Soal Jawab Dengan Anak Muda Yang Kebingungan Tentang Kematian Kakaknya.

Berikut ialah soalan-soalan yang ditanyakan oleh seorang remaja yang kebingungan tentang kematian kakanya dalam kemalangan. Tulisan dan lenggok bahasa remaja tersebut dikekalkan, maklumlah bebudak zaman sekarang, menggunakan lenggok bahasa yang lari daripada nahu dan laras bahasa.

(Terima kasih kepada emak saudara kepada rakan remaja ini yang telah mengirimkan soalan-soalan ini kepada saya. Mudah-mudahan jawapan saya akan memuaskan hatinya. Moga Allah berikan rahmat kepadanya. )

1. Betul ke kakak aku akan dpt balasan syurga, anak2 dia akan tarik dia mase kiamat nt.mcmmane plak ngn ayah diorg.dpt balasan yg same ke.
2. Ade yg ckp skang kakak aku dh naik ke syurga ngn anak2 die, bukan ke die kene soal dulu dlm kubur..yg mane betul
3. Tiap2 mlm aku mengaji sedekah kt arwah.mcmane kl ade bacaan aku yg salah..ade pe2 kesan ke kt arwah..aku risau.ni aku plan nk mik kelas mengaji kt masjid shah alam.aku takut sedekah aku tu x sampai sb bacaan aku ade yg salah
4. Aku dh buatkan fidyah puase tuk arwah.aku x sure berape byk pose yg arwah x sempat ganti, so aku buat tuk 60 hari terus..sebagai waris, masih kene gantikan ke puase yg tertgl tu..aku mmg plan nk wat gilir2 ngn adik aku, niat ganti tuk arwah…boleh kan..
5. Skang ni tiap kali balik kg mst aku singgah kubur..sb dulu kl lik, mst aku singgah umah arwah dulu..betul ke ade yg ckp, salah kl selalu tabur daun pandan ngn bunga kt kubur..arwah dulu suke bunga, so tiap kali lawat mst aku tabur bunga
6. Aku ade beli yasin, sedekah kt surau, masjid, sedekah duit kt sek, beli kitab sedekah kt sek agama..sume kitorg wat atas nama arwah..ni boleh ringankan siksaan dlm kubur kan..ade x cara lain lg..

JAWAPAN

1. Betul ke kakak aku akan dpt balasan syurga, anak2 dia akan tarik dia mase kiamat nt.mcmmane plak ngn ayah diorg.dpt balasan yg same ke.

1.1. Semua orang mukmin, ahli tauhid yang beriman kepada Allah dan Rasulullah SAW walau sebesar biji atom akan masuk syurga. Firman Allah;

“Seungguhnya orang-orang Yang beriman dan beramal soleh, mereka itulah sebaik-baik makhluk. “Balasan mereka di sisi Tuhannya ialah syurga Adn (tempat tinggal Yang tetap), Yang mengalir di bawahnya beberapa sungai; kekalah mereka di dalamnya selama-lamanya; Allah reda akan mereka dan Merekapun reda (serta bersyukur) akan nikmat pemberianNya. balasan Yang demikian itu untuk orang-orang Yang takut (melanggar perintah) Tuhannya. (Al-Bayyinah : 7-8)

Rasulullah SAW bersabda;
Sabda Rasulallah SAW; Aku bersaksi bahawasanya tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya aku adalah pesuruh Allah, tidaklah seseorang yang bertemu dengan Allah (mati) dengan meyakini kedua pengakuan itu tanpa ragu melainkan masuk ke dalam Syurga (HR Muslim).

Cara orang mukmin masuk syurga ada pelbagai;
i- Masuk syurga tanpa hisab – masuk terus.
ii- Masuk syurga setelah dihisab – amal baik lebih banyak dari amal jahat (pahala lebih banyak dari dosa) selain orang yang banyak dosa tetapi mendapat pengampunan Allah SWT dengan rahmat-Nya.
iii- Masuk syuga setelah dihukum dalam neraka akibat dosanya sangat banyak mengatasi pahalanya. Ini adalah pelaku dosa2 besar serta mereka yang tidak melakukan rukun-rukun Islam dan tidak mendapat pengampunan Allah.

1.2.

