BEBERAPA CATATAN SISI GELAP SEJARAH ALAM MELAYU SEBAGAI TELADAN DAN SEMPADAN

Oleh; RUMAIZI BIN AHMAD
Nota :  Oleh kerana artikel ini cnp  melalui aplikasi mobile, maka nota kaki tidak turut serta.

Pendahuluan

Tamadun awal di Asia Tenggara dikatakan telah bermula sejak 1.8 juta tahun dengan penemuan beberapa artifak pra-sejarah di Lembah Lenggong Perak.  Penemuan rangka manusia yang dikenali sebagai Perak Man di Semenanjung Tanah Melayu dan Java Man di Kepulauan Jawa yang berusia lebih 400,000 tahun menunjukkan telah wujud pertempatan manusia purba di rantau sebelah sini.
            Kerajaan awal di Nusantara yang dapat dikesan setakat ini dikatakan sudah bermula sejak abad ke-3 Sebelum Masehi. Beberapa jumpaan artifak di Jambi, Sumatera, Kutai di Borneo, Salakanegara di Pulau Jawa  dan Lembah Bujang, Kedah di Semenanjung Tanah Melayu menunjukkan sudah wujud satu sistem politik dan sosio-masyarakat yang membentuk peradaban rantau Melayu. Berdasarkan prasasti yang ditemui, selain catatan para pengembara dan delegasi dari China, Arab dan India menunjukkan rantau Melayu di sini rata-rata menganut agama Hindu, Buddha atau campuran Hindu-Buddha selain agama pagan antau campuran pagan dan samada Hindu atau Buddha.
             Kerajaan besar seperti Srivijaya dan Majapahit menguasai hampir seluruh Nusantara sebelum kemudiannya masing-masing merosot dengan kedatangan Islam seawal abad ke 9 Masehi lagi, malah ada yang mengatakan pada abad ke 7 Masehi. Kedatangan Islam ke Nusantara, bermula dengan dugaan salah seorang raja Srivijaya, Indravarman dan Pemerintah Kalingga, Ratu Shima serta  anaknya Jay Shima selain Derbar Raja Phra Ong Maha Wangsa yang memerintah Kalah ( Kedah) memeluk Islam yang kemudiannya terbentuk Kerajaan Islam Perlak, Pasai, Melaka, Acheh, Brunei , Johor-Riau-Lingga, Mataram dan beberapa kerajaan-kerajaan kecil dari Pattani di sebelah utara Semenanjung membawa ke Sumatera, Jawa, Borneo, Maluku  hinggalah ke  Kesultanan Manila di Kepulauan Filipina.
             Lumrah sesuatu tamadun baik Islam atau bukan mengalami masa keemasannya dan kemerosotannya turut menimpa kerajaan-kerajaan di Nusantara yang kemudiannya membentuk Negara Republik Indonesia, Persekutuan Malaysia dan Kesultanan Brunei selain Republik Filipina dan Timor Leste yang Kristian di zaman modern ini.
             Makalah  ini cuba meninjau beberapa sudut sisi gelap di sebalik keagungan kerajaan-kerajaan Islam di Nusantara ini yang kemudiannya samada menjadi sebab atau tidak kepada kemerosotan, kejatuhan dan penghapusan mereka dari peta politik Nusantara sebagai teladan dan sempadan untuk umat Islam membina peradaban mereka di masa akan datang.

Takrif

Gelap bermaksud tidak terdapat cahaya, kelam, tidak terang, tidak jelas atau belum jelas; tidak cerah, menghadapi kesulitan; (secara) haram, tidak sah atau rahsia.  Manakala sisi bermaksud arah atau bahagian tepi sebelah kanan atau kiri sesuatu benda; sudut sesuatu pandangan; garis yang menyempadani sesuatu rajah.  Apabila merujuk kepada sejarah Eropah, zaman gelap atau dark ages diertikan sebagai  the period from about the late 5th century a.d. to about 1000 a.d., once considered an unenlightened period.  Biasanya ia merujuk kepada zaman pertengahan (medieval period).
           Apabila dikatakan dark side of someone or something ia bermaksud the negative and often hidden aspect of someone or something  iaitu sesuatu yang negatif (buruk) atau yang disembunyikan tentang sesuatu. Dalam sejarah sisi gelap bolehlah dikatakan sesuatu kisah atau cerita buruk tentang sesuatu atau kisah yang disembunyikan kerana motif tertentu. Apabila dikatakan sisi gelap sejarah alam Melayu, ia bermaksud kisah-kisah sejarah yang kurang baik atau yang disembunyikan dari pengetahuan umum dalam sejarah alam Melayu.

