SOLAT HAJAT

Banyak perbahasan tentang sembahyang hajat, banyak pula ragam yang dilakukan oleh orang ramai mahupun uztaz. Di sini merupakan tulisan saya ketika diminta memimpin sembahyang hajat di salah sebuah masjid.

1. PENGENALAN

 

Solat hajat ialah satu bentuk sembahyang yang dilakukan demi untuk memohon sesuatu hajat kepada Allah SWT samada hajat berkaitan akhirat atau dunia.

 

2. NAS DAN DALIL.

 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran,

 

(#qãZŠÏètFó™$#ur Ύö9¢Á9$$Î/ Ío4qn=¢Á9$#ur 4 $pk¨XÎ)ur îouŽÎ7s3s9 žwÎ) ’n?tã tûüÏèϱ»sƒø:$# ÇÍÎÈ

Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) Dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan Sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang Yang khusyuk; Al-Baqarah : 45.

 

Dalam ayat di atas Allah SWT menyuruh kita memohon pertolongan dengan sembahyang dan kesabaran.

 

Adapun dalam al-Sunnah tidak kedapatan suatu riwayat yang disepakati sahih tentang kaifiyat sembahyang hajat. Hadis yang disebutkan oleh Imam Ghazali di dalam Ihya Ulumuddin mengenainya dari Wuhaib bin Ward dan Ibn Mas’ud dikatakan tersangat dha’if oleh pentakhrijnya. Manakala hadis Abdullah bin Awfa yang diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, Ibn Majah dan al-Nasai para ulama berselisih pendapat tentangnya. Ada yang mengatakan gharib, dha’if, matruk (tertolak) dan ada pula yang menganggapnya hasan.  Selain itu dalam kitab Hasyiah Madani karangan Syeikh Muhammad b. Sulaiman Kurdi al-Madani Jilid 1 muka surat 221 ada menyatakan tentang terdapatnya  hadis sahih mengenai solat hajat. Hadis ini yang dikeluarkan oleh Tabarani,Baihaqi dan lainnya.Sayyid Sabiq dalam kitabnya Fiqh al-Sunnah juga ada menyatakan tentang hadis sahih tentang solat hajat walaupun ia dibantah oleh beberapa ulama lain.

 

3. PENDAPAT ULAMA

 

Para ulama khilaf tentang solat hajat ini berdasarkan perselisihan mereka tentang sumbernya dari al-Sunnah. Mufti Kerajaan Arab Saudi yang terkenal, Syeikh Abdul Aziz bin Baz menyatakan tiada apa yang dikatakan solat hajat dalam Islam justeru tiadanya nas yang sabit secara sahih daripada Nabi SAW tentangnya.Pandangan bveliau dikongsi oleh sebahagian ulama lain terutama yang beraliran Salafi atau Wahabi.Ini kerana mereka menolak terus hadis dha’if dalam penghujahan mereka.

Pandangan kedua ialah pandangan jumhur ulama dan ahli ilmu. Aljaziri menyatakan adanya kesepakatan 4 Imam (Hanafi, Maliki, Syafi’I dan Hanbali) tentang solat hajat. Pandangan mereka dikongsi oleh ramai  ulama. Ini berdasarkan hadis-hadis yang diriwayatkan oleh banyak ulama hadis sebagai mana yang telah dinyatakan di atas.Walaupun hadis-hadisnya tidak disepakati mencapai martabat sahih malah ada yang mengatakannya dha’if, sebahagian ulama menyatakan hadis daif boleh diamalkan pada fadha’il a’mal selama mana  hadis itu tidak terlalu dsa’if  atau maudu’ (palsu). Lagipun ianya diriwayatkan oleh kitab-kitab hadis yang termasuk Kutub al-Sittah.

Oleh kerana di Malaysia kita bermazhab Syafi’I, maka kita mengguna pakai pendapat  kedua yang masyhur di rantau sebelah sini.

 

4. KAIFIYAT SOLAT HAJAT

 

Berdasarkan kepada riwayat-riwayat yang dinyatakan sebelum ini kaifiyat solat hajat yang dinyatakan ialah seperti berikut;

 

i-                    Solat seperti biasa dua minimum 2 rakaat dengan apa-apa sahaja bacaan yang disukai selepas fatihah. Ini merupakan hukum asal bagi sembahyang. Setelah itu berdoalah hajat kita kepada Allah. Ini yang dinyatakan dalam kitab-kitab seperti al-Iqna’, Hasyiyah Bujayrami dan  Mughni al-Muhtaj. Dalam al-Majmuk dinyatakan pujian dan doa yang dibaca berdasarkan riwayat Tirmizi. Demikian dalam Nihayat al-Zain sebagai salah satu kaifiyatnya.

