KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA.

BOLEHKAH DIBUAT KORBAN UNTUK ORANG YANG TELAH MENINGGAL DUNIA.

Pendapa yang masyhur dan dipandang muktamad dalam mazhab Syafe’i  ialah tidak mengharuskan korban untuk simati melainkan dengan wasiat sebagaimana yang dinyatakan dalam Sabil al-Muhtadin, Syaikh Arsyad al-Banjari, Jil.2., m.s. 228 : Tiada harus lagi tiada memadai mengkorban orang yang mati dengan tiada wasiat daripadanya maka bersalahan dengan sedeqah bersalahan jikalau dengan wasiat maka yaitu harus.Demikian Sabil al-Muhtadin.

Demikian juga dalam Furu’ al-Masail, yang diterjemahkan oleh Syaikh Daud Fatani; Jil.1, m.s. 264-265; (Soalan); Bolehkah ia korbankan seorang bagi orang lain dengan tiada izinnya atau ia korbankan orang mati? (Maka jawabnya) Tiada boleh seorang mengkorbankan seorang lain samada orang hidup atau orang mati dengan tiada izinnya pada orang hidup dan tiada wasiatnya pada orang yang mati bersalahan jika ada izinnya atau ada wasiatnya maka sah inilah qawl yang muktamad khilaf bagi kata Ibn Al-Qattan katanya boleh. Demikian kitab Furu’ Al-Masail.

Juga dalam Matla’ al-Badrayn, Muhammad bin Ismail Daud fatani, h.82; Dan tiada sah pula diperbuat udhhiyyah bagi orang mati jika tiada ia wasiat dengan dia adapun apabila berwasiat dengan dia maka sah diperbuatkan udhiyyah baginya dan wajib atas orang yang memperbuat udhiyyah bagi mayat dengan izinnya ia bersedekah dengan sekaliannya tiada bagi dirinya dan tiada pula bagi orang yang wajib atasnya nafkahnya.

Demikian dalam Mughni Al-Muhtaj Al-Syaikh Syamsuddin Muhammad bin al-Khatib al-Syarbini, Jil.4, h.390; Wala tadhhiyata ‘anil ghayri bi ghayri iznihi wala ‘an mayyitin in lam yusi biha. Walaupun ketika mensyarahkannya beliau ada menyebut adnya qil (pendapat) yang menyatakan sah korban untuk mayat walaupun tanpa wasiat berdasarkan hujah bahawa sedekah bermanfaat untuk mayat. Dalam kitab al-Majmu’, Imam Nawawi Jil. 8, hal.382. menyatakan qil atau pendapat tersebut antaranya ialah pendapat Abu al-Hasan al-Ibadi sebagaimana juga Ibn al-Qattan . Namun beliau (Nawawi) mememtik sebuah kitab mengatakan tidak sah korban untuk simati melainkan dengan wasiat dan hal ini yang dipandang qat’ie oleh Imam Ar-rafi’i dalam al-Mujarrad.

Hal ini berdasarkan firman Allah;

Al-Najm : 39. dan Bahawa Sesungguhnya tidak ada (balasan) bagi seseorang melainkan (balasan) apa Yang diusahakannya;

Hal ini dikeranakan korban itu memrlukan niat dan orang mati sudah tidak boleh berniat lagi kecuali dia berwasiat di mana wasiatnya itu adalah niat dan wajib ditunaikan sebagaimana nazar.

Inilah pandangan yang muktamad dalam mazhab Syafi’i sebagimana difatwakan oleh Fatwa Negeri Kedah; “Mengikut pendapat yang muktamad tidak harus diperbuat korban untuk orang yang meninggal duniakecuali ada wasiat daripadanya”. dan fatwa negeri terengganu; “Jawatankuasa fatwa berpendapat mengenai amalan korban kepada simati adalah tidak diharuskan oleh syara’ kecuali apabila diwasiatkan oleh simati”.

WalLahu A’lam.


About this entry