Sisi Gelap Sejarah Alam Melayu

Menceritakan sisi gelap dalam sejarah alam Melayu memang sesuatu yang mengaibkan sebagaimana dinyatakan oleh Abdullah Munsyi, “…berapa banyak kelakuannya yang najis-najis  lain-lain. Malulah rasanya aku hendak sebutkan dalam hikayatku ini”.  Namun beliau telah menulis tentang beberapa kelakuan dalam sejarah alam Melayu yang mengaibkan itu seperti mengambil anak bini orang yang disukai, membunuh orang seperti membunuh semut, merampas harta orang yang dibunuh, berhutang tanpa mahu membayarnya, suka berjudi, minum madat, merompak rumah orang, merampas tunangan orang, menghina sesame manusia ke peringkat anjing, mengambil berpuluh gundik dan dikurung di istana dan mempunyai anak berpuluh orang tetapi tidak terdidik sehingga menjadi penjudi, makan candu, merompak dan bertikam.  
            Dalam beberapa hal,  aspek politiklah yang paling banyak dilaporkan sisi gelapnya. Politik adalah satu seni pemerintahan yang sangat menimbulkan konflik di kalangan manusia sejak awal penciptaan adam melalui argumentasi para Malaikat tentang hasrat Allah SWT menjadikan khalifah di atas muka bumi. Sejarah manusia yang panjang telah menyaksikan jutaan konflik politik yang membawa kepada perebutan kuasa, pembunuhan, peperangan dan penaklukan. Hal ini turut menimpa kerajaan-kerajaan di sebelah sini sejak zaman pra-Islam sehinggalah terbentuknya Negara moden.

Perebutan kuasa dan pengkhianatan

Perebutan kuasa merupakan rencah politik sejak dari dahulu lagi. Dalam sejarah alam Melayu, sering terjadi perebutan kuasa berlaku antara adik-beradik, sepupu-sepapat, kaum kerabat juga tidak kurang orang luar. Selalunya perebutan kuasa berlaku setelah kematian seseorang yang sebelum ini cemerlang dalam pemerintahannya. Sebagai contoh perebutan kuasa yang berlaku antara waris-waris Sultan Perak yang akhirnya melahirkan Perjanjian Pangkor yang menjemput penjajah British masuk campur urusan politik negeri Perak, perebutan kuasa antara waris-waris Sultan Agung Mataram yang melahirkan Perjanjian Giyanti akibat campur tangan Belanda yang dijemput oleh salah seorang waris yang bertelagah.
            Perebutan kuasa juga menyebabkan berlakunya beberapa perang saudara di rantau ini seperti Perang Klang (1867 – 1874) antara Raja Mahadi dan Tengku Kudin , perang saudara di Negeri Sembilan (1874-1876)  , perang saudara di Kelantan (1835)  , perang saudara di Pahang ( 1857- 1863), perang saudara di Pulau Jawa dan beberapa tempat yang lain. Akibat dari perang saudara inilah akhirnya menyebabkan dan memudahkan pihak penjajah masuk campur dalam urusan negeri-negeri Melayu selain kuasa tempatan iaitu Siam.
             Dalam mana perebutan kuasa ini berlaku, maka berlakulah juga pengkhianatan yang akhirnya membawa kepada kekalahan negeri seperti peristiwa kekalahan Melaka kepada Portugis yang antaranya oleh pengkhianatan Nina Chattu  ; penjajahan Eropah ke negeri-negeri Nusantara seperti yang berlaku akibat perang-perang saudara dan pergolakan di Nusantara; malah penentangan tokoh tempatan kepada penjajah turut dikhianati oleh orang sendiri seperti yang berlaku kepada Diponegoro dalam Perang Jawa. 