ii-                  Solat 2 rakaat seperti di atas dengan memanjangkan sujud akhir sambil membaca doa pujian kepada Allah dan memohon hajatnya dalam hati. Ini berdasarkan hadis yang sahih daripada Ibn Abbas RA bahawa Rasulallah SAW bersabda;”Adapun waktu sujud (ketika sembahyang), maka bersungguh-sungguhlah berdoa kerana saat itu bertepatan untuk dikabulkan”. HR Muslim. Inilah yang lebih menepati al-Sunnah.

iii-                 Solat 12 rakaat dengan salam setiap dua rakaat. Dibacakan ayat Kursi selepas Fatihah pada rakaat pertama dan surah al-Ikhlas pada rakaat kedua. Kemudian membaca doa dan pintalah hajatnya. Demikian dalam Nihayat al-Zain pada menyatakan salah satu kaifiatnya berdasarkan riwayat dari Wuhaib bin Ward dan dipetik dari al-Ihya oleh al-Haythami dalam kitabnya al-Minhaj al-Qawwim sambil menyatakan riwayatnya dha’if.

iv-                Solat dua atau 12 rakaat kemudian setelah salam, sujud dan berdoa memuji Allah sebelum memohon hajatnya kepada Allah. Demikian dalam Ihya Ulumuddin dan Hidayat al-Salikin. Namun, kaifiyat ini dipertikaikan kerana tidak ada sujud yang disyariatkan melainkan pada 4 tempat iaitu; sujud dalam sembahyang yang merupakan rukun, sujud sahwi, sujud tilawah dan sujud syukur. Demikian dalam kitab-kitab fikah yang muktabar berdasarkan hadis-hadis yang sahih. Justeru itu kaifiyat ini ditolak kerana tiada hujah yang kuat. Lagipun riwayat yang dinyatakan dalam Ihya dan Hidayat al-Salikin bertentangan dengan riwayat yang dinyatakan dalam kitab Nihayat al-Zain yang lebih muktabar dalam fikah.Dalam Nihayat al-Zain tidak dinyatakan riwayat itu bersambungan kepada Rasulallah SAW.

v-                  Sebahagian ulama memandang makruh membaca satu surah secara berulang-ulang kali dalam satu rakaat sebagaimana yang dilakukan oleh sebilangan kita membaca surah al-Ikhlas dan lainnya sehingga 10 atau 11 kali.

 

BOLEHKAH SOLAT HAJAT BERJAMAAH ?

 

Imam al-Nawawi dalam kitabnya al-Majmuk menyatakan bahawa solat-solat nawafil (sunat) tidak disyariatkan untuk berjamaah melainkan pada solat dua hari raya, dua gerhana, istisqa’ dan tarawikh serta witir selepasnya. Manakala yang lain seperti solat rawatib , dhuha apatah lagi sunat mutlaq tidak disyariatkan berjamaah yakni tidak dituntut, tetapi kalau ditunaikan secara berjamaah harus dan tidak dikatakan makruh.

Demikian yang dinaskan oleh Imam Syafi’I dalam Mukhtasar al-Buwaiti dan al-Rabi’ tentang keharusannya. Ia berdasarkan dalil dalam banyak hadis yang sahih, antaranya hadis ‘Utban bin Malik yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, juga riwayat dari Ibn Abbas, Anas bin Malik, Ibn Mas’ud dan Huzaifah.

 

BAGAIMANA CARA BERJAMAAH ?

 

Solat sunat hajat berjamaah sama dengan solat-solat berjamaah yang lainnya dan tiada nas yang menyatakannya dengan cara lain, iaitu jika dilakukan pada waktu siang imam membaca secara sir (perlahan) bersama makmum manakala pada waktu malam imam membaca secara jahar (kuat) dan makmum mendengar. Ia sama seperti kita sembahyang Subuh, Maghrib, Isya dan Tarawikh.

Adapun solat berjamaah dengan imam membaca perlahan bersama makmum pada waktu malam adalah bersalahan dengan kebiasaan dalam syariat dan solat bersendirian tetapi mengikut imam dalam perlakuan sebagaimana dlakukan oleh sesetengah orang merupakan cara yang belum kami jumpai dinyatakan dalam kitab fikah yang kami baca. WalLahu A’lam.

 

NIAT SOLAT HAJAT

 

 

“ Sahaja aku sembahyang sunat hajat  dua rakaat kerana Allah Ta’ala”

 

 

Rujukan;

1. al-Iqna’ fi Hal Alfaz Abu Syuja’.

2. Hasyiyah Bujayrami ala Syarh Minhaj al-Tullab.

3. Mughni al-Muhtaj ila Ma’rifah Ma’ani Alfaz al-Minhaj.

4.Al-Minhaj al-Qawwim Syarh al-Muqaddimah al-Hadhramiah.

5. Nihayat al-Zain fi Irsyad al-Mubtadi’in.

6.Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab.

7.Ihya Ulum al-Din.

8. Hidayat al-Salikin.

9. Sabil al-Muhtadin.

10. Al-Fiqh ‘ala Mazahib al-Arba’ah.

11. Al-Tibyan fi Adab Hamlat al-Quran

12. Hasyiah Madani


About this entry