Hadis Abu Said Al-Khudriy ra katanya: “Seorang perempuan datang menemui Rasulullah SAW dan berkata: Wahai Rasulullah! Orang lelaki boleh mendengar hadis daripadamu pada bila-bila masa. Oleh itu luangkan satu hari kepada kami untuk kami pelajari daripadamu apa yang diajarkan Allah SWT. Baginda bersabda: Berhimpunlah kamu pada hari yang tertentu. Rasulullah SAW kemudian mendapatkan mereka serta mengajar beberapa perkara yang diajarkan oleh Allah SWT. Lalu baginda bersabda: “Sesiapa dari kalangan kamu yang kematian tiga orang anak, nescaya mereka (si anak) akan menjadi penghalang ibunya daripada diazabkan dalam neraka. Seorang perempuan bertanya: Bagaimana dengan mereka yang kematian dua anak. Baginda bersabda: “Begitu juga mereka yang kematian dua anak,” sabda Baginda – HR Muslim.

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat:”Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab:”Ya.” Allah bertanya lagi: “Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya?” Malaikat menjawab:”Ya”. Allah bertanya kali ketiga:”Apakah kata hamba-Ku?”Malaikat menjawab:”Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan “dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali”. Allah Ta’ala memerintahkan malaikat-Nya:”Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu ‘Rumah Kesyukuran’.” ( HR at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban)

Dari Anas r.a berkata Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda “Setiap orang Islam yang kematian 3 orang anaknya yang belum dewasa (baliq), maka ia akan dimasukkan oleh Allah ke dalam Syurga atas berkat rahmat Allah terhadap anak-anaknya itu” [HR. Bukhari dan Muslim]

Daripada hadis di atas menunjukkan bukan ibu sahaja tetapi juga siayah berdasarkan kata nabi “Barangsiapa”.

2. ade yg ckp skang kakak aku dh naik ke syurga ngn anak2 die, bukan ke die kene soal dulu dlm kubur..yg mane betul

2.1. Orang yang mati akan melalui ujian di dalam kubur kecuali orang yang mati syahid dan orang yang mati pada hari Jumaat. Ibnu Qayyim rahimahullah juga ada menyebutkan ketaatan yang dapat menyelamatkan dari siksa kubur, di antaranya; Senantiasa mengikatkan diri di jalan Allah, Mati syahid di jalan Allah, Membaca surat Al-Mulk, Meninggal kerana sakit perut, dan Meninggal dunia pada hari Jum’at.

Daripada Abdullah bin Amr r.a. berkata : Rasululah s.a.w. telah bersabda:
“Tidaklah daripada seorang muslim yang mati pada hari atau malam Jumaat, melainkan dia dipelihara Allah daripada fitnah kubur” Hadis Riwayat Tarmizi. Walaupun ada ulama yang menolak hadis ini kerana menganggapnya lemah, ada yang mengatakannya sahih srbagaimana dinyatakan dalam kitab Fathul Mu’in.

Dari Abu Hurairah r.a. Rasulullah bersabda:
“Apa menurut kalian tentang orang yang mati syahid?” Mereka menjawab: “Wahai Rasulullah, mati syahid adalah buat mereka yang dibunuh fisabilillah.” Rasulullah bersabda: “Jika demikian saja, maka syuhada umatku sedikit.” Mereka bertanya: “Lalu, siapa mereka Ya Rasulullah?” Rasulullah menjawab: “Barangsiapa dibunuh dijalan Allah itulah Syahid, dan barangsiapa mati fisabilillah itulah syahid, yang mati kerana thaun (sejenis penyakit lepra) maka dia syahid, dan siapa yang mati kerana sakit perut dia syahid.” (Hadis Riwayat Muslim(3539)

Berdasarkan hadis-hadis tersebut ada Ulama yang mengkiaskan mati dalam kemalangan juga termasuk dalam mati syahid (sbb zaman nabi dulu takda eksiden kereta) justeru cukuplah kesakitan semasa menghadapi kemalangan itu menjadi kafarah untuk di dalam kuburnya.

2.2. Walaupun seseorang mukmin dan saleh itu menghadapi ujian dan soal jawab dalam kubur, kemudiannya ia akan dibuka baginya taman-taman syurga sepanjang persemadiannya dalam alam barzakh sehingga terasa ia berada di dalam syurga.