Penyerahan Kuasa

Antara perkara yang amat malang ialah berlakunya penyerahan kuasa sesuatu tempat kepada pihak-pihak lain terutamanya orang luar Nusantara seperti yang berlaku kepada penyerahan wilayah Sarawak kepada James Brooke Esquire , pentauliahan Gustavus Baron de Overbeck sebagai Maharaja Sabah ( Borneo Utara) dan Raja Gaya dan Sandakan (1877)   walhal wilayah tersebut sebelum ini dikatakan telah diserahkan kepada Sultan Sulu. Demikian penyerahan Pulau Pinang, Singapura dan Pulau Dinding kepada Inggeris.
           Selain daripada penyerahan kepada kuasa asing, sering terjadi dalam sejarah alam Melayu seseorang yang pada mulanya dianugerahi sesebuah tempat akhirnya menjadi sebuah negeri tersendiri yang malah menguasai pula pihak yang pada asalnya memberikan mereka anugerah tersebut sebagaimana yang berlaku kepada kerajaan Mataram yang pada asalnya hanyalah anugerah kepada Ki Gedi Pemanahan yang kemudiannya dikembangkan menjadi kerajaan oleh Senopati. .
           Negeri Perlis juga berasal daripada anugerah yang diberikan oleh Sultan Dhiauddin kepada Sayyid Harun yang kemudian menurunkan keturutan Raja-raja Perlis sekarang.  Malah Kerajaan Johor moden terhasil daripada penyerahan kedaulatannya oleh Sultan Ali Iskandar Syah ibni Sultan Hussin Muhammad Syah kepada Temenggung Ibrahim.

Fitnah dan Kedengkian

Terdapat banyak kezaliman yang dilakukan oleh pemerintah terhadap rakyatnya bahkan pegawainya sendiri akibat daripada fitnah. Hal ini berlaku kepada Laksamana Hang Tuah yang difitnah sehingga dijatuhi hukuman bunuh oleh Sultan Mansur Shah . Selain itu  kezaliman yang dilakukan terhadap seorang anak muda yang dihukum bunuh akibat kecemburuan para pembesar terhadap kebijaksanaan anak muda tersebut dalam peristiwa Singapura dilanggar todak . Malah fitnah yang berlegar di kalangan para gundik seperti fitnah gundik Raja Iskandar Syah Singapura sehingga menyebabkan anak Sang Rajuna Tapa , Penghulu Bendahari, dibunuh secara aib.                  
              Kisah Mahsuri yang difitnah oleh ibu mertuanya sendiri  di Langkawi sehingga membawa kepada dijatuhi hukuman bunuh secara zalim menggambarkan hasad dengki seseorang yang tidak mendapat apa yang diidamkan selain sifat cemburu sebagaimana yang ditunjukkan oleh para pembesar istana Sultan Hussein di Singapura yang amat cemburu dan hasad dengki kepada Abdul Kadir bin Ahmad Sabab, seorang peranakan Keling anak Melaka yang sangat disayangi sultan sehingga dipakati untuk dibunuh.

Kezaliman pemimpin

Kezaliman yang dilakukan terhadap Dang Anum,  isteri Megat Seri Rama yang mengidam sebiji nangka sehingga dibunuh dan dibelah perutnya untuk melihat bukti bahawa anak dalam perut yang mahukan nangka tersebut  sangat masyhur dikisahkan dalam Sejarah Melayu dan Tuhfat al-Nafis.  Demikian kezaliman anak raja yang membunuh anak Tun Perak semata-mata terjatuh destarnya akibat terkena bola raga yang disepak olehnya.
         Pembunuhan zalim ini bukan sahaja berlaku terhadap rakyat kebanyakan, bahkan berlaku antara adik beradik sebagaimana Sultan Mahmud memerintahkan pembunuhan saudaranya Raja Zainal yang terkenal kacak sehingga menjadi kegilaan anak gadis dan isteri orang di Melaka.  Juga Yang Dipertuan Muda Johor membunuh isterinya sendiri ketika Raja Kecik menyerang dengan alasan daripada isterinya diambil oleh orang-orang Raja Kecik, lebih baik dibunuhnya.  Bahkan pembunuhan juga dilakukan terhadap ulama yang dikatakan bertaraf wali Allah seperti pembunuhan Tun Jana Khatib. 
          Sejarah Aceh juga pernah menyaksikan pembunuhan ulama sufi Hamzah Fansuri selain pembunuhan Syeikh Sitijenar di Demak atas alasan ajaran sesat. Dalam sejarah Mataram pernah terjadi pembunuhan beramai-ramai para ulama terkemuka Jawa dan ahli keluarganya yang dihitung berjumlah antara 5000 – 6000 orang oleh Amangkurat I sebagaimana yang dilaporkan oleh pegawai VOC Rijklof van Goens.

