pokok dan asas usuliyah akidah pemikiran mereka yang sebenar dalam wacana-wacana yang berterusan sebagaimana tidak jemunya golongan ini membuka medan perbincangan, penulisan dan kajian yang komprehensif.

Allahu alam.


About this entry