Sabda Nabi s.a.w.: Apabila seorang hamba Allah dikebumikan dan kawan-kawan meninggalkannya, si mati itu mendengar hentak kasut mereka, dua malaikat pun datang kepadanya lalu disuruh duduk dan ditanya, “Apakah pendapat kamu terhadap lelaki bernama Muhammad s.a.w. ini?” Orang mukmin itu menjawab, “Saya mengaku bahawa dia adalah hamba Allah lagi Rasul-Nya.” Selepas itu malaikat itu berkata lagi, “Lihatlah tempat kamu di dalam Neraka, sesungguhnya Allah telah menukarkan tempatmu di dalam Syurga.” Lalu orang yang dikebumikan itu melihat kedua-dua tempatnya itu. (Qatadah menambah, kami diberitahu bahawa kuburnya itu diperluaskan. Kemudian Qatadah menyebut riwayat Anas yang berkata:) Manakala orang munafik atau kafir akan ditanya, “Apakah pendapat kamu terhadap lelaki bernama Muhammad s.a.w. ini?” Dia akan menjawab, “Saya tidak tahu. Saya kata menurut apa yang orang lain kata.” Lalu ditanya lagi, “Kamu tidak tahu dan kamu tidak mengikut petunjuknya (dengan membaca al-Quran).” Selepas itu dia dipukul dengan tukul besi dengan satu pukulan yang menyebabkan dia menjerit-jerit. Semua mendengar jeritannya itu kecuali jin dan manusia. (Ibn Hajar, Fathul Bari, bab 86, Mengenai Azab Kubur, halaman 600)

Hadis Ibnu Umar r.a:
Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila seseorang itu mati, akan diperlihatkan tempatnya setiap pagi dan petang. Sekiranya dia di kalangan ahli Syurga, akan diperlihatkan kepadanya Syurga. Sekiranya dia dari kalangan ahli Neraka, akan diperlihatkan kepadanya Neraka. Diberitahu kepadanya: Inilah tempatmu sehingga kamu dibangkitkan oleh Allah pada Hari Kiamat. HR Muslim : 5110

3. tiap2 mlm aku mengaji sedekah kt arwah.mcmane kl ade bacaan aku yg salah..ade pe2 kesan ke kt arwah..aku risau.ni aku plan nk mik kelas mengaji kt masjid shah alam.aku takut sedekah aku tu x sampai sb bacaan aku ade yg salah

3.1. Sebagai seorang Islam kita perlulah belajar membaca al-quran kerana itu adalah sebaik-baiknya;

Dari Saidina Usman bin Affan r.a katanya, berkata Rasulullah s.a.w “Sebaik-baik kamu ialah seorang yang belajar Al-Quran dan mengajarnya”
Hadith riwayat Bukhari.

Namun demikian, ketika dalam proses belajarnya berlaku susah payah dan bertatih dalam pembacaan ia akan tetap diberi pahala bahkan dapat dua pahala.

Dari Aisyah r.a katanya, sabda Rasulullah s.a.w “Seorang yang membaca Al-Quran sedang dia mahir dalam membacanya, bersamanya malaikat utusan Allah yang baik. Dan orang yang membaca Al-Quran dalam keadaan tergagap-gagap (berkeadaan payah), maka baginya dua pahala”
HR Muslim.

Insya Allah, pahala tersebut akan sampai kepada simati asalkan ikhlas mengerjakannya.

Firman Allah :pada hal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah Dengan mengikhlaskan Ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. dan Yang demikian itulah ugama Yang benar. Al-Bayyinah : 5

Walaubagaimanapun, pahala amal kebaikan tergantung pada solatnya seseorang. Seorang yang tidak bersolat, maka akan tergantung segala pahala baiknya jadi bagaimana dia boleh sedekah pahala yang tergantung lantaran tidak solat ? Kerana itu disebut solat itu tiang agama.

Sabda Rasulullah s.a.w. bermaksud: “Amal pertama akan dihisab bagi seseorang hamba di hari akhirat ialah solatnya. Jika solatnya baik, maka baiklah segala amalannya yang lain. Dan jika solatnya rosak, maka binasalah segala amalannya yang lain.” (HR Thabrani)

4. aku dh buatkan fidyah puase tuk arwah.aku x sure berape byk pose yg arwah x sempat ganti, so aku buat tuk 60 hari terus..sebagai waris, masih kene gantikan ke puase yg tertgl tu..aku mmg plan nk wat gilir2 ngn adik aku, niat ganti tuk arwah…boleh kan..