Skandal Seks

Sejarah alam Melayu tidak boleh dipisahkan dengan gundik dan dayang kedua-duanya melibatkan perempuan. Gundik ialah isteri yang bukan gahara atau isteri tidak rasmi, malah dikatakan juga sebagai bini gelap.  Manakala candik pula merujuk kepada gundik yang rendah tarafnya daripada gundik biasa.  Dayang pula ialah gadis-gadis pelayan di istana.  Seringkali gundik berasal daripada dayang-dayang istana.
            Banyak catatan dalam rekod-rekod sumber persejarahan alam Melayu ini yang menceritakan perihal skandal seks ini yang bukan sahaja berlaku di kalangan gundik seperti Tun Ahmad yang mempunyai skandal dengan gundik bapanya yang bernama Sani sehingga Dato Bendahara Siwa Raja atau Tun Ali menulis surat menyumpah mengeluarkan Tun Ahmad daripada waris.  Malahan ia melibatkan isteri orang seperti Sultan Mahmud yang gemar ber”main muda” dengan isteri menteri-menterinya termasuk diceritakan bagaimana baginda mempunyai skandal dengan isteri Tun Biajit, anak Laksamana Hang Tuah. 
            Sultan terakhir Kerajaan Melaka itu juga pernah merampas tunangan orang iaitu Tun Teja yang pada ketika itu tunang Raja Pahang. Kerakusan pemerintah terhadap hawa nafsu seksual juga turut menyumbang kepada kezaliman seperti apa yang berlaku terhadap keluarga Bendahara Seri Maharaja termasuk menantunya Tun Ali yang dibunuh kerana keinginan berahi Sultan Mahmud terhadap Tun Fatimah yang cantik jelita.  Padahal Tun Fatimah ketika itu adalah isteri orang, iaitu isteri Tun Ali dan baginda sanggup membunuh Tun Ali atas fitnah dan kemudian memperisterikan pula Tun Fatimah.   
              Beberapa skandal seks yang lain juga direkodkan seperti skandal  isteri Arung Boneh dengan seorang anak raja Makassar                
             Bukan itu sahaja, kegiatan homoseksual juga berlaku sebagaimana Sultan Mahmud II, pewaris Kesultanan Melaka yang  dikatakan sangat gemar kepada perlakuan kaum nabi Lut sebagai mana yang dilaporkan oleh Alexander Hamilton  menyebabkan baginda tidak mempunyai zuriat akibat tabiat jijik tersebut .