Para ulama tidak sepakat tentang penggantian puasa simati. Ada yang menyatakan cukup dibayarkan fidyahnya sekadar mana yang diketahui bilangan puasa yang ditinggalkan. Ini berdasarkan ayat dalam surah al-baqarah : 184 ;

”Maka ia wajib membayar fidyah kepada fakir miskin ”.

Ada yang mengatakan boleh digantikan puasa untuknya oleh walinya / warisnya berdasarkan hadis; Aisyah Rhadiyallahu’ anha, Rasulullah bersabda : Artinya : “Barangsiapa yang meninggal sedang ia masih menanggung kewajiban puasa, maka walinya berpuasa untuknya.” (HR. Bukhori No. 1952 dan Muslim No. 1147)

Namun jumhur ulama tidak memberatkan waris untuk wajib berpuasa untuk simati, cukup dibayarkan fidyah.

Dalam kes ini, yang paling awla untuk menggantikan puasa simati samada membayar fidyah atau qada untuknya ialah suami simati walaupun semua kaum kerabat boleh melakukannya berdasarkan pandangan Ibn Hajar.

5. skang ni tiap kali balik kg mst aku singgah kubur..sb dulu kl lik, mst aku singgah umah arwah dulu..betul ke ade yg ckp, salah kl selalu tabur daun pandan ngn bunga kt kubur..arwah dulu suke bunga, so tiap kali lawat mst aku tabur bunga

Tidak salah menabur bunga di atas kuburan kerana bertujuan agar bunga yang segar itu yang masih sentiasa berzikir dapat emringankan siksa kubur simati jika ada berdasarkan hadis;

Setelah itu baginda menanam salah satunya pada kubur yang pertama dan yang satu lagi pada kubur yang kedua sambil bersabda: Semoga pelepah ini boleh meringankan seksanya selagi ia belum kering.” (Riwayat Bukhari, no: 1378 dan Muslim, no: 292)

Dikatakan dalam kitab-kitab seperti Sabil al-Muhtadin dan Bughyatul
Tullab, bab tabur bunga, tanam pokok atau siram air ini disunatkan kerana
dapat mendinginkan mayat dalam kubur serta pokok atau bunga itu selagi
basah dapat bertasbih untuk keringan siksaan pada mayat. Namun sebahagian ulama berpendapat perbuatan tersebut tidak disyariatkan dan hadis di atas hanye menunjukkan kekhususan kepada Rasulullah SAW sahaja. Ini diperkuatkan dengan perkataan Ibnu Umar radhiallahu ‘anhuma ketika melihat sebuah tanda di atas kuburan Abdurrahman,
“Wahai anak muda, cabutlah itu! Hanya amal perbuatannya saja yang
menaunginya” . Demikian yang diperjelaskan oleh Imam Bukhari sebagaimana yang dikatakan oleh Ibnu Rusyd: “Nampaknya dari
penjelasan Imam Bukhari rahimahullah bahawa hal itu khusus untuk dua orang itu saja.

Justeru itu ada ulama yang menegah kita supaya menabur bunga pada setiap kali ziarah kubur bagi mengelakkan pembaziran. Apa yang penting sekali ialah doa kita untuk simati. WalLahu A’lam.

6. aku ade beli yasin, sedekah kt surau, masjid, sedekah duit kt sek, beli kitab sedekah kt sek agama..sume kitorg wat atas nama arwah..ni boleh ringankan siksaan dlm kubur kan..ade x cara lain lg..

Para ulama ijnak mengatakan sedekah atas nama simati boleh dan sampai pahalanya berdasarkan kisah Saad bin Ubadah yang kematian ibunya ketika beliau ketiadaan bersamanya. Lalu Saad datang kepada Rasulullah SAW dan bertanya: “Sesungguhnya ibuku telah wafat ketika aku ketiadaan bersamanya. Jika aku bersedekah atas namanya, adakah ia memberinya manfaat?” Jawab baginda: “Ya”. Saad berkata: “Aku mempersaksikan tuan bahawa kebunku Mikhraf adalah sedekah atas namanya (ibunya)”.HR Bukhari (no: 2605)

WalLahu A’lam.


About this entry