Rasuah dan Judi

Rasuah adalah fenomena global berzaman. Ia berlaku di mana-mana pada bila-bila masa. Dalam Sejarah Melayu direkodkan bahawa Bendahara Seri Maharaja seorang yang sangat kaya melebihi kekayaan Sultan Melaka kerana beliau dikatakan banyak menerima rasuah. Antaranya beliau menerima sogokan daripada Nina Sura Dewana sehingga menimbulkkan rasa cemburu kepada Raja Mendeliar. Akibatnya beliau telah difitnah.
          Ketika kegemilangan Melaka juga dilaporkan kemunculan generasi anak-anak bangsawan yang ghairah kepada kemasyhuran dan kekayaan tanpa usaha, tamakkan kehormatan tanpa perlu berperang  dan tidak hairan jika kerana ini kegiatan rasuah berlaku di kalangan mereka di sebalik kerajaan yang keras, teruk dan korup.
          Hamilton juga melaporkan tentang Sultan Mahmud II Johor  yang korup, sukakan pujian, dikelilingi pegawai yang menjijikkan dan tidak bertimbang rasa.  Dalam Hikayat Siak pula menceritakan tentang kegiatan rasuah dan judi. Antaranya bagaimana Sultan Anum merasuah Kompeni Belanda di Betawi dalam usahanya untuk mendapatkan bantuan mereka dengan setengah pikul barang emas, Yam Tuan Raja Alam mengupah perompak dan barang rasuah yang dibawa penyuruh Kerangka jelusin.  Hal tentang rasuah ini juga ada dicatatkan dalam Tuhfat al-Nafis iaitu wang dan harta yang dikeluarkan oleh orang Siantan sebagai sogokan.
         Hikayat Siak juga menceritakan tentang kelakuan orang Palembang yang siang menyabung malam berjudi sebagaimana dikatakan oleh Tengku Abdul Rahman yang juga mengambil rial daripada orang Palembang. Kegiatan perjudian Menjangkau sehingga ke Kemboja apabila seorang anak raja Minangkabau datang untuk menyabung ayam.
        Permainan catur juga menjadi salah satu permainan yang dimainkan sejak zaman Melaka. Seperti oleh Tun Bahara dari Pasai yang sangar handal bermain catur.  Ironinya, Yam Tuan Muda Johor sedang leka bermain catur ketika Raja Kecik menyerangnya menyebabkan Johor kalah.

Hutang Piutang

Sistem kredit atau hutang piutang juga berlaku di alam Melayu sebagaimana di mana-mana bahagian dunia. Malah dalam strata masyarakat Melayu tradisional, orang berhutang menduduki tangga di atas hamba abdi. Orang berhutang ialah mereka yang tidak mampu membayar hutang kepada sipemiutang menyebabkan mereka terpaksa berkhidmat kepadanya sehingga hutang selesai.
         Apa yang menjadi isu apabila golongan bangsawan juga berhutang dan adakalanya ia menjadi punca atau sebab kepada pergaduhan dan peperangan. Hutang juga terjadi akibat kalah perang bila pihak yang menang menuntut gantirugi sebagaimana pihak Belanda menuntut gantirugi sebanyak tujuh laksa tujuh ribu tujuh ratus tujuh puluh tujuh ringgit daripada Marhum Sultan Johor. 
       Golongan bangsawan biasa berhutang dengan pentadbir dan saudagar Eropah. Bahkan ada yang berhutang dengan saudagar-saudagar Cina.  Sultan Kedah sendiri dikatakan pernah berhutang dengan orang-orang Culia untuk membeli kapal dan gajah. Masalahnya, sistem riba digunakan dalam hutang piutang itu malah ia juga turut dijadikan medan mengumpul keuntungan bagi raja-raja dan bangsawan yang kaya.

Keadaan sosial masyarakat

Suatu realiti yang dicatatkan oleh para pelapor seperti Tom Pires dalam Suma Orientalnya  dan Munsyi Abdullah dalam hikayat pelayarannya  ialah tentang sifat orang Melayu yang malas, mundur, sukakan hiburan, suka berlaga ayam, tidak boleh dipercayai, putar belit, selalu mengamuk dan cemburu. Hamilton sendiri ketika menggambarkan penduduk empayer Johor sebagai,”….. the inhabitants are lazy, indolent, perfidious and cruel “  Apa yang memalukan, Hamilton melaporkan walaupun penduduknya sangat gemar solat dan berdoa serta selalu menghadirkan diri ke masjid sebagai  manusia yang kelihatan warak  namun praktis harian mereka adalah tidak berakhlak dan jauh dari ajaran agama.  Ketika berhenti di sebuah pulau di pantai timur Sumatera, Hamilton menggambarkan penduduknya “…sebagaimana kebanyakan orang Melayu, sangan khianat, tidak berperi kemanusiaan dan tidak mesra orang asing.”
             Walaupun kemudiannya beberapa pengkaji cuba menyangkal catatan-catatan ini yang dianggap kempen pemburukan pihak kolonialis, namun secara realitinya ia memang berlaku kepada sebahagian masyarakat kita.

Kemerosotan ekonomi dan kemiskinan

Di sebalik kegemilangan alam Melayu, kedapatan beberapa negerinya yang miskin seperti yang dilaporkan oleh Hikayat Aceh tentang negeri Ghori yang kekurangan penduduk, miskin dan lemah. Selain itu, peperangan dan pergaduhan yang berlaku antara mereka juga menyebabkan banyak kerosakan yang berlaku dan  kesusahan di kalangan penduduk. Juga dilaporkan rakyat kelaparan, negeri sunyi, perdagangan mati, dagangan dirampas, sekatan ekonomi, kerugian, pedagang tidak datang, penyakit, beras jadi mahal dan sebagainya.

Kesesatan aqidah dan bid’ah

Walaupun Islam sudah datang seawal abad permulaannya ke Nusantara, namun masih terdapat beberapa kepercayaan dan amalan masyarakat yang bertentangan dengan ajaran Islam di sesetengah tempat. Sejumlah warisan dalam kesenian dan kebudayaan Melayu membuktikan hal tersebut yang ada antaranya hanya dihapuskan oleh pihak berkuasa agama pada abad ke 20 Masehi bahkan ada adat ritual tersebut masih berlangsung hingga ke hari ini.
        Upacara menyemah ketika membuka gelanggang silat, persembahan wayang kulit, main puteri, mak yong, mandi safar, puja kampung, puja pantai ritual permulaan menuai, perbomohan dan perdukunan, hari Asyura dan lain-lain  yang sebahagiannya masih dilakukan merupakan perkara yang berkaitan dengan aqidah kepercayaan dan bid’ah.
         Apatah lagi acara-acara yang sehingga hari ini masih kuat mempengaruhi sebahagian masyarakat Islam di Pulau Jawa seperti upacara sekaten, persembahan sesajen, pati geni dan lain-lain. Idea kesatuan dengan Tuhan ( wahdat al-wujud ) , ajaran Syiah, ajaran tariqat yang sesat dan perkara yang dianggap bid’ah yang sesat pernah mewarnai kehidupan masyarakat di Nusantara.
          Ketika Hamilton berada di Pulau Jawa beliau menulis tentang agama penduduk Jawa yang sebahagian muslim dan sebahagian pagan dengan agama pagan dipimpin oleh dukun-dukun perempuan yang mempraktikkan sihir selain menjadikan babi hutan sebagai korban sesajen untuk syaitan yang sering berkomunikasi dengan mereka.
         Selain itu, kedatangan penjajah Sepanyol yang berjaya memaksa pemerintah dan penduduk sebahagian besar kepulauan Filipina merupakan sejarah malang dan gelap yang pernah berlaku seperti apa yang terjadi kepada Kesultanan Maniyla yang pada mulanya koloni Kesultanan Brunei  Sementelahan penduduk  pulau Timore ( sekarang Timore Leste ) rata-rata memeluk agama Kristian dan menjadikan pulau mereka berada di bawah naungan Raja Portugal  selain Pulau Bali yang gagal ditakluk oleh Sultan Agung Mataram sebagai benteng terakhir Jawa Hindu di Nusantara.

PENUTUP ; SEMPADAN DAN TELADAN

Sebagai memulakan penutup, penulis ingin memetik catatan Abdullah Munsyi,
“ Bermula karena pada zaman umurku ini juga telah beberapa yang kulihat negeri-negeri Melayu itu yang telah binasa dan yang telah menjadi hutan tempat gajah dan harimau oleh sebab zalim dan aniaya raja-raja dan anak-anak raja …..”
“ Maka sekalian bala dan celaka itu telah datang sebab zalim raja-rajanya dan aniaya anak-anak rajanya.”
“ Maka tiadakah diketahui Allah akan segala zalim dan aniaya mereka itu dan tiadakah kelak akan dibalas-Nya segala pekerjaan itu?”

            Adakah kedatangan penjajah ke alam Melayu sebagai bala pembalasan Allah terhadap kelakuan kita semua? Bandingkanlah ketika zaman gemilangnya Kesultanan Melayu di Nusantara dari Pasai, Melaka, Acheh, Mataram dan Brunei dengan pemerintahan yang adil dan saksama.

Wallahu a’lam.


